Istana Kenangan Kuala Kangsar


Istana ini pada keseluruhannya diperbuat daripada kayu dan dikenali juga dengan nama Istana Lembah atau kadangkala disebut juga Istana Tepas. Letaknya Istana ini berhampiran dengan Istana Iskandariah, iaitu di sebelah tenggaranya. Istana yang berdinding kelarai dan berbumbung perabung pisang sesikat ini telah dirancangkan pembinaannya selepas berlaku banjir besar yang melanda Negeri Perak pada tahun 1926.

Tukang yang membuat Istana ini ialah Haji Suffian dan anak-anaknya yang berasal dari Seberang Perai. Melihat pada pelannya, konsep binaan Istana ini adalah berdasarkan pada bentuk sebilah pedang. Ragam hias dan seni pertukangannya memperlihatkan keindahan seni pertukangan Melayu Perak.

Apabila siap pembinaanya pada tahun 1931, Almarhum Sultan Iskandar Shah, Sulatn Perak yang ke-30 (1918-1938) telah berpindah bersemayam di istana tersebut kerana Istana Negara iaitu istana rasmi Sultan Perak yang terletak di Changkat Negara, Bukit Chandan akan dirobohkan untuk dibina sebuah istana yang baru (Istana Iskandariah sekarang).

Setelah sempurna pembinaan Istana Iskandariah pada tahun 1933, Sultan Iskandar Shah telah berangkat pindah pula ke istana tersebut. Istana Lembah atau Istana Tepas ini diduduki pula oleh keluarga di-Raja Perak. Nama Istana Kenangan ini hanya diberikan pada tahun 1960an setelah ianya diperbaiki semula dengan daya usaha Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang petama.

Sekarang istana ini dijadikan Muzium di-Raja, Perak.

Istana Iskandariah Kuala Kangsar



Inilah Istana rasmi tempat bersemayam Raja-raja Pemerintah yang ditabalkan sebagai Sultan Perak semenjak pembinaannya siap disempurnakan dalam tahun 1933. Nama Istana Iskandariah ini adalah mengambil sempena nama Sultan Iskandar Shah (1918-1938) yang bertanggungjawab terhadap pembinaannya.

Kedudukan tapak Istana Iskandariah di Bukit Chandan dan tebing kiri mudik Sungai Perak ialah di atas tapak lama Istana Negara yang dibina pada tahun 1895 oleh Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I (1887-1916).

Selepas Sultan Iskandar Shah mangkat pada tahun 1938, Sultan Abdul Aziz (1938-1948) Sultan yang ke-31 yang menggantikan Marhum telah bersemayam pula di Istana Iskandariah. Pada tahun 1948, Sultan Yusuf Izzuddin Shah(1948-1963), Sultan yang ke-32, telah berangkat pindah dari Istana Kota (Istana Hijau) untuk bersemayam di Istana Iskandariah dan pada tahun 1963, Sultan Idris Shah II (1963-1984) menaiki takhta Kerajaan dan bersemayam di Istana ini sehingga kemangkatannya pada tahun 1984.

Senibina Istana ini menyerupai senibina Islam-India 'Saracenic' yang diadun dengan corak senibina Asia Barat khususnya 'Pointed arch' dan hiasan minaret dan kubah yang berbentuk bawang (onion shaped domes).

Istana Iskandariah terletak di atas keluasan tapak berukuran 10,435 meter persegi. Bangunan ibunya berbentuk bujur segi empat (bujur sangkar). Muka hadapannya menghadapi arah matahari naik dan pemandangannya luas ke arah Sungai Perak. Dari pandangan hadapan Istana ini jelas kelihatan kubahnya yang berbentuk bawang. Selain daripada kubah induk ada terdapat empat buah lagi kubah apit yang lebih kecil di setiap penjurunya, Di anjung dan langkan terbuka terdapat juga kubah-kubah kecil.

Istana Iskandariah ialah bangunan tiga tingkat. Di tingkat bawah terdapat dua Dewan Menghadap dan Ruang Tamu, Dewan Negara, Kamar Beristirihat Keluarga di-Raja, Pejabat Juruiring, Kamar Persenangan (Wanita), Dewan Muzik dan Dewan Santapan Tetamu di-Raja. Pada masa dahulu Dewan Muzik itu adalah terdedah kepada pancaran matahari dan dijadikan 'taman' untuk keluarga di-Raja. Di tingkat pertama terdapat Kamar Tamu di-Raja, Kamar Peraduan Kebawah Duli, dua Kamar Peraduan Tetamu di-Raja dan tiga Kamar Peraduan Puteri-puteri Baginda. Manakala di tingkat tiga terdapat dua kamar Peraduan Putera-putera di-Raja dan satu Kamar Peraduan Tetamu di-Raja.

Minaret yang didapati di atas tingkat dua ini terletak di bawah kubah induk. Di sini terdapat ruang yang dianggap sebagai tingkat ketiga. Ruang yang berukuran 9.8 meter x 9.8 meter ini merupakan tempat beristirehat khas untuk keluarga di-Raja sahaja. Di ruang ini terdapat pula tangga berpusing menghala ke bumbung kubah.

Pada tahun 1984 Istana Iskandariah telah diperbesarkan di bahagian belakang dengan tambahan 11,468 meter persegi juga berbentuk tiga tingkat dan disambung dengan Istana asalnya dengan satu titian bertutup di tingkat pertama.

Bangunan tambahan Istana ini mempunyai bentuk senireka yang sama dengan senireka Istana asal untuk memberi pandangan yang ianya seperti siap dibina dalam satu masa.

Istana tambahan yang berukuran 99m panjang dan 38.7m lebar adalah berbentuk bujur empat segi dan mengandungi satu kubah besar di tengah dan empat kubah kecil di penjuru-penjurunya. Di tingkat atas terletak Balairong Seri baru manakala Dewan Santapan baru ditempatkan di tingkat tengah dan tingkat bawah (basement) pula digunakan untuk tempat letak kereta-kereta di-Raja.

Hiasan di kembong pintu dalam Balairong Seri dan Dewan Santapan di-Raja berasaskan sekuntum Bunga Kelumpang. Dari bunga ini keluarlah salur-salur subur berbunga dan berbuah lebat seolah-olah merupai tangan terbuka dan melambai-lambai mesra gemalai mempersilakan tetamu dan rakyat masuk mengadap.

Hiasan tiang direka corak memberi pengertian seorang Pemerintahan yang menjaga kepentingan amanah dan memohon petunjuk dari Tuhan dalam urusan agama bagi dirinya dan rakyat dalam negeri jajahan takluknya. Sementara reka corak Alang Penaga memberi pengertian umum suasana meriah dan gembira di Majlis di-Raja dan seseorang Raja dikelilingi oleh pembesar dan rakyat jelata dalam keadaan aman dan tenteram.

Lagu Kebesaran Negeri Perak

Dilanjutkan Allah usianya Sultan
Adil dan murah memerintah watan
Ditaati rakyat kiri dan kanan
Iman yang saleh Allah kurniakan
Allah berkati Perak Darul Ridzuan
Allah selamatkan Negeri dan Sultan


Lagu Kebesaran Negeri Perak diwujudkan dalam pemerintahan Sultan Idris Murshidul'adzam Shah (Marhum Rahmatullah - 1887-1916), semasa Baginda berangkat ke London untuk menghadiri kemahkotaan Permaisuri Victoria pada tahun 1888.

Setibanya rombongan di Raja di London, sebagai persediaan, wakil Permaisuri Victoria telah meminta dari Almarhum Raja Mansor, Juruiring Baginda, nota Lagu Kebesaran Negeri Perak untuk dimainkan semasa Baginda berangkat masuk ke dalam Majlis-majlis Rasmi yang diadakan di Istana Permaisuri kelak.

Pada masa itu Negeri Perak tiada mempunyai Lagu Kebesaran. Mengikut cerita untuk mengelak kesipuan, di atas kebijaksanaan dan dayausaha Almarhum Raja Mansor, telah menyatakan bahawa beliau terlupa membawanya dan sekiranya wakil Permaisuri dapat menyediakan seorang pakar muzik yang boleh membuat nota lagu, Almarhum boleh membunyikannya secara bersiul. Lagu yang disiulkan oleh Almarhum ialah sebuah lagu yang sangat-sangat digemari oleh penduduk-penduduk Negeri Perak pada waktu itu dan semenjak itulah juga lagu yang menjadi kegemaran ramai itu menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak, yang dimainkan secara rasmi buat pertama kalinya di kemahkotaan Permaisuri Victoria di London. Lagu yang dimainkan sebagai Kebesaran Negeri Perak itu ialah lagu Terang Bulan.


Not Lagu Kebesaran Negeri Perak
Not Lagu Kebesaran Negeri Perak

Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang Dan Pingat-Pingat Anugerah Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan

Darjah Kebesaran Negeri Perak, setelah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan akan dikurniakan kepada rakyat Malaysia yang berjasa kepada Negeri Perak khasnya dan Negara Malaysia amnya dengan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Perak. Tujuan kurniaan ini adalah seperti berikut:

  1. Untuk menghargai perkhidmatan cemerlang mereka, sama ada pegawai-pegawai kerajaan atau orang-orang awam.
  2. Untuk menghargai perkhidmatan gagah berani oleh ahli-ahli pasukan bersenjata atau orang-orang awam.
  3. Untuk mengurniakan Pingat-pingat bagi khidmat berbakti dan khidmat perkasa untuk ahli-ahli pasukan bersenjata, polis dan pasukan-pasukan sukarela.

DARJAH-DARJAH KEBESARAN DAN PINGAT-PINGAT
Darjah-darjah Kebesaran yang akan dikurniakan kepada orang-orang yang tersebut di atas kerana perkhidmatan cemerlang kepada Negeri Perak khasnya, dan Malaysia amnya, adalah seperti berikut:-

  1. DARJAH KERABAT YANG AMAT DIHORMATI ( D.K. )
    Kurniaan dikhas kepada Raja Pemerintah, Raja Permaisuri dan Bakal Sultan Negeri Perak.

  2. DARJAH KERABAT SERI PADUKA SULAN AZLAN SHAH PERAK YANG DIHORMATI ( D.K.S.A. )
    Kurniaan dikhas kepada ahli-ahli keluarga Diraja.

  3. DARJAH KEBESARAN SERI PADUKA SULTAN AZLAN SHAH PERAK YANG AMAT DIMULIA (S.P.S.A.)
    Darjah kebesaran yang bergelar "Dato' Seri DiRaja" dikurniakan sebagai suatu penghormatan yang amat istimewa, mempunyai kedudukan yang amat berpengaruh dan bertanggungjawab.

  4. DARJAH YANG AMAT MULIA PADUKA CURA SI MANJA KINI:
    Ini ialah Darjah Kebesaran yang utama bagi kebaktian dan bertujuan bagi menghargai perkhidmatan-perkhidmatan cemerlang kepada Negeri Perak khasnya dan Malaysia amnya. Darjah ini mempunyai empat peringkat. Nama tiap-tiap peringkat dan jumlah had ramainya ahli-ahli bagi satu-satu peringkat adalah seperti berikut:-

    1. DARJAH SERI PADUKA CURA SI MANJA KINI ( S.P.C.M. )
      Darjah kebesaran yang bergelar "Dato' Seri" Peringkat Pertama dikurniakan sebagai suatu kehormatan yang istimewa menandakan rekod kejayaan besar yang telah dicapai dan kepada mereka yang telah menyumbangkan perkhidmatan yang cemerlang kepada negeri ini. Penganugerahan Peringkat Pertama ini adalah terhad kepada 30 penerima sahaja.

      Kolar bagi Pangkat Pertama Darjah ini ialah Lambang Negeri yang bersambung dengan Lambang Senjata di-Raja Bintangnya mempunyai lapan penjuru yang disalut perak dengan bayangan, bergaris pada pusat 8.9 sentimeter, di tengah-tengahnya timbul dengan lambang senjata di Raja dan cogankata Darjah "KEPADA ALLAH BERSERAH". Selepang yang dipakai bersama dengan Darjah ini ialah berwarna putih, hijau tua dan kuning dengan jejalur yang seimbang dengan kelebarannya dan berbeza mengikut Pangkat Darjah ini.

    2. DARJAH DATO' PADUKA CURA SI MANJA KINI ( D.P.C.M. )
      Peringkat Kedua Darjah Kebesaran Cura Si Manja Kini dikurniakan kepada pegawai-pegawai kerajaan dalam kumpulan pengurusan dan profesional dan telah mencapai sekurang-kurangnya Gred 54.

      Darjah Pangkat Kedua ini tiada mempunyai kolar tetapi bintang adalah sama dengan Pangkat Pertama kecuali garisan pusatnya ialah 7.6 sentimeter. Lencana Darjah ini juga sama dengan Bintang Darjah kecuali saiznya adalah terlebih kecil dari lencana pangkat yang lebih tinggi. Penganugerahan peringkat kedua ini adalah terhad kepada 70 orang sahaja dan penerimanya menikmati dengan panggilan Dato'.

    3. DARJAH PADUKA CURA SI MANJA KINI ( P.C.M. )
      Dikurniakan kepada pegawai-pegawai kerajaan dalam kumpulan pengurusan dan profesional yang menyandang pangkat tidak rendah dari Gred 2 atau setaraf dengannya; dan kepada anggota-anggota pasukan tentera dan polis yang berpangkat Kolonel (Tentera Darat), Kapten (tentera Laut, Kolonel Udara (Tentera Udara), Penolong Pesuruhjaya (Pasukan Polis) dan ke atas.

      Kurniaan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (P.C.M.) diberi kepada mereka yang berkelayakan lebih mutunya daripada Darjah Paduka Mahkota Perak. Penerima penganugerahan ketiga ini terhad kepada 100 orang sahaja.

    4. DARJAH AHLI CURA SI MANJA KINI ( A.C.M. )
      Peringkat Ke-4 Darjah Kebesaran Cura Si Manja Kini dan dikurniakan kepada mereka yang telah memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada negeri dan kepada pegawai-pegawai kerajaan sekurang-kurangnya dalam kumpulan pengurusan dan profesional Gred 41.

      Dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan tentera dan polis yang berpangkat Leftenan Kolonel (Tentera Darat), Komander (tentera Laut), Leftenan Kolonel Udara (tentera Udara), Penguasa (Pasukan Polis) dan ke atas.

      Darjah Paduka Cura Si Manja Kini adalah terkanan daripada Darjah bagi kelas yang sama daripada Darjah Paduka Mahkota Perak dan walaupun kelayakan bagi Darjah Cura Si Manja Kini sama dengan kelayakan Paduka Mahkota Perak, kurniaan kepada Darjah Paduka Curi Si Manja Kini hendaklah berdasarkan pada kelayakan yang lebih bermutu daripada kelayakan Darjah Paduka Mahkota Perak.

  5. DARJAH YANG AMAT PERKASA TAMING SARI
    Darjah Yang Amat Perkasa Taming Sari diwujudkan dalam enam tingkatan pangkat dan bertujuan untuk dikhaskan kepada anggota-anggota Pasukan Bersenjata dan Polis yang berkhidmat mempertahankan keselamatan negara. Dengan adanya Darjah Kebesaran ini, maka semua anggota Pasukan Bersenjata dan Polis tidak lagi didtimbangkan bagi kurniaan Darjah-darjah Kebesaran yang sedia ada iaitu Cura Si Manja Kini dan Darjah Mahkota Perak.

    Darjah Kebesaran Taming Sari Negeri Perak Yang Amat Perkasa dibahagikan kepada enam peringkat Darjah:-

    1. DARJAH DATO' SERI PANGLIMA TAMING SARI ( S.P.T.S. )
      Dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan tentera yang berpangkat Leftenan Jeneral ke atas dan kepada anggota-anggota pasukan polis yang berpangkat Timbalan Ketua Polis Negara ke atas. Terhad kepada 10 penerima sahaja dengan panggilan Dato' Seri Panglima.

    2. DARJAH DATO' PAHLAWAN TAMING SARI ( D.P.T.S. )
      Penerima darjah ini terhad kepada 30 sahaja dan menikmati dengan panggilan Dato' Pahlawan. Dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan tentera yang berpangkat Brigedier Jeneral hingga Mejar Jeneral dan kepada anggota-anggota pasukan polis yang berpangkat Penolong Kanan Pesuruhjaya hingga Timbalan Pesuruhjaya.

    3. PERWIRA TAMING SARI ( P.T.S. )
      Terhad kepada 75 penerima dan dikurniakan kepada Pegawai Tentera berpangkat Mejar hingga Kolonel dan Pasukan Polis yang berpangkat Timbalan Penguasa Polis hingga Penolong Pesuruhjaya Polis.

    4. HULUBALANG TAMING SARI ( H.T.S. )
      Terhad kepada 100 penerima dan dikurniakan kepada Pegawai Tentera berpangkat Leftenan Muda hingga Kapten dan Pasukan Polis yang berpangkat Inspektor hingga Penolong Penguasa Polis.

    5. KESATRIA TAMING SARI ( K.T.S. )
      Bilangan penerima tidak terhad dan dikurniakan kepada Pegawai Tentera yang berpangkat Sarjan hingga Pegawai Waran dan Pasukan Polis dari Sarjan hingga Sub-Inspektor.

    6. PERAJURIT TAMING SARI ( A.T.S )
      Bilangan penerima tidak terhad dan dikurniakan kepada yang berpangkat Prebet hingga Kopral di dalam kedua-dua Tentera dan Polis.

    KOLAR Darjah ini ialah sumbangan Keris Darjah, Daun Lambang Darjah dan Bintang Kebesaran di-Raja. Bintang Pangkat Pertama dan Pangkat Kedua Darjah ini adalah sama dari segi rupa kecuali saiznya sahaja yang berbeza. Bintangnya ialah bintang lapan penjuru disalut perak dengan bayangan, bergaris 8.9 sm (7.6 sm bagi Bintang Pangkat Kedua Darjah) dengan dikelilingi garisan merah yang mana di tengahnya berwarna putih, timbul dengan Keris Taming Sari dan sarungnya. Lambangnya bertulis dalam tulisan jawi 'KEPADA ALLAH DAN NEGARA". Pada sebelah atas hulu yang timbul ialah Pedang Cura Si Manja Kini disalut dengan Bintang Kebesaran di-Raja.

    Lencana Darjah ini ialah ukiran sejambak daun dibuat daripada perak, di tengah-tengahnya ialah merah di mana diselitkan Keris Taming Sari dan sarungnya. Di bahagian atasnya ialah ukiran reben putih yang dibuat daripada perak dan diukir cogankata Darjah. Lencana ini digantung di leher dengan KOLAR Darjah lebarnya 5 sm.

    SELEPANG yang dipakai berwarna putih, kuning, merah dan hijau. Kelebaran bagi Selepang Pangkat Pertama ialah 9.5 sm dan 8.9 sm bagi Pangkat Kedua, dengan jejalur warna yang seimbang.

  6. DARJAH YANG AMAT MULIA PADUKA MAHKOTA PERAK
    Darjah ini mempunyai empat peringkat:-

    1. DARJAH SERI PADUKA MAHKOTA PERAK ( S.P.M.P. )
      Dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan tentera yang berpangkat Leftenan Jeneral ke atas dan kepada anggota-anggota pasukan polis yang berpangkat Timbalan Ketua Polis Negara ke atas. Terhad kepada 10 penerima sahaja dengan panggilan Dato' Seri Panglima.

    2. DARJAH DATO' PADUKA MAHKOTA PERAK ( D.P.M.P. )
      Peringkat Kedua Darjah Kebesaran Mahkota Perak. Syarat-syarat penerimaannya sama dengan kelayakan D.P.C.M. Penerima darjah ini terhad kepada 100 ahli, adalah dimaksudkan bagi mereka yang mempunyai kedudukan tinggi yang terkenal kepada perkhidmatan cemerlangnya kepada Negeri ini dalam apa-apa jua lapangan kehidupan. Untuk melayakkan mendapat kurniaan ini maka lazimnya mereka mestilah mempunyai pengaruh yang besar dalam bidang-bidang kegiatan tertentu dengan menggunakannya bagi kebaikan Negeri. Untuk melayakkan mendapat pertimbangan maka kakitangan-kakitangan awam lazimnya mestilah di dalam Bahagian I dalam Perkhidmatan Awam dan telah mencapai sekurang-kurangnya pangkat Tingkatan Tertinggi 'F'.

    3. DARJAH PADUKA MAHKOTA PERAK ( P.M.P. )
      Darjah ini terhad kepada 175 ahli, adalah dimaksudkan sebagai kurniaan kepada mereka yang telah banyak memberikan jasa kepada Negeri ini, yang mana walaupun tidak sebegitu tinggi mutunya, sebagai dikehendaki bagi Peringkat Kedua, tetapi boleh dianggap sebagai luar biasa, dengan erti kata telah menjalankan tugas yang amat sukar dengan jayanya ataupun pekerjaan yang berat telah dilakukan semenjak beberapa lama dengan cemerlangnya. Berkenaan dengan kakitangan kerajaan, maka kurniaan-kurniaan itu boleh diberikan kepada pegawai Bahagian I yang menyandang pangkat tidak kurang dari Tingkatan Tertinggi 'G'.

    4. DARJAH AHLI MAHKOTA PERAK ( A.M.P. )
      Peringkat Ke-4 Darjah Kebesaran Mahkota Perak dikurniakan kepada pegawai-pegawai kerajaan sekurang-kurangnya dalam kumpulan pengurusan dan profesional Gred 41 yang berkebolehan istimewa dan kepada mereka yang telah memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada negeri.

      Dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan tentera dan polis yang berpangkat Kapten dan Mejar (Tentera Darat), Leftenan dan Leftenan Komander (Tentera Laut), Kapten Udara dan Mejar Udara Udara (Tentera Udara), Penolong Penguasa dan Timbalan Penguasa (Pasukan Polis). Darjah ini terhad kepada 450 penerima sahaja.

    Bagi Darjah Kebesaran Negeri Perak Yang Amat Mulia Mahkota Perak, KOLAR Darjah ini adalah sama dengan KOLAR Darjah Kebesaran Negeri Perak Yang Amat Mulia Cura Si Manja Kini kecuali tulisan jawinya ialah dengan huruf "YUSOF" sementara, BINTANGnya hanya bergaris pusat 7.6 sm dan cogankatanya ialah "TAUFIK KEPADA ALLAH".

    SELEPANG yang dipakai bersama dengan Darjah ini pula berwarna putih, kuning dan hitam dengan jejalur yang seimbang dengan kelebarannya dan berbeza mengikut Pangkat Darjah.

  7. PINGAT KEBERANIAN HANDAL / PEKERTI TERPILIH / JASA KEBAKTIAN /LAMA PERKHIDMATAN ( P.K.H., P.P.P., P.J.K., P.L.P. )
    Peraturan-peraturan berkenaan dengan kurniaan Pingat-pingat ini adalah seperti berikut:-

    1. PINGAT KEBERANIAN HANDAL ( P.K.H )
      Tidak terhad. Pingat ini boleh dikurniakan kepada barang siapa jua yang telah melakukan, dalam Negeri Perak, sesuatu keberanian yang tersangat handal dan keberanian itu dilakukan dalam keadaan yang mendatangkan bahaya yang besar kepada dirinya.

    2. PINGAT PEKERTI TERPILIH ( P.P.T. )
      Tidak terhad. Pingat ini boleh dikurniakan kepada barang siapa jua yang telah melakukan, dalam Negeri Perak, satu perbuatan atau perbuatan-perbuatan yang bersifat cemerlang dan berani.

    3. PINGAT JASA KEBAKTIAN ( P.J.K. )
      Tidak terhad. Pingat ini boleh dikurniakan kepada barang siapa jua yang telah berbuat jasa yang cemerlang kepada Negeri selain daripada keberanian handal iaitu perkhidmatan yang berupa daya utama dan setia dalam menjalankan kewajipan, termasuk perkhidmatan yang lama dengan menunjukkan kebolehan yang luar biasa, jasa kebaktian dan kelakuan yang memberi contoh teladan.

    4. PINGAT LAMA PERKHIDMATAN ( P.L.P. )
      Tidak terhad. Pingat ini boleh dikurniakan kepada barang siapa jua yang telah memberi perkhidmatan yang cemerlang dengan lama dan taat setia kepada Negeri Perak tidak kurang daripada 25 tahun. Perkhidmatan itu telah dibuktikan dengan daya usaha dan kesetiaan dalam menjalankan tanggunggjawabnya yang menunjukkan kebolehan yang luar biasa dan boleh menjadi teladan.

PENGURNIAAN KEPADA BUKAN WARGANEGARA
Darjah-darjah Kebesaran yang dikurniakan kepada bukan Warganegara Malaysia akan dikurniakan dengan secara kehormat sahaja.

Istiadat Pertabalan Sultan Perak

Tabal Adat

Istiadat Pertabalan dimulakan dengan DATO' PENGELOLA BIJAYA DIRAJA yang menatang AL-QURAN diiringi SAHIBUL SAMAHAH MUFTI KERAJAAN PERAK masuk ke Balairong Seri bersama RAJA CHIK MUDA PAWANG DIRAJA yang menatang PEDANG CURA SI MANJA KINI dan didahului oleh PANGLIMA DALAM yang diapit oleh PANGLIMA PERANG KANAN dan PANGLIMA PERANG KIRI dan BENTARA-BENTARA di kiri dan kanan.

Apabila tiba di hadapan Singgahsana DATO' PENGELOLA BIJAYA DIRAJA memohon ampun DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN untuk meletakkan AL-QURAN di atas meja khas.

Setelah memberi hormat, dulang berisi PEDANG CURA SI MANJA KINI dibawa naik oleh RAJA CHIK MUDA PAWANG DIRAJA ke Singgahsana hingga ke tingkat dua, bertelut memohon ampun DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN dan menyembahkan PEDANG CURA SI MANJA KINI ke bawah DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN.

Baginda menerima pedang tersebut, menghunus mata pedang lalu mengucup. Selepas RAJA CHIK MUDA PAWANG DIRAJA mengundur diri dari Singgahsana, TOH SERI NARA DIRAJA berjalan masuk ke Balairong Seri dan terus naik ke Singgahsana hingga ke tingkat dua dan mempersembahkan MASTIKA EMBUN dan menyunting CAP HALILINTAR ke telinga kanan DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN sambil membisikkan "RAHSIA NISAB SULTAN I". Kemudian diikuti pula dengan PENGISYTIHARAN PEMASYHURAN PERTABALAN DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN yang dibaca oleh ORANG KAYA BENDAHARA SERI MAHARAJA.

Apabila selesai, ORANG KAYA TEMENGGONG PADUKA RAJA mengangkat sembah dan berseru tiga kali "DAULAT TUANKU" berturut-turut diikuti oleh sekelian yang hadir.

"Nobat Tabal" dipalu dan tembakan meriam dua puluh satu das dilepaskan. Selepas itu DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN menundukkan hulu Baginda membalas hormat yang diberikan oleh para hadirin.

Apabila semuanya mustaid ORANG KAYA TEMENGGONG PADUKA RAJA mengangkat sembah, bertinggul dan mengangkat sembah DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN mohon izin perkenan untuk DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI PERAK mengadap. DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI bangun mengangkat sembah DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN, bertelut dan mengangkat sembah. TOK RAKNA SENARI mengadap dan menyembah "BUNGA PENCAWA PENCARA" kepada DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN. Baginda mengambil dan menyematkan ke hulu DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI. Selepas itu DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI mengadap, mengangkat sembah dan mengucup tangan DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN dan seterusnya DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN mempersilakan DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI bersemayam semula diikuti dengan Pemasyhuran Penganugerahan Gelaran DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI.

Apabila selesai, ORANG KAYA TEMENGGONG PADUKA RAJA mengangkat sembah lalu berseru tiga kali "DAULAT" berturut-turut diikuti oleh sekelian yang hadir. DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI PERAK menundukkan hulu Baginda membalas hormat yang diberikan oleh para hadirin.

Selepas Istiadat Pemasyhuran dijalankan, RAJA CHIK MUDA PAWANG DIRAJA memulakan ISTIADAT MERENJIS AIR "PANCA BICARA" DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN dan DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI.

Selesai sudah ISTIADAT MERINJIS AIR "PANCA BICARA", Istiadat diteruskan dengan penyembahan dan bacaan Ucapan Tahniah oleh DULI YANG TERAMAT MULIA RAJA MUDA bagi mewakili Raja-Raja dan Orang Besar Perak, dan Persembahan Ucapan Tahniah dan Taat Setia daripada YANG AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR PERAK bagi pihak Kerajaan dan Rakyat Perak.

Istiadat Pertabalan diakhiri dengan TITAH UCAPAN DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN dan DOA SELAMAT oleh SAHIBUL SAMAHAH MUFTI KERAJAAN PERAK.

Sehari selepas Tabal Adat, dilaksanakan pula ISTIADAT TABAL PUSAKA dan pada hari berikutnya DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN dan DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI akan berangkat menziarahi MAKAM-MAKAM DIRAJA yang terletak di seluruh Negeri Perak. Disebabkan kebanyakanM MAKA-MAKAM ini terletak di tebing Sungai Perak, DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN akan berangkat menaiki BALAI GAMBANG bernama "CEMPAKA SARI" yang dibina khas bagi tujuan tersebut. Istiadat menziarahi MAKAM-MAKAM DIRAJA ini diakhiri dengan ISTIADAT MENZIARAHI BETING BERAS BASAH di Kuala Sungai Perak sebagai mengingati sejarah Sultan Perak Yang Pertama, Sultan Mudzaffar Shah (1528-1549).

Menziarahi Makam-Makam

Sehari selepas Tabal Adat, dilakukan pula Istiadat Tabal Pusaka dan pada hari berikutnya Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri serta pengiring-pengiring Baginda berdua akan menziarahi Makam di-Raja di seluruh Negeri Perak. Di antaranya termasuklah Makam Tok Temong, Makam Kota Lama Kanan, Makam Sayong, Makam di-Raja Bukit Chandan dan Makam Teja. Kemudian Baginda berdua akan berangkat menaiki Balai Gambang bernama "Chempaka Sari" lalu menghilir untuk menziarahi Makam Marhum-marhum yang terdahulu yang dimakamkan di sepanjang Sungai Perak hingga ke Teluk Intan.

Selepas mendarat di Teluk Intan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan akan kemudiannya berangkat ke Beting Beras Basah sementara Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri akan beristirehat di Teluk Intan dengan membawa bersama Baginda Alat-alat Perkakas Kerajaan. Mengikut adat, kaum wanita tidak boleh beserta Paduka Seri Sultan ke Beting Beras Basah dan Alat-alat Perkakas Kerajaan tidak boleh dibawa ke laut.

Beting Beras Basah ialah tempat mula-mula Sultan Mudzaffar Shah iaitu Sultan yang pertama negeri ini, berhenti tatkala sampai dari Kampar, Sumatera pada tahun 1528.

Istiadat menziarahi Makam-makam berakhir di Beting Beras Basah dengan doa kesyukuran.

Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak

Istiadat MENGAMBIL AIR BERSIRAM TABAL DI TUJUH KUALA SUNGAI PERAK ialah untuk kegunaan Kebawah Duli Berdua Bersiram Tabal. Istiadat ini dimulakan dengan perarakan berkereta dari Pintu Besar Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, bergerak menuju ke taman kanak-kanak Kuala Kangsar diiringi dengan paluan NOBAT sepanjang perarakan itu hingga ke Tebing Sungai Perak.

Perarakan berkereta memuatkan Tok Setia Guna dengan pasukan NOBAT DI-RAJA, Panglima Besar dan Panglima-Panglima, Toh-Toh Seri Nara di-Raja, Yang Mulia Raja Chik Muda, Pawang di-Raja, Bentara-Bentara, 7 orang Bomoh yang membawa PERKAKAS ISTIADAT dan 16 orang Jejawat Berlembing.

PERKAKAS ISTIADAT yang diarakkan ialah 16 Geluk Mas Perak dihiasi dengan daun-daun nyiur muda berjari lipan, Bekas Perasap, Bekas Beras Kunyit, Bekas Beras Basah, Bekas Bertih, Bekas Tepung Tawar, Bekas Air Sintuk, Bekas Air Limau, Bekas Air Bunga Panca Bicara dan Bekas Kemenyan.

Di tebing Sungai Perak PERKAKAS ISTIADAT dibawa naik ke atas bot. Untuk upacara ini Panglima-panglima dan Jejawat Berlembing serta Pasukan Nobat di-Raja tidak mengikuti bersama rombongan ISTIADAT MENGAMBIL AIR BERSIRAM TABAL di tujuh kuala Sungai Perak.

Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal dimulakan di Kuala Sungai Kangsar oleh Yang Mulia Raja Chik Muda, Pawang di-Raja dan dibantu oleh Toh Seri Nara di-Raja serta Bentara-bentara dengan mengusap kemenyan, menabur Beras Kunyit dan merenjis Tepung Tawar di Kuala Sungai, selepas itu barulah diambil air dan dimasukkan ke dalam sebuah Geluk.

Nobat hanya dipalu semasa Istiadat Pertama di Kuala Sungai Kangsar.

Setelah itu rombongan akan bergerak ke Kuala-Kuala Sungai yang lain; iaitu

2 - Kuala Sungai Chepias,
3 - Kuala Sungai Sayong,
4 - Kuala Sungai Hitam,
5 - Kuala Sungai Chermin,
6 - Kuala Sungai Buaya,
7 - Kuala Sungai Menora,

Setelah selesai ISTIADAT MENGAMBIL AIR BERSIRAM TABAL, kesemua 16 Geluk, akan dijaga dengan baik dan semua rombongan kembali semula ke Pengkalan di Padang Kanak-Kanak disambut dengan penuh Istiadat.

Setelah sampai di BALAI PANCA PERSADA semua Jejawat Berlembing berbaris semula. Yang Mulia Raja Chik Muda, Pawang di-Raja, Toh Seri Nara di-Raja, Bentara-Bentara dan Bomoh-bomoh membawa perkakas Istiadat naik ke BALAI PANCA PERSADA disambut oleh Panglima Dalam dan Bentara-Bentara Perempuan, untuk disimpan. Maka tamatlah ISTIADAT MENGAMBIL AIR BERSIRAM TABAL.

fian

Penafian

Pihak Pentadbiran Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Negeri Perak tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan menerusi maklumat yang diperolehi melalui laman web ini.

Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.

Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir :Selasa 12 Mac 2024, 00:02:00 /

Jumlah Pelawat : 1077824

Hubungi Kami

Pejabat D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Perak
33007 Kuala Kangsar,
Perak Darul Ridzuan.

Tel. No : 605 776 1141 / 1144
Fax No : 605 776 3724
Email : pejsultan[at]perak[dot]gov[dot]my