Bendera Negeri Perak


Bendera Negeri Perak mengandungi tiga warna berjalur putih, kuning dan hitam. Ketiga-tiga jalur ini sama lebarnya.

Warna putih melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

Warna kuning melambangkan kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan.

Warna hitam melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan.

Bendera Negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi Jata Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Jata ini dilingkungi dengan bulan sabit yang mengandungi bunga padi.

Jata melambangkan Kedaulatan Raja Pemerintah.
Bulan sabit melambangkan Agama Islam sebagai Agama Rasmi.
Bunga padi menggambar sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.

Senarai Sultan Perak

 

01.Sultan Mudzaffar Shah I
(MARHUM TANAH ABANG)
SULTAN PERAK YANG PERTAMA
(1528 - 1549)


Makam Almarhum Sultan Mudzaffar Shah I

Pada masa Sultan Mahmud Shah menjadi Sultan di Kampar, Negeri Perak masih belum mempunyai seorang Raja. Maka bermesyuaratlah seisi Negeri Perak untuk memilih seorang Yang Di-Pertuan. Sidang mesyuarat bersetuju dengan sebulat suara supaya Tun Saban dan Nakhoda Kassim pergi ke Kampar mengadap Sultan Mahmud Shah memohonkan putera Baginda untuk berkerajaan di Perak. Pada masa Kerajaan Melayu Melaka, Negeri Perak dengan Beruas sebagai ibu negerinya tertakluk di bawah Melaka.

Sultan Mahmud Shah telah mengurniakan putera dengan puteri Onang Kening anak Raja Kelantan yang bernama Raja Mudzaffar untuk dirajakan di Perak. Raja Mudzaffar kemudian dikurniakan alat kebesaran (Baur) yang berupa sebilah pedang Cura Si Manja Kini, sebilah keris, sebuah cap (Cap Kayu Kempa) yang berlorek perkataan "SULTAN MUHAMAD SHAH DZIL ALLAH FIL-ALAM", serta Nobat dan Surat Chiri.

Selepas menerima titah ayahandanya untuk berangkat ke Perak, Raja Mudzaffar pun bersiap dan menunggukan saat yang baik untuk berangkat meninggalkan Kampar. Sementara itu Tun Saban pulang ke Perak dan menyediakan 77 ekor gajah yang sarat dengan berbagai persembahan dari penduduk Hulu Perak, lalu menuggu ketibaan Raja Mudzaffar di Kuala Sungai Perak.

Raja Mudzaffar pun berlayar bersama isterinya bernama Tun Terang, putera mereka Raja Mansur dan pengiring-pengiring termasuklah Megat Teraweh Ibni Daulat Pagar Ruyong. Baginda singgah di Kelang dan Siak kerana menziarahi keluarga Baginda. Semasa di Kelang Baginda bertemu Nakhoda Tumi, iaitu orang Manjong yang selalu berulang-alik berniaga dari Perak ke Kelang. Nakhoda Tumi pun membawa Raja Mudzaffar ke Perak. Akhirnya bahtera kanaikan Baginda pun sampai ke Beting Beras Basah di Kuala Sungai Perak. Dengan takhir Tuhan, bahtera Baginda tersangkut pada beting, beberapa kali dilayarkan orang tidak juga mahu terlepas. Apabila Baginda melihatkan hal demikian, Baginda pun bersawab-sawab titahnya:-

"Sekongkong Tanah Minngkabau
Selilit Pulau Perca
Di lengkong ular Saktimuna
Perpisahan Beta di Selat Melaka
Jika sah Beta Raja berdaulat
Lepaskan sekalian malpetaka"

Maka disahut oleh Tuan Saban dengan sekalian hamba rakyat menanti di situ dengan teriakan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali. Setelah itu bahtera kenaikan Baginda pun terlepaslah masuk muara lalu ke suatu tempat, dilihat Baginda seorang budak lelaki menangis disisi mayat seorang budak yang lebih kurang umur dengannya. Baginda bertitah, "Hai budak, siapakah yang terbaring disisi mu itu". Budak itu menyembah, dan menjawab bahawa yang mati itu ialah abangnya sendiri yang telah ditikamnya dengan keris kerang setelah abang itu mengolok-ngolok pertanyaannya.

Setelah Raja Mudzaffar Shah mendengar perkataan budak itu, maka tersangatlah kasihan hati Baginda lalu Baginda pun menerangkan maksud perkataan abang budak itu yang sebenarnya. Titah Baginda, "Ada pun makna jawapan abang mu itu, nama buluh yang kamu tanyakan itu ialah Buluh Apa, bukannya ia mengolok-ngolokkan kamu". Ia pun amat menyesal sebab membunuh abangnya tanpa usul perika. Ia pun menghunus keris dari pinggangnya dan menikam keris itu ke dadanya. Kubur kedua-dua adik- beradik itu terletak di tempat berlakunya peristiwa itu di Tanah Abang.

Peristiwa sedih yang berlaku itu sangatlah mengharukan hati Raja Muzaffar. Baginda pun mendarat di tempat itu lalu menitahkan orang berbuat kota istana dan tempat itu pun dinamakan oleh Baginda Tanah Abang. Setelah siap semuanya disekitar tahun 1528 Baginda pun ditabalkan di bawah kelolaan Tun Saban. Baginda bergelar Paduka Seri Sultan Mudzaffar Shah Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah. Pada masa pertabalan Baginda itu Tok Temong datang membawa persembahan sejenis tangkal azimat bernama Mastika embun.

Apabila sudah menjadi Sultan, Baginda Sultan Mudzaffar Shah pun memanggil Tun Mahmud (anak Tun Isan Berakah dengan Puteri Siat) yang bergelar Seri Agar di-Raja yang memerintah di Selangor supaya datang ke Perak dan dijadikan Bendahara Perak yang Pertama. Tetapi Tun Mahmud kemudiannya dipaksa oleh Sultan Alaudin Riayat Shah (adinda sebapa kepada Sultan Mudzaffar Shah) supaya datang ke Johor.

Tidak berapa lama selepas menjadi sultan, Sultan Mudzaffar Shah telah berselisih faham dengan Tun Saban. Tun Saban pun membuat Kota kubunya di Temong. Punca perselisihan itu disebabkan oleh Sultan Mudzaffar Shah yang berkehendakkan anak Tun Saban yang bernama Tun Merah untuk dijadikan gundek. Tun Saban tidak membenarkan. Baginda pun memanggil Tun Saban ke Istana serta menitahkan beliau pergi beramu (mencari kayu) di hutan untuk membuat Istana yang baru. Sepeninggalan Tun Saban, datanglah orang-orang Raja memanggil Tun Merah dan dibawa ke istana. Tun Saban pun terlalu marah dan kembali ke dalam hutan serta ditebangnya sepohon kayu tualang yang amat tajam di pangkal dan hujungnya. Batang kayu yang sudah ditajamkan itu dipuja selama tiga petang berturut-turu, akhirnya batang itu pun terbang berpandu menimpa istana Sultan Mudzaffar Shah menyebabkan banyak kerosakan berlaku. Apabila Baginda ketahui perbuatan itu datangnya dari Tun Saban, maka Baginda pun tersangat murka lalu memberi titah menawarkan pangkat Bendahara kepada barang siapa orang-orang Baginda yang dapat membunuh Tun Saban.

Megat Teraweh menyahut seruan Baginda itu lalu keluar mencari Tun Saban dan mendapat tahu bahawa Tun Saban sedang berkubu di Kuala Temong, dan boleh dilihat muncul di atas kubu tiga kali sehari, di sebelah pagi berpakaian hijau, tengahari berpakaian putih dan sebelah petang berpakaian merah.

Megat Teraweh tiba pada waktu petang dan berjaya menembak Tun Saban dengan istinggar, terkena dada Tun Saban tetapi tiada telap (tembus). Peluru itu jatuh ke tanah lalu diambil oleh Tun Saban dan dilihatnya peluru itu bertulis perkataan "Inilah peluru anak Raja Pagar Ruyong. Barang dimana ia terjatuh di situlah tuannya menjadi Pembesar". Maka tahulah Tun Saban bahawa ajalnya telah sampai dalam peperangan ini, lalu disuruhnya orang memangil Megat Teraweh. Beliau diminta oleh Tun saban supaya berkahwin dengan puteri yang bernama Tun Bongsu Bangsawan. Permintaan Tun Saban itu diterima dan beliau dinikahkan di hadapan Tun Saban. Selepas itu Tun Saban pun meninggal dunia dan dikuburkan di suatu tempat bernama Changkat Merah, Hulu Perak. Beberapa orang dari cucu-cicit Tun Saban dilantik menjadi orang Besar di Negeri Perak.

Baginda Sultan Mudzaffar Shah sangat sukacita mendengar Tun Saban sudah mati. Megat Teraweh dikurniakan gelaran Bandahara Paduka Raja, menggantikan Tun Mahmud. Sejak itu jawatan Bendahara di negeri Perak berasal dari keturunan Megat Teraweh dan hanya berakhir pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Dzulkarnain, Sultan Perak yang ke-15 apabila Bendahara Megat Abu Kassim meletak jawatannya.

Sultan Mudzaffar Shah memerintah selama lebih kurang 27 tahun dan mangkat di Tanah Abang dengan gelaran "Mahrum Tanah Abang". Baginda mula-mula bersemayam di Tanah Abang dan kemudian berpindah ke Kota Lama Kanan, dekat bandar Kuala Kangsar. Baginda memerintah dari tahun 1528 hingga tahun 1549. Putera baginda yang bernama Raja Mansur dilantik ke Takhta Kerajaan Perak, bergelar Sultan Mansur Shah Ibni Almarhum Ibni Almarhum Sultan Mudzaaffar Shah.
02.Sultan Mansur Shah
(MARHUM KOTA LAMA KANAN)
SULTAN PERAK YANG KEDUA
(1549 - 1577)
Makam Almarhum Sultan Mansur Shah I

Sultan Mansur Shah telah diputerakan di Bentan, Riau, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Melaka. Apabila Sultan Mudzaffar Shah pertama mangkat pada tahun 1549 di Tanah Abang (Telok Bakang), lambor, Daerah Perak Tengah, Baginda Sultan Mansur Shah dilantik menjadi Sultan Perak yang kedua. Baginda kemudian berpindah bersemayam di Kampung Kan Kong (Kota Lama Kanan), Kuala Kangsar, di tepi Sungai Perak.

MENGIKUT SEJARAH: Sultan Mansur Shah dengan diiringi oleh Bendahara Megat Teraweh telah mudik ke Ulu Perak dan menetapkan di sebelah utara Negeri Perak dengan Negeri Reman (Thai). Sempadan itu bertandakan sebuah batu bernama Tapong yang dijadikan sempadan dan dinamakan Batu Belah, kerana kononnya batu itu boleh dibelah oleh Baginda dengan pedang Baginda sendiri. Perjanjian itu telah dipersetujui oleh Raja Negeri Reman hingga ke ahkir tahun masehi yang ke-18.

Hasil daripada biji timah, Kerajaan Perak menjadi kaya. Orang-orang Siam menyerang mengakibatkan kekalahan di pihak Negeri Perak dan Pemantu Baginda Raja Ali terus terbunuh. Negeri Perak terpaksa menghantar Bunga Emas pada tiap-tiap tahun kepada Kerajaan Negeri Siam sebagai ufti dan membenarkan mereka membeli timah sebarang cukai.

MENGIKUT SEJARAH ACHEH: Sultan Ali Riayat Shah (Sultan Hussein), pemerintah Acheh telah dikatakan menyerang Perak lalu mengalahkannya dan dibawa ke Negeri Acheh. Putera Sulung Baginda yang bernama Raja Alauddin dikahwinkan dengan puteri Acheh bernama Raja Puteri dan kemudiannya diangkat menjadi Sultan Acheh. Setelah itu Kerajaan Acheh menghantar Sultan Mansur Shah menduduki Takhta Kerajaan Negeri Perak yang menjadi takluk Kerajaan Acheh.

MENGIKUT SEJARAH RAJA-RAJA PERAK: Sultan Mansur Shah dan isteri serta puteranya tidak ditawan oleh Acheh melainkan Putera Sulung Bainda sahaja dibawa ke Acheh menjadi Sultan Acheh. Kemudian barulah Sultan Acheh menghantar orang-orangnya ke Negeri Perak mengambil Baginda Sultan Mansur Shah dan isteri. Tetapi sebelum Sultan Mansur Shah dibawa ke Acheh, Baginda terus beristerikan anak seorang Batin (Ketua Orang Asli) di Kuala Kinta dan daripada keturunan anak Baginda dengan perempuan orang asli itulah kononnya lahir "Panglima Kinta", Orang Besar Perak di Daerah Kinta.

MENGIKUR SEJARAH PERAK: Sultan Mansur Shah telah mangkat di Negeri Perak pada tahun 1577. Kemangkatan Baginda tidak diketahui dengan sahnya. Mengikut cerita Baginda sedang Bersembahyang Jumaat di Masjid Kota Lama Kanan, tiba-tiba Baginda ghaib dan rakyat pun menyangkakan Baginda telah Mangkat. Baginda digelar Marhum Kota Lama Kanan.

Sultan Mansur Shah tidak mempunyai makam melainkan Batu Peringatan Sultan Mansur Shah yang terletak di Masjid Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar. Batu Peringatan ini merupakan sebuah nisan yang dipasang dengan perintah Sultan Idris Murshidul 'adzam Shah (Sultan Perak ke-28) bagi memperingati Sultan Mansur Shah yang hilang ketika menunaikan fardhu Jumaat di masjid itu. Masjid Kota Lama Kanan dibina semula dalam tahun 1916 menggantikan masjid yang asal yang telah dibakar oleh Penjajah Inggeris semasa berlaku Perang Perak dalam tahun 1875-1876.
03.Sultan Ahmad Tajuddin
(MARHUM MUDA)
SULTAN PERAK YANG KETIGA
(1577 - 1584)
Makam Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Shah

Setelah mangkat Sultan Mansur Shah I (Marhum Kota Lama Kanan), Sultan Perak yang ke-2, Orang-orang Besar Perak telah ke Negeri Acheh, mengadap Sultan Acheh. Sultan Acheh telah menghantar seorang raja yang akan menjadi Sultan Perak yang ke-3, bernama Raja Ahmad, iaitu adinda Sultan Acheh (Sultan Aluddin Mansur Shah) yang bergelar Sultan Ahmad Tajuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah I. Baginda bersemayam di Jalong, Daerah Kechil Sungai Siput, Kuala Kangsar, tetapi oleh sebab tempat itu selalu banjir, Baginda berpindah ke Geronggong, Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah. Baginda menjadi Sultan pada tahun 1577 dan memerintah selama lebih kurang tujuh tahun. Baginda mangkat pada tahun 1584 bergelar "Marhum Muda".
04.Sultan Tajul Ariffin
(MARHUM MANGKAT DI TEBING)
SULTAN PERAK YANG KEEMPAT
(1584 - 1594)
Makam Almarhum Sultan Tajul Ariffin

Raja Ariffin diangkat menjadi Sultan Perak keempat bergelar Sultan Tajul Ariffin Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah Pertama, setelah mangkatnya kekanda Baginda, Sultan Ahmad Tajuddin Shah (Marhum Muda). Sultan Ariffin bersemayam di Pulau Semat dan memerintah dari tahun 1584 sehingga tahun 1594. Setelah Baginda menaiki takhta Kerajaan Perak, kekanda Baginda yang menjadi Sultan Acheh, Sultan Alauddin pun mangkat dan seisi Istana pulang semula ke Negeri Perak.

Sultan Tajul Ariffin memerintah Negeri Perak selama 10 tahun dan mangkat di Pulau Semat pada tahun 1594. Makam Sultan Perak yang Keempat ini terletak di atas Pulau Semat, Mukim Senggang, Daerah Kuala Kangsar kira-kira 3 km ke hilir dari pekan Manong bergelar "Marhum Mangkat di Tebing". Makam Baginda di Pulau Semat itu dianggap keramat. Di sebelah makam ini terdapat makam isteri Baginda yang bernama Puteri Ajaib.
05.Sultan Alauddin Shah
(MARHUM MANGKAT DI DARAT)
SULTAN PERAK YANG KELIMA
(1594 - 1603)
Makam Almarhum Sultan Alauddin Shah

Sultan Tajul Ariffin, Sultan Perak yang ke-4 tidak berputera. Apabila Baginda mangkat di Pulau Semat, Orang-orang Besar Perak dengan nasihat pemerintah Acheh telah melantik Raja Alauddin, putera Raja Inu menjadi Sultan Perak yang ke-5, bergelar Sultan Alauddin Shah. Baginda adalah cucu kepada Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin, Sultan Perak Yang Ke-3.

Baginda memerintah Negeri Perak dari tahun 1594 hingga 1603. Pusat pemerintah Baginda ialah Bota. Semasa pemerintahan Baginda, Acheh masih lagi menempatkan beberapa Orang-orang Besar Acheh bagi mengawasi dan mentadbirkan Negeri Perak. Baginda Sultan Alauddin akhirnya mangkat pada tahun 1603, bergelar "Marhum Mangkat Di Darat" Baginda dimakamkan di tepi Sungai Perak, di hujung Pulau Bota. Oleh kerana makam itu hampir jatuh ke dalam sungai, maka makam itu telah dipindahkan ke suatu tempat di belakang kedai Bota Kanan, bersama makam Almarhum Sultan Ahmaddin Shah, Sultan Perak yang ke-18.
06.Sultan Mukaddam Shah
Sultan Mukaddam Shah
SULTAN PERAK YANG KEENAM
(
1603-1619)
Marhum mangkat di Acheh
07.Sultan Mansur Shah II
Sultan Mansur Shah II
SULTAN PERAK YANG kETUJUH
(
1619-1627)
Marhum mangkat di Acheh
08.Sultan Mahmud Shah
(MARHUM PULAU TIGA)
SULTAN PERAK YANG KELAPAN
(1627 - 1630)
Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah

Apabila Sultan Mansur Shah diturunkan dari takhta Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1627 oleh kerajaan Acheh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (Sultan Acheh) yang masih berkuasa ke atas Negeri Perak telah melantik Raja Yusuf atau Raja Bongsu (Adinda kepada Sultan Mukaddam Shah) menjadi Sultan Perak yang ke-8.

Mengikut sejarah, Raja Yusuf telah ditawan oleh Acheh semasa Acheh datang menyerang dan mengalahkan Perak di zaman pemerintahan Sultan Mukaddam Shah pada tahun 1619. Raja Yusuf tinggal di Acheh hingga tahun 1627 apabila Baginda kembali bersama Orang-orang Acheh untuk menggantikan tempat Sultan Mansur Shah. Setelah dilantik menjadi Sultan Perak Baginda diberi gelaran Sultan Mahmud Shah. Baginda ditabal dalam tahun 1627 dan bersemayam di Geronggong (sekarang Kampung Jawa, Mukim Pulau Tiga, Daerah Perak Tengah).

Setelah memerintah lebih kurang tiga tahun, pada tahun 1630 Baginda pun mangkat di Geronggong dan dimakamkan di suatu tempat yang bernama Kampung Tok Melor (ke ulu sedikit daripada makam yang ada sebarang ini). Makam ini kemudian dipindahkan ke Kampung Pulau Tiga di Permakaman Almarhum Sultan Muhammad Shah, Sultan Perak yang ke-14. Almarhum digelar "Marhum Pulau Tiga".
09.Sultan Sallehuddin
Sultan Sallehuddin
SULTAN PERAK YANG KESEMBILAN
(Marhum Mangkat di Kampar)
(
1630-1636)
Dimakamkan di Padang Changkat, Lambor Kanan, Perak Tengah.
10.Sultan Mudzaffar Shah II
(MARHUM JALILULLAH)
SULTAN PERAK KESEPULUH
(1636 - 1653)
Makam Almarhum Sultan Mudzaffar Shah II

Dengan mangkatnya Sultan Salehuddin Sultan Perak yang ke-9, di Kampar pada tahun 1635, maka terputuslah zuriat Sultan-sultan Perak dan Keturunan Raja-raja Melaka sebelah pihak lelaki. Oleh itu, Sultan Iskandar Thani (Raja Mughal), Raja Acheh yang menjadi penaung kepada Negeri Perak, telah menghantar Raja Sulong, iaitu Putera Raja Mahmud Ibni Raja Ali Al-Ajali (Johor) dengan Tun Kechil anak Tun Isap Misai (Bendahara Seri Maharaja Johor). Raja Sulong dilantik menjadi Sultan Perak yang ke-10 bergelar Sultan Muzaffar Shah dan Baginda bersemayam di Air Mati, Padang Changkat, Lambor Kanan.

Pada masa Baginda memerintah, Tok Chandang anak Tok Changkat Piatu telah banyak membuat jasa kebaktian kepada Baginda lalu dikurniakan gelaran Maharaja Kinta dan isterinya Che Intan binti Tok Nyior Manis dikurniakan gelaran Tok Puan (gelaran yang pertama kepada isteri Orang-orang Besar Negeri Perak).

Pada tahun 1639 Belanda telah mendirikan loji di Tanjung Putus, Kuala Sungai Perak tetapi dibinasakan oleh orang Melayu Perak. Pada bulan Disember, 1650 Belanda dan Acheh telah berpakat membuat perjanjian dengan Kerajaan Perak dan syarat-syarat itu adalah seperti berikut:
  • Orang-orang Perak mesti menjual bijih timah kepada Belanda dan Acheh sahaja.
  • Orang-orang Perak tidak dibenarkan menjual bijih kepada orang-orang Eropah yang lain serta orang India.
  • Kerajaan Perak hendaklah memberi tanah bagi orang-orang Belanda mendirikan loji.
  • Kerajaan Perak hendaklah membayar wang sebanyak 50,000 rial kepada Belanda kerana gantirugi loji Belanda yang dibinasakan oleh orang-orang Perak di Tanjung Putus itu.
Dalam tahun 1651, loji orang Belanda di Kuala Sungai Perak tersebut telah diserang dan dibinasakan oleh orang-orang Perak. Sejak itu perniagaan Orang-orang Belanda di Negeri Perak terhenti.

Baginda Sultan Mudzafar Shah II memerintah Kerajaan Negeri Perak dari Tahun 1636 sehingga tahun 1653. Baginda mangkat pada tahun itu dan dimakamkan di Air Mati, Changkat, Lambor Kanan, bergelar "Marhum Jalilullah". Di antara putera-putera Almarhum ialah Raja Mahmud dan Raja Mansur.

Mengikut cerita orang-orang tua pada masa pemerintahan Baginda, berlaku penyakit "Satawar" dan Bagindalah yang mengubatkan rakyat Baginda, sebab itu dimakam Almarhum terdapat pokok satawar.
11.Sultan Mahmud Iskandar Shah
(MARHUM BESAR AULIA ALLAH)
SULTAN PERAK YANG KESEBELAS
(1653 - 1720)
Makam Almarhum Sultan Mahmud Iskandar Shah

Setelah mangkat Sultan Mudzaffar Shah II (Marhum Jalilullah) pada tahun 1653, putera sulung Almarhum yang bernama Raja Mahmud dilantik menjadi Sultan Perak yang ke-11, bergelar Sultan Mahmud atau Muhammad Iskandar Shah. Baginda bersemayam di Geronggong. Oleh kerana Baginda tiada berputera, adinda Baginda Raja Mansur dilantik menjadi Sultan Muda atau yang di-pertuan Muda Mansur Shah yang bersemayam di Pulau Tiga. Yang di-pertuan Muda Mansur Shah ini berputerakan Raja Radin, Raja Inu, Raja Bisnu, Raja Abdul Hamid dan Raja Su (Bongsu). Yang di-Pertuan Muda Mansur Shah ini telah mangkat di Pulau Tiga lebih dahulu daripada kekandanya Sultan Mahmud Iskandar Shah dan Marhum itulah yang disebut "Marhum Mangkat Pulau Tiga". Sultan Mahmud Iskandar Shah mangkat dalam tahun 1720 dan dimakamkan di Geronggong, dengan gelaran "Marhum Besar Aulia Allah". Umur Baginda ialah kira-kira 120 tahun dan memerintah Perak selama kira-kira 67 tahun.

Dalam tahun 1653 Kompeni Belanda datang balik ke Negeri Perak dan telah membuat semula Perjanjian yang telah dibuat oleh John Truijtman dengan Almarhum Sultan Mudzaffar Shah II (Marhum Jalilullah). Perjanjian itu telah memberi sekeping tanah untuk kompeni Belanda mendirikan Loji bagi gudang tempat Kompeni Belanda menjalankan perniagaan. Kerajaan juga membayar ganti-rugi terhadap Loji Belanda yang telah dibinasakan oleh orang-orang Perak dalam tahun 1651. Perjanjian ketiga ini tidak berapa dipedulikan oleh Kerajaan Perak. Timah-timah dari Negeri Perak lebih banyak dihantar ke Acheh dan diseludup keluar untuk dijual kepada bangsa-bangsa lain. Akhirnya pada tahun 1663 Kompeni Belanda meninggalkan Loji mereka di Negeri Perak. Namun dua tahun kemudian Kompeni Belanda balik semula membuka logi perniagaannya dengan dikawal oleh sebuah angkatan kapal perang yang berpengkalan di Kuala Sungai Perak.

Pada tahun 1670 orang-orang Inggeris menduduki Pulau Pangkor tetapi pihak Baginda di Betawi telah mengarahkan Orang-orang Besarnya di Melaka supaya merampas pulau tersebut dan membina sebuah gedong dan kota di sebuah Telok di bahagian timur pulau itu. Di antara tahun 1676 dan 1677, beberapa kali kapal-kapal Belanda belayar dekat pantai laut Negeri Perak dan juga Kuala Sungai Perak tetapi mereka telah diserang oleh orang-orang Melayu.

Semasa pemerintah Baginda seorang pengembang agama Islam dari Arab bernama Syed Hussain Al-Faridz telah datang ke Perak untuk mengembangkan agama Islam.

Dalam tahun 1690 sekumpulan orang-orang melayu yang diketuai oleh Panglima Kulub telah menyerang Kota Belanda di Pulau Pangkor menyebabkan Kompeni Belanda meningalkan tempat itu. Tiga tahun kemudian sekelian pegawai Kompeni telah diperintah oleh pihak berkuasa Kompeni Belanda supaya jangan menempatkan lagi askar Belanda di Pulau Pangkor.

Dalam tahun 1700 Kerajaan Perak telah terlepas daripada kekuasaan Acheh kerana Kerajaan Acheh yang diperintah oleh empat orang Raja Perempuan sejak tahun 1641 tidak mempunyai kuasa lagi. Yang tinggal di Negeri Perak ialah aturan-aturan Kerajaan cara Acheh, di antaranya masih kekal sehingga kini.

"PANGKAT ORANG BESAR DELAPAN di Negeri Perak kadang-kadang dipanggil juga "HULUBALANG DELAPAN". Masing-masing memerintah suatu daerah atau jajahan di dalam negeri itu di bawah perintah Sultan Perak. Aturan memakai gelaran Hulubalang sebagai pemerintah sesebuah daerah itu mengikut aturan-aturan pemerintah di Negeri Acheh, pada hal di tempat-tempat lain gelaran Hulubalang ialah gelaran bagi perwira dalam pasukan perang. Di samping itu MUNDAM, nama sejenis alat kebesaran Kerajaan Perak adalah berasal daripada bahasa Acheh, Bahasa LAN yang bererti kampung.

Baginda Sultan Mahmud Iskandar mangkat di Geronggong (Kampung Jawa, Pulau Tiga) dalam tahun 1720. Makam Baginda terletak di sebuah Permakaman, bersama dengan makam Sultan Alauddin Mughayat (Riayat) Shah, Sultan Perak yang ke-12.
12.Sultan Alauddin Mughayat Shah
(MARHUM SULONG)
SULTAN PERAK YANG KEDUA BELAS
(1720 - 1728)
Makam Almarhum Sultan Alauddin Mughayat (Riayat) Shah

Pada tahun 1720 setelah mangkat Marhum Sultan Marhud Iskandar Shah, anak saudara Almarhum yang bernama Raja Radin, Putera Almarhum Yang di-Pertuan Muda Mansur (Marhum Mangkat di Pulau Tiga) dilantik menjadi Sultan Perak yang ke-12, bergelar Sultan Alauddin Mughayat Shah. Baginda bersemayam di Geronggong. Adinda Baginda Raja Inu bersemayam di Bernam dan dilantik menjadi Raja Muda.

Makam Almarhum terletak di permakaman yang sama dengan Makam Sultan Mahmud Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke-11, di Kampung Jawa, Pulau Tiga, Daerah Kecil, Kampung Gajah.
13.Sultan Mudzaffar Shah III
(MARHUM HAJI ALLAH)
SULTAN PERAK YANG KETIGA BELAS
(1728 - 1752)
Makam Almarhum Sultan Mudzaffar Shah III

Pada tahun 1728, setelah mangkat "Marhum Sulong" (Raja Radin), adinda Baginda Raja Muda (Raja Inu) yang bersemayam di Bernam diangkat menjadi Sultan Perak yang ke-13, bergelar Sultan Mudzaffar Shah yang ketiga. Baginda kemudian berpindah ke Berahman Indera (Bota Kanan). Adinda Baginda yang bernama Raja Bisnu diangkat menjadi Yang di-Pertuan Muda atau Sultan Muda, dan bersemayam di Pulau Tiga, Lambor. Yang di Pertua Muhammad Shah ini berputerakan Raja Iskandar Raja Kimas, Raja Alauddin dan Raja Bongsu.

Dalam masa pemerintahan Sultan Mudzaffar Shah III, Orang-orang Bugis yang diketuai oleh Daeng Chelak, Yam Tuan Riau yang kedua, dengan membawa orang-orang Bugis dari Selangor, telah datang menyerang Negeri Perak. Negeri Perak berpecah dua. Adalah dipercayai orang-orang Bugis menyebelahi adinda Baginda, Yang di Pertuan Muda dengan disokong oleh beberapa Orang-orang Besar Perak. Yang di Pertuan Muda Muhammad Shah diangkat menjadi Sultan, bergelar Sultan Muhammad Shah. Maka dari tahun 1742 hingga 1743, Kesultanan Perak berpecah menjadi dua.

Dari Pachat hingga ke Ulu (utara) di bawah perintah Sultan Mudzaffar Shah III yang bersemayam di Kuala Kangsar dan dari Pachat ke hilir hingga ke Kuala Perak di bawah perintah Sultan Muhamad Shah yang bersemayam di Pulau Tiga. Tetapi tidak beberapa lamanya kemudian kedua adik-beradik berbaik semula. Sultan Mudzaffar Shah yang bersemayam di Kuala Kangsar dijemput balik oleh Sultan Muhammad Shah bersemayam di Berahman Indera.

Dalam tahun 1743 seorang Raja Bugis bernama Daing Selaili bergelar "Haji Besar" menawan beberapa orang Lanun di Pulau Sembilan dan menyerahkan Lanun tersebut kepada Sultan Mudzaffar Shah. Daing Selaili barkahwin dengan adinda Baginda bernama Raja Tengah dan dilantik menjadi Mufti Negeri Perak, kemudian menjadi Orang Besar Perak bergelar Maharaja Lela Tan Lela Putera Panchong Ta' Bertanya. Daing Selaili juga menjadi Pengawal peribadi Sultan.

Setelah Baginda Sultan Mudzaffar memerintah selama 28 tahun (1728-1754), Baginda mangkat pada hari Jumaat, 7 Zulka'edah, 1167 dan bergelar "Marhum Haji Allah" Baginda mangkat di Berahman Indera (Bota) dan dimakamkan di Kampung Selat, Bota Kanan.
14.Sultan Muhammad Shah
(MARHUM AMINULLAH)
SULTAN PERAK YANG KEEMPAT BELAS
(1744 - 1750)
Makam Almarhum Sultan Muhammad Shah

Nama Baginda yang sebenar ialah Raja Bisu, putera Yang di-Pertuan Muda Mansur Shah (Marhum Mangkat di Pualu Tiga). Semasa kekanda Baginda, Sultan Mudzaffar Shah III (Raja Inu) menjadi Sultan Perak, Raja Bisu ialah Yang di-Pertuan Muda atau Sultan Muda bergelar Yang di-Pertuan Muda Muhammad Shah. Baginda bersemayam di Pualu Tiga. Apabila kedua Raja adik-beradik itu berselisih, maka Kesultanan Perak berpecah dua. Peristiwa ini berlaku di sekitar tahun 1743, kedua Raja itu pun berdamai semula.

Sultan Muhammad Shah mangkat pada tahun 1750, dahulu daripada kekanda Baginda Sultan Mudzaffar Shah III. Baginda dimakamkan berhampiran Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah, Sultan Perak yang ke-8 di Pualu Tiga dan bergelar "Marhum Aminullah".
15.Sultan Iskandar Dzulkarnain
(MARHUM KAHARULLAH)
SULTAN PERAK YANG KELIMA BELAS
(1752 - 1765)
Makam Almarhum Sultan Iskandar Dzulkarnain

Nama asal Baginda ialah Raja Iskandar, putera Almarhum Sultan Muhammad Shah dan Baginda ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-15, bergelar Sulatan Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah. Upacara pertabalan baginda berlangsung di Berahman (Bota) tetapi selepas itu Baginda berpindah ke Pulau Chempaka Sari yang kemudiannaya disebut Pulau Indera Sakti.

Baginda beristerikan Raja Budak Rasul, puteri Almarhum Sultan Mudzaffar Shah III dan seorang kebanyakan bernama Che Puteh Selamah binti Panglima Kinda Tok Paloh, bergelar Paduka Maha Dewi, Raja Budak Rasul diangkat menjadi Raja Perempuan Perak.

Baginda kemudian mengangkat Sharif Abu Bakar Jalaluddin menjadi Bendahara, bergelar Bendahara Seri Maharaja menggantikan Bendahara Megat Abu Kasim kerana baginda tidak berpuas hati dengan pembinaan Istana di Pulau Indera Sakti. Kemudian Baginda memberikan pula jawatan Bendahara itu kepada adinda Baginda, Raja Alauddin (Bendahara Penyengat Hitam) dan bergelar Raja Bendahara Paduka Seri Maharaja Wazirul Kabir. Sejak itu jawatan Bendahara dipegang oleh Kerabat di Raja sehingga lebih dua ratus tahun lamanya.

Pada masa pemerintaha Sultan Iskandar Dzulkarnain ini berakhirlah keturunan Megat Abdullah Bendahara Garang dan juga Megat Teraweh serta keturunan Megat Abu Kasim Dato Hilang di Telok-Pulau Tiga.

Pada masa Baginda memerintah Negeri Perak, Nakhoda Pusmah orang Haru dijadikan Laksamana, memerintah Kuala Perak.bergelar Laksamana Orang Kaya-kaya, Tun Abdul Kahar orang Minangkabau digelar Pakih Raja Indera Pahlawan, Seorang bangsa India dikurniakan gelaran Raja Muktabar Khan dan Daing Tomatan Raja Belawan, Orang Bugis dijadikan Orang Besar Baginda. Pada 17 Oktober 1765, Baginda telah membuat surat perjanjian dengan Kompeni Belanda, diketuai Komisaris Ary Verbrugge di Istana Baginda di Pulau Indera Sakti berhubung dengan perniagaan bijih timah.Beberapa Orang-orang Besar Perak mewakili Baginda, diketuai oleh adinda Baginda Raja Muda Perak (Raja Kimas).

Ramai orang-orang India dan orang-orang cina membuka perniagaan di Negeri Perak terutama di Bandar yang bernama "Bandar Maamur" yang tidak berapa jauh dari Istana Baginda di Pulau Indera Sakti. Negeri Perak berkembang dan makmur.

Baginda adalah seorang Raja yang bijaksana, gagah perkasa dan rajin serta mengambil berat tentang hal ehwal pemerintahan serta rakyat baginda. Baginda serta Raja Perempuan Perak (Raja Budak Rasul) berangkat melawat ke merata-rata tempat di Negeri Perak, terutama di tepi Sungai Perak sampai ke hulunya, Sayong, Bukit Gantang dan lain - lain lagi. Sambil melawat, Baginda dan Raja Perempuan Perak serta Orang-orang besar dan rakyat Baginda berkelah di sepanjang Sungai Perak sampai ke Kuala, terus menyusur pantai laut Negeri Perak.

Sebuah Undang-undang yang dipanggil Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan telah digubal. Segala Hal ehwal pentadbiran di Negeri Perak adalah berdasarkan Undang-undang tersebut.

Kisah pemerintahan baginda ini terkandung dengan panjang lebar dalam Hikayat Misa Melayu, karangan Raja Chulan bin Raja Abdul Hamid.

Baginda memerintah Kerajaan Perak selama 14 tahun dari tahun 1752 hingga tahun 1765. Baginda mangkat di Pulau Indera Sakti dan dimakamkan di tempat itu juga dan digelar "Marhum Kaharullah atau Marhum Kahar".

Makam Almarhum terletan di Pulau Indera Sakti di Kuala Sungai Kinta, berkualakan Sungai Perak, Mukim Bandar, Daerah Kecil Kampung Gajah.
16.Sultan Mahmud Shah (Marhum Muda)
(MARHUM MUDA)
SULTAN PERAK YANG KEENAM BELAS
(1765 - 1773)
Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah

Setelah mangkat "Marhum Kaharullah" Sultan Iskandar Dzulkarnain di Pulau Indera Sakti, Kuala Sungai Kinta, adinda Almarhum Raja Kimas diangkat menjadi Sultan Perak yang ke-16, bergelar Sultan Mahmud Shah. Baginda bersemayam di Pulau Indera Sakti kemudian berpindah ke Pasir Pulai, Pulau Besar di tepi Sungai Perak. Kemudian Pasir Pulai digelar oleh Baginda Pasir Pulai Indera Mulia.

Sultan Mahmud Shah memerintah Perak dari tahun 1765-1773. Waktu pemerintahan Baginda, orang-orang Belanda masih menjalankan perniagaan membeli bijih timah di gudang atau loji Belanda di Tanjung Putus. Raja Haji, panglima Bugis yang masyhur dari Riau bersama kekandanya Raja Lumu, Raja Selangor telah datang ke Negeri Perak dalam tahun 1770. Raja Lumu telah beisterikan Puteri di-Raja Perak lalu dinobatkan dan digelar oleh Sultan Mahmud Shah dengan nama Sultan Sallehuddin Shah. Apabila Sultan Sallehuddin Shah berangkat balik ke Negeri Selangor, Baginda ditabalkan pula di hadapan rakyat Selangor dengan membunyikan nobat. Waktu itu Negeri Perak dan Selangor merupakan sahabat baik.

Sultan Mahmud Shah mangkat di Pasir Pulai Indera Mulia dan dimakam di tempat bernama Teluk Memali (Pulau Besar) pada tahun 1773 dan di gelar "Marhum Muda".

Makam Almarhum terletak di Kampung Pasir Pulai, Pulau Besar, Mukim Pasir Panjang Ulu, kira-kira lapan kilometer ke selatan pekan Kampung Gajah.
17.Sultan Alauddin Mansur Shah
(MARHUM SULONG)
SULTAN PERAK YANG KETUJUH BELAS
(1773 - 1786 )
Makam Almarhum Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda

Setelah mangkat Marhum Muda dalam tahun 1773 (Marhum Mahmud Shah Sultan Perak ke-16), adinda al-marhum, Raja Alauddin Ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah diangkat menjadi Sultan Perak yang ke-17, bergelar Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda. Pada mulanya Baginda bersemayam di Pulau Indera Sakti tetapi kemudian berpindah ke Rantau Panjang Indera Mulia.

Waktu pemerintahan Baginda, orang-orang Melayu adalah pengusaha utama mencari bijih di tempat-tempat yang berhampiran dengan tebing Sungai Perak.

Jumlah penduduk Melayu ketika itu dianggarkan kira-kira 30,000 orang dan kebanyakannya menetap di pinggir Sungai Perak. Sultan Allauddin telah mangkat pada tahun 1786 dan Almarhum di gelar "Marhum Sulong". Makam Almarhum terletak di Kampung Telok Memali, Mukim Bandar, Daerah Kecil Kampung Gajah, kira-kira tiga kilometer ke selatan Makam Sultan Mahmud Shah. Kedudukannya ialah kira-kira dua meter sahaja dari tepi kanan mudik Sungai Perak. Almarhum memerintah Negeri Perak selama 13 tahun.
18.Sultan Ahmaddin Shah
(MARHUM BONGSU)
SULTAN PERAK YANG KELAPAN BELAS
(1786 - 1806)
Makam Almarhum Sultan Ahmaddin Shah

Nama Baginda yang sebenar ialah Raja Bongsu atau disebut juga Raja Chik Ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah, Sultan Perak yang ke-14. Baginda ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-18 pada tahun 1786, menggantikan kekandanya Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda. Baginda bergelar Sultan Ahmaddin Shah, dan telah berkahwin dengan Cik Putih binti Laksamana Tok Kuala Bidor.

Pada tahun 1802, Inggeris telah masuk memerintah Negeri Perak dan Kota Belanda di Tanjong Putus dirobohkan. Batu-batunya digunakan untuk membuat jalanraya di Bandar Telok Intan. Semenjak tahun 1804, tidak ada lagi orang-orang Belanda yang cuba menjalankan perniagaan di Negeri Perak.

Di tahun berikutnya, Sultan Ibrahim, Sultan Selangor datang menyerang dan berjaya mengalahkan Negeri Perak. Baginda Sultan Ahmaddin Shah bersama orang-orang Besarnya berundur ke hulu dengan menyusur Sungai Perak hingga ke Kuala Pelus. Sultan Ibrahim dari Selangor seterusnya memberitahu pemerintahan Inggeris supaya jangan sekali-kali berkunjung ke Negeri Perak kerana negeri itu telah ditawan olehnya dari Sungai Kurau di Utara, sampai ke Beting Beras Basah di Selatan.

Baginda Sultan Ahmaddin Shah dari Perak memerintah dari tahun 1786 sehingga tahun 1806. Baginda yang telah tua itu akhirnya mangkat di tempat bernama Chegar Galah. Jenazah Almarhum telah dibawa balik hilir ke Bota, lalu dimakamkan di sana. Almarhum yang bergelar "Makam Bongsu" itu dimakamkan berdekatan dengan Makam Sultan Alauddin Shah "Marhum Mangkat di Darat", Sultan Perak yang ke-5, di belakang pekan kecil Bota Kanan, Mukim Bota, Daerah Perak Tengah.
19.Sultan Abdul Malik Mansur Shah
(MARHUM JAMALULLAH)
SULTAN PERAK YANG KESEMBILAN BELAS
(1806 - 1825)
Makam Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah

Sultan Abdul Malik Mansur Shah adalah putera sulung Sultan Ahmaddin Shah. Baginda bersemayam di Bandar Baru. Dalam tahun 1818, Siam memaksa Kedah melanggar Perak kerana Siam berkehendakkan senjata dan alat peperangan untuk menentang serangan Burma. Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah, Sultan Kedah telah menghantar angkatan perang baginda, diketuai oleh Tengku Yaakub (Tengku Akil) serta Bendahara Kedah untuk menawan orang-orang Perak di Bukit Gantang. Orang-orang Perak diketuai oleh Che Alang Idin, tetapi angkatan Perak itu kalah dan Che Alang Idin berundur ke Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar.

Orang-orang Perak yang datang dari Bukit Gantang itu telah bersatu dengan angkatan orang-orang Perak di Kota Lama Kiri yang diketuai oleh Panjang Talib bin Seri Maharaja Lela Uda Tahir (To' Janggut). Dengan kebijaksanaan Panjang Talib, peperangan itu berakhir dengan perdamaian. Kemudian Tengku Yaakub berkahwin dengan Hajjah Denah, keluarga Panjang Talib dan Bendahara Kedah berkahwin dengan Wan Fatimah. Sultan Abdul Malik Mansur Shah telah bergelar adik Panjang Talib yang bernama Pandak Usop dengan gelaran "Temenggong Paduka Raja" dan Che Alang Idin bergelar "Panglima Bukit Gantang". Sebelum adik Panjang Talib, iaitu Pandak Usop diberi gelaran tersebut, Panjang Talib telah mengadap Sultan Abdul Malik Mansur Shah kerana memohon maaf di atas perbuatannya memakai gelaran "Temenggong Bendahara Muda ".

Dalam tahun 1821 Siam datang melanggar Kedah, Perak dan Selangor. Perak dipaksa menghantar Bunga Emas ke Siam tiap-tiap tahun. Tidak lama kemudian, Siam membebaskan Perak daripada berbuat demikian kerana membalas jasa Sultan Perak yang menghadiahkan seekor gajah bernama Chapang Pileh.

Setahun berikutnya Sultan Selangor (Sultan Ibrahim) telah menghantarkan askar Baginda membantu kerajaan Perak menghalau orang-orang Siam dari Negeri itu. Sebagai membalas budi, Sultan Perak mengaku tunduk ke Selangor. Raja Siam terlalu marah dan menghantar tenteranya dan menduduki semula Negeri Perak serta memerintahkan Perak menghantar semula Bunga Emas ke Negeri Siam. Siam juga mengugut akan menyerang Negeri Selangor, jika negeri itu terus mencampuri hal ehwal Negeri Perak.

Orang-orang Inggeris di Pulau Pinang berasa khuatir melihatkan telatah kerajaan Siam lalu mereka masuk campur tangan dan perselisihan di antara Siam, Perak dan Selangor dapat diselesaikan dengan aman. Kedua Kerajaan bersetuju Sungai Bernam dijadikan sempadan Negeri Selangor dan Perak. Dalam kesibukan Perak menguruskan hal perselisihannya dengan Siam dan Selangor, Raja Reman mengambil peluang merampas kawasan Hulu Perak iaitu Kroh (Panglima Hulu) dan Klian Intan yang kaya dengan bijih timah. Sultan Abdul Malik Mansur Shah mangkat dalam tahun 1825 dan dimakamkan di Bandar Baru, Pulau Besar, Daerah Perak Tengah dan digelar "Marhum Jamalullah". Makam Almarhum terletak kira-kira 1.6 km ke selatan dari Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah, Sultan Perak yang ke-16. Berhampiran pula dengan Makam Sultan Abdul Malik terdapat Jerat J.W.W Birch, Residen Inggeris yang pertama dan juga kubur Mat Arshad, kerani dan jurubahasa J.W.W Birch yang terbunuh di Kuala Biah, Pasir Salak, Kampung Gajah pada 1875.
20.Sultan Abdullah Muazzam Shah
(MARHUM KHALILULLAH)
Sultan Perak Yang Ke -20
(1825 - 1830)
Makam Almarhum Sultan Abdullah Mu'azzam Shah

Baginda ialah putera sulung kepada Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah-Sultan Perak yang ke-19. Baginda diangkat menjadi Sultan Perak tahun 1825 bergelar Sultan Abdullah Mua'zzam Shah, Sultan Perak yang ke-20. Baginda bersemayam di Teluk Kepayang. Adinda baginda bernama Raja Ahmad diangkat menjadi Raja Kecil Tengah.

Sewaktu pemerintahan Baginda, Negeri Perak dibawah pengaruh Siam dan sebahagian Hulu Perak, iaitu Klian Intan, Selarong dan Tasek dikuasai oleh Raja Reman (Selatan Siam).

Pada 6 September, 1825, John Anderson membuat perjanjian di antara Sultan Perak dengan Sultan Selangor menetapkan Sungai Bernam menjadi sempadan di antara Negeri Perak dengan Negeri Selangor. Setahun kemudian "Perjanjian Burney" yang dibuat di antara Kompeni Inggeris dengan Kerajaan Siam telah menekankan bahawa Kerajaan Siam tidak lagi berhak ke atas Negeri Perak. Negeri Perak akan diperintah oleh Sultannya sendiri.

Melalui Perjanjian Low 1826 Sultan Perak telah menyerahkan Pulau Pangkor dan Pulau-pulau Sembilan kepada Kompeni Inggeris dengan tujuan supaya Kompeni Inggeris menghapuskan lanun-lanun di situ.

Raja Chulan (Raja Bendahara), putera Raja Inu Ibni Almarhum Sultan Ahmaddin Shah, telah dilantik menjadi Raja Muda Perak, manakala Raja Abdullah, putera Raja Kechil Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Ahmaddin Shah menjadi Raja Bendahara Perak.

Sultan Abdullah Mua'zzam Shah mangkat pada 20 hb. Disember 1830 bergalar "Marhum Khaliullah". Makam Almarhum terletak berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Pulau Juar, Teluk Kepayang, Pasir Panjang Ulu, Daerah Kecil Kampung Gajah, kira-kira 6.4 km ke selatan dari pekan Kampung Gajah. Berhampiran dengan makam Almarhum terdapat makam Almarhum Sultan Ja'far Mua'azzam Shah (Sultan Perak ke-23).

Semasa pemerintahan Sultan Idris Murshidul'adzam Shah, makam Almarhum telah dipindahkan ke tempat sekarang disebabkan makam itu hampir jatuh ke sungai.
22.Sultan Abdullah Muhammad Shah
(MARHUM DURIAN SEBATANG)
SULTAN PERAK YANG KEDUA PULUH DUA
(1851 - 1857)
Makam Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah

Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah I Ibni Raja Kecil Besar Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Ahmaddin Shah yang bersemayam di Durian Sebatang ini merupakan Sultan Perak yang ke-22. Baginda beristerikan Raja Sharifah Ngah Aminah binti Raja Alang Rawin dan beroleh tiga orang putera iaitu Raja Lob Yusuf (Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah - Sultan Perak yang ke-27 Mangkat di Sayong, Kuala Kangsar), Raja Sulaiman (Mangkat di Ligor) dan Raja Pandak Abdul Rahman Ibni Almarhum Pandak Budak Rasul.

Semasa pemerintahan Sultan Abdullah, telah berlaku peperangan dengan pihak Raja Ngah Jaafar putera Raja Ahmad Ibni Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Sultan Abdullah Muhammad Shah telah tewas dalam peperangan itu dan terpaksa meninggalkan Istana di Durian Sebatang. Baginda mendapatkan perlindungan di rumah Datuk Laksamana Tok Janggut.

Dalam bulan November, 1850, Raja Muda Ngah Ali, putera Almarhum Sultan Shahabuddin Marhum Safiullah, yang bertindak sebagi wakil Sultan Perak telah menyerahkan Daerah Larut kepada Che Long Jaafar dengan kuasa sepucuk surat akuan yang telah ditandatangani oleh beliau sendiri serta beberapa Orang-orang Besar Perak.

Tiga tahun kemudian, Orang-orang Besar Perak dengan pengaruh di negeri itu, telah memecat Sultan Abdullah Muhammad Shah yang masih dalam buangan, lalu mengangkat Raja Ngah Jaafar menaiki takhta Kerajaan Negeri Perak.

Pada tahun 1855, Raja Yusuf, putera Sultan Abdullah yang dipecat itu telah berusaha dan telah mencuba sedaya-upaya agar Orang-orang Besar Negeri Perak menyebelahi semula ayahandanya tetapi gagal.

Sebaliknya dalam bulan November 1856, Raja Ngah Jaafar yang menggelarkan dirinya "Sultan Perak" turut memberi surat akuan kuasa kepada Che Long Jaafar sebagai orang yang berkuasa di Larut.

Akhirnya Sultan Abdullah Muhammad Shah I mangkat dengan tiba-tiba setahun kemudian dan telah dimakamkan di Durian Sebatang. Baginda digelar "Marhum Itikadullah" tetapi lebih terkenal sebagai "Marhum Durian Sebatang".

Makam Almarhum terletak di Kampung Terengganu, Bandar Teluk Intan, Daerah Hilir Perak. Letaknya makam ini ialah kira-kira 20 meter dari Jalan Mak Intan, manakala luasnya ialah 30.0 x 30.0 kaki persegi.
21.Sultan Shahabuddin Riayat Shah
(MARHUM SAFIULLAH)
SULTAN PERAK YANG KEDUA PULUH SATU
(1830 - 1851)
Makam Almarhum Sultan Shahabuddin Riayat Shah

Sebelum menjadi Sultan Perak yang ke-21, menggantikan Sultan Abdullah Mansur Shah, Baginda dikenali sebagai Raja Chulan (bukan Raja Chulan pengarang Hikayat Misa Melayu) iaitu Putera Raja Inu Ibni Almarhum Sultan Ahmaddin Shah (Marhum Bongsu).

Dalam tahun 1831, Baginda mengutus surat memberitahu Residen Inggeris di Pulau Pinang yang Baginda telah menaiki takhta Kerajaan Perak. Setahun kemudian Baginda memberitahu pemerintah Inggeris di Pulau Pinang bahawa orang-orang Selangor hendak menyerang Negeri Perak berhubung dengan baki hutang kerajaan Perak kepada kerajaan Selangor sejak Sultan Ibrahim Selangor dahulu lagi. Hasil dari Perjanjian Low yang dibuat dalam tahun 1826, kedatangan seorang saudagar Inggeris bernama George Stuart dengan angkatan kapalnya di Negeri Perak, telah berjaya mematahkan niat orang-orang Selangor itu. Dalam tahun 1837 Residen Konselor di Pulau Pinang telah memberi amaran kepada Sultan Selangor supaya jangan menyerang negeri Perak.

Dalam tahun 1840, seorang Melayu Perak bernama Long Jaafar keturunan Penghulu Mukim Lubok Merbau daerah Kuala Kangsar datang bekerja dengan Dato' Panglima Bukit Gantang dan dilantik menjadi pemungut cukai di Kerian dan di Kuala Kurau. Semasa Che Long Jaafar mula datang ke Larut hanya tiga orang Cina diam di daerah ini. Dalam tahun 1848 Che Long Jaafar mula membuka lombong bijih timah di Larut dan membawa masuk orang-orang Cina ke Larut bekerja di lombong-lombong itu.

Dalam tahun 1842 Sultan Perak telah berselisih faham dengan Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah tentang tuntutan Daerah Kerian oleh Sultan Kedah. Akhirnya dengan campur tangan Inggeris, Sultan Kedah telah membatalkan tuntutan itu.

Sultan Shahabuddin mempunyai dua isteri, seorang bernama Tok Engku Raja Mandak binti Raja Mahmud (Mangkat di Sayong, Kuala Kangsar) dan beroleh seorang putera bernama Raja Mahmud. Manakala dengan isteri kedua, Raja Perempuan Nutidah Selamat, Baginda beroleh seorang putera bernama Raja Ngah Ali (Sultan Ali Almukamal Inayat Shah Marhum Nabi Allah - Sultan Perak yang ke-24).

Sultan Shahabuddin mangkat dalam tahun 1851 dan dimakamkan di Kampung Tanjung Penaggok, Mukim Bandar, Daerah Kecil Kampung Gajah dan bergelar "Marhum Safiullah".

Makam Almarhum terletak di dalam kebun getah di Kampung Tanjung Penanggoh, Mukim Bandar, Daerah Kecil Kampung Gajah, iaitu ke utara sedikit dari Makam Sultan Iskandar Dzulkarnain (Marhum Kaharullah) Pulau Indera Sakti.
24.Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah
(MARHUM NABI ALLAH)
SULTAN PERAK YANG KEDUA PULUH EMPAT
(1865 - 1871)
Makam Almarhum Sultan Ali al-Mukammal Inayat Shah

Sultan Ali ialah putera Marhum Sultan Shahabuddin (Marhum Safiullah) yang dilantik menjadi Sultan Perak Yang ke-24 bergelar Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah dan bersemayam di Sayong, Kuala Kangsar. Baginda pernah menjadi Raja Muda di zaman pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad Shah I (Marhum Durian Sebatang) dan juga di zaman pemerintahan Sultan Ja'afar Mu'azzam Shah (Marhum Waliullah Kampung Juar, Kampung Gajah). Baginda beristerikan Raja Puteh binti Raja Kechil Sulong Idris dan berputerakan Raja Osman (Bendahara Perak) dan Raja Omar. Baginda beristerikan seorang lagi, bernama Tok Engku Permaisuri Zaidah dan berputerikan Raja Zaharah.

Pada masa pemerintahan Baginda, yang menjadi Bendahara Perak ialah Raja Ismail, putera Saiyed Syeikh Al-Khairat, Raja dari Siak dan Raja Mudanya ialah Raja Muda Abdullah Ibni Almarhum Sultan Ja'afar Mu'azzam Shah.

Pada tahun 1870, Raja Muda Abdullah telah memajakkan suatu kawasan di Kerian kepada seorang Eropah bernama Edward Bacon dari Pulau Pinang, tanpa persetujuan Sultan Ali. Menteri Ngah Ibrahim menjadi marah kerana kawasan Kerian adalah Daerah Larut, kepunyaannya.

Kemangkatan Sultan Ali tidak berganti, maka Istiadat Permakaman jenazah baginda tergendala selama empat puluh hari. Setelah sebulan lamanya jenazah Almarhum Sultan Ali terbujur tanpa dikebumikan akhirnya Orang-orang besar Perak berkumpul di Sayong dan mengambil keputusan memakamkan Almarhum Sultan Ali. Pada 28 Jun, 1871 Raja Bendahara Ismail dilantik menjadi Sultan Perak Yang ke-25 bergelar Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Shah.

Jenazah Almarhum Sultan Ali lambat dimakamkan kerana pada masa itu Menteri Ngah Ibrahim seorang yang kaya dan berpengaruh di Negeri Perak sedang berselisih dengan Raja Muda Abdullah. Menteri Ngah Ibrahim bersetuju Raja Bendahara Ismail dilantik menjadi Sultan Perak. Semasa pemerintahan Sultan Ismail, berlaku perselisihan antara kerabat di-Raja Perak terutama di antara Sultan Ismail (di Belanja) Raja Muda Abdullah (di Batak Rabit) Raja Yusuf (di Senggang) dan Menteri Ngah Ibrahim (di Larut).

Ketiga-tiga orang Raja itu masing-masing mengaku diri sendiri lebih berhak mewarisi takhta Kerajaan Negeri Perak dan Menteri Ngah Ibrahim pula menganggap daerah Larut itu kepunyaannya sendiri.

Almarhum Sultan Ali Al-Mukamal Shah mangkat di Sayong pada bulan Mei 1871 dan jenazah Baginda dimakamkan di Gedong Siam di Sayong, Daerah Kuala Kangsar pada 28 hb Jun 1871 dengan gelaran "Marhum Nabi Allah".
23.Sultan Jaafar Mua'zzam Shah
(MARHUM WALIU'LLAH)
SULTAN PERAK YANG KEDUA PULUH TIGA
(1857 - 1865)
Makam Almarhum Sultan Ja'afar Mua'azzam Shah

Sultan Ja'far Mua'azzam Shah adalah putera Raja Kecil Tengah Ahmad Ibni Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Baginda adalah kekanda kepada bendahara Raja Alang Iskandar (Marhum Teja). Sebelum Baginda menjadi Sultan nama Baginda ialah Raja Ngah Jaafar.

Baginda ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-23 bergelar Sultan Ja'afar Mua'azzam Shah dan bersemayam di Pasir Panjang. Sultan Abdullah Muhammah Shah I, Sultan Perak yang ke-22 kononnya telah dipecat oleh Orang-orang Besar Perak pada tahun 1853. Walau bagaimanapun pemecatan itu belum rasmi di seluruh negeri Perak.

Pada tahun 1856, Raja Ngah Jaafar yang menggelari dirinya Sultan telah mengurniakan surat akuan pemberian daerah Larut kepada Che Long Jaafa, seperti yang telah dilakukan oleh Raja Ngah Ali pada tahun 1850.

Dengan kemangkatan Sultan Abdullah Muhammad Shah I yang bergelar "Marhum Durian Sebatang" baharulah Raja Ngah Jaafar dipandang sebagai Sultan bagi seluruh Negeri Perak. Pada masa pemerintahan Sultan Ja'afar, Raja Muda Perak ialah Raja Ngah Ali Ibni Almarhum Sultan Shahabuddin dan Raja Bendahara ialah Raja Ismail Ibni Saiyid Al-Khairat, Raja Siak. Raja Yusof, putera "Marhum Durian Sebatang" tidak dilantik menjadi Raja Bendahara kerana Sultan Ja'afar tidak bersetuju dengan Baginda.

Pada tahun 1861 hingga tahun 1862 berlaku Peperangan Larut pertama diikuti oleh Perang Larut kedua pada tahun 1865. Dalam Perang Larut kedua Baginda Sultan Ja'afar telah mangkat di Durian Sebatang dan jenazah Baginda telah dibawa ke Pulau Juar serta dimakamkan di sana. Baginda digelar "Marhum Waliu'llah". Makam Almarhum terletak berdekatan dengan makan Almarhum Sultan Abdullah Mua'azzam Shah, Sultan Perak yang ke-20 di Kampung Pulau Juar.
25.Sultan Ismail Mua'abidin Riayat Shah
Sultan Ismail Mua'abidin Riayat Shah
SULTAN PERAK YANG KEDUA PULUH LIMA
(1871-1874)
Dimakamkan di Sekudai
26.Sultan Abdullah Muhammad II

DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN ABDULLAH MUHAMMAD SHAH II
(MARHUM HABIBULLAH)
SULTAN PERAK YANG KE 26
(1874 - 1876)

Sultan Abdullah Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ja'afar Mua'azzam Shah ditabal menjadi Sultan Perak yang ke-26 mengikut Perjanjian Pangkor pada 20 Januari, 1874 dan bergelar Sultan Abdullah Muhammad Shah II.

Dengan persetujuan Sultan Abdullah juga, Gabenor Sir Andrew Clarke berani bertindak menjalan dan menurunkan Sultan Ismail yang bersemayam di Tanjong Belanja, Parit dari pangkat Sultan dan membenarkan Sultan Ismail memakai gelaran "Sultan Muda" dengan memberi pencen seribu ringgit tiap-tiap bulan. Che Ngah Ibrahim tidak lagi diakui sebagai pemerintah Larut.

Walaupun Sultan Abdullah Muhammad Shah II dilantik menjadi Sultan Perak tetapi perselisihan di antara Raja-raja dan Orang-orang Besar Perak sesama sendiri sejak tahun 1871 dahulu, belum berhenti. Orang-orang Besar Perak yang menyebelahi bekas Sultan Ismail berpendapat bahawa melantik Raja Bendahara Ismail menjadi Sultan Perak adalah sah. Sultan Abdullah hanya dilantik oleh Inggeris.

Perjumpaan Mesyuarat Raja Muda Abdullah, Sir Andrew Clarke dan beberapa Orang-orang Besar Perak tanpa kehadiran Sultan Ismail dan Raja Yusuf di Pulau Pangkor pada 20hb Januari, 1874 telah menghasilkan "Perjanjian Pangkor" dan syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

"Raja Muda Ibrahim diangkat menjadi Sultan Perak, Bendahara Ismail bekas Sultan itu dibenarkan memakai gelaran Sultan Muda; Sultan Perak hendaklah menyediakan tempat Residen itu, nasihat British Residen hendaklah diikuti kecuali pada perkara-perkara yang mengenai agama dan adat orang-orang Melayu; fasal menjaga dan memungut segala cukai dan hasil negeri, demikian pula aturan pemerintahan Am hendaklah ditetapkan dengan nasihat British Residen."

Kerajaan Inggeris menghantar seorang pegawainya J.W.W Birch ke Perak untuk menjadi Residen British yang pertama. Untuk menguatkan kedudukan British di Perak, Birch dan Swettemham telah mengadakan perjumpaan dengan Raja Yusuf di Senggang; Sultan Ismail di Belanja dan Raja Muda Abdullah (Sultan Abdullah) di Batak Rabit. Daripada lawatan Birch dan Swettenham itulah Inggeris tahu bahawa Raja Yusuf dan Raja Ismail tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang dipersetujui oleh Sultan Abdullah dan lain Orang-orang Besar Perak dalam "Perjanjian Pangkor".

Tidak berapa lama kemudian berbangkitlah perselisihan di antara Residen British itu dengan Sultan Abdullah dan Orang-orang Besar Perak, terutama fasal memungut segala cukai dan hasil dalam negeri oleh pegawai-pegawai kerajaan yang melarang dan menghukum "pemungut cukai" yang menyalahi undang-undang dan menghapuskan adat hamba abdi kerana berhutang.

Pada 5 Januari 1875 Birch cuba membawa Sultan Abdullah ke Belanja, berjumpa dengan Raja Ismail, bekas sultan, dalam sebuah majlis khas yang dihadiri oleh Raja Yusuf, Raja Bendahara dan beberapa Orang-orang Besar tetapi Menteri Ngah Ibrahim, Temenggong dan Maharaja Lela tidak hadir sama walaupun mereka memang ada di Belanja, mendapatkan Raja Ismail untuk menyerahkan Alat Kebesaran Kerajaan Perak kepada Sultan Abdullah. Sultan Abdullah dan Raja Ismail serta Orang-orang Besar Perak telah bersatu menentang Birch.

Dua kali Birch meminta Sultan Abdullah menandatangani "Surat surat Perisytiharan" dalam bulan Februari 1875 tetapi permintaan tidak diluluskan oleh Baginda, kerana Baginda mesti berunding dahulu dengan Orang-orang Besar Perak dalam suatu majlis mesyuarat. Suatu perjumpaan di antara Orang-orang Besar Perak yang dihadiri oleh Birch, Sultan Abdullah dan Menteri Ngah Ibrahim fasal hendak memungut cukai-cukai di Negeri Perak telah berlangsung. Orang-orang Besar Perak yang hadir memang tidak suka terutama Maharaja Lela yang menjaga Kampong Pasir Salak.

Pada 26 April 1875 Sultan Abdullah mengirim sepucuk surat kepada Gabenor Andrew Clarke membantah perbuatan Birch, disokong oleh Orang-orang Besar Perak. Surat bantahan Sultan Abdullah dibawa ke Singapura oleh suatu perwakilan Baginda, terdiri daripada Raja Idris, Dato Laksamana Muhammad Amin dan Encik Muhammad Arshad. Perbuatan Sultan Abdullah mengecam kerja-kerja Birch di Negeri Perak tidak disetujui oleh Sir Andrew Clarke. Oleh sebab itu Birch dikatakan menjadi-jadi sehingga Dato' Shahbandar dibuang negeri. Beliau juga mengecam Sultan Abdullah jika perisytiharan-perisytiharan itu tidak ditandatangani hingga 21 Julai, 1875 Kerajaan Inggeris menurunkan Baginda dari takhta kerajaan.

Pada 21 Mei, 1875 pula suatu persidangan diadakan di Durian Sebatang dihadiri oleh Raja Idris, Laksamana Muhammad Amin, Dato' Seri Agar di Raja, Shahbandar, Maharaja Lela, Menteri Ngah Ibrahim, Temenggong dan lain-lain melainkan Raja Yusuf. Dalam perjumpaan itu Sultan Abdullah telah membacakan surat daripada Raja Ismail yang menyatakan bersetuju atas sebarang rancangan bagi menghalau orang-orang Inggeris. Semuanya yang hadir turut bersetuju menerima tawaran Maharaja Lela (Orang Besar Pasir Salak) untuk menikam Residen Birch.

Pada 24 September, 1875 Sultan Abdullah bersetuju dalam suratnya atas cadangan Gabenor yang menyatakan Negeri Perak hendaklah diserah kepada Kerajaan British. Lepas itu Sultan Abdullah memanggil Orang-orang Besar Baginda berkumpul di Pasir Panjang dan Baginda menyatakan kepada mereka Baginda akan menyerahkan Negeri Perak kepada Kerajaan British. Maharaja Lela menyatakan ia tidak peduli hal itu dan tidak akan menerima apa-apa perintah daripada Birch dan tidak membenarkan Birch berada di Kampong Pasir Salak dan Dato' Seri Agar di-Raja (Orang Besar Kampong Gajah) akan mengikut apa-apa yang dibuat oleh Maharaja Lela.

Pada 1 Oktober 1875, Birch meminta Sultan Abdullah menandatangani dua jenis surat perisytiharan Kerajaan British memerintah Negeri Perak, yang akan disiarkan kepada orang ramai. Tidak berapa lama selepas Swettenham bertolak ke Singapura, Sultan Abdullah di Batak Rabit telah memberi surat pengakuan membenarkan Maharaja Lela membunuh Birch dan Raja Ismail di Belanja untuk mengumpul Orang-orang Besarnya datang bermesyuarat untuk mendapat ketetapan surat daripada Laksamana Muhammad Amin, menyatakan Sultan Abdullah telah memberi kuasa kepada Maharaja Lela membunuh Birch. Perjumpaan bersetuju membantu Maharaja Lela menjalankan tugasnya, tetapi Menteri Ngah Ibrahim, Raja Bendahara dan Temenggong tidak hadir dalam mesyuarat itu. Sebagai akibat daripada perselisihan itu J.W.W Birch, Residen British pertama di Perak dibunuh di Kampung Pasir Salak pada 2 November, 1875.

Untuk membela kematian Birch itu Kerajaan Inggeris pun mengirimkan askar-askarnya ke Perak. Sepasukan askarnya mudik ke Sungai Perak lalu menyerang kubu pertahanan Maharaja Lela di Pasir Salak dan Kampung Gajah, sementara sepasukan yang lain pula mendarat di Matang lalu bergerak menuju Kuala Kangsar dan dari sini askar itu kemudian hilir ikut Sungai Perak.

Bekas Sultan Ismail yang bersemayam di Belanja telah bersatu dengan Maharaja Lela dan orangnya berundur membawa Perkakas Kerajaan Negeri Perak ke Kinta, Kemudian ke Ulu Perak. Mereka diburu masuk ke Kedah dan akhirnya bekas Sultan Ismail menyerah diri kepada Sultan Kedah lalu dibawa ke Pulau Pinang, kemudian diserahkan kepada Naib Gabenor Pulau Pinang. Baginda kemudian telah diasingkan ke Johor dan Perkakas Kerajaan Negeri Perak telah dihantar ke England untuk simpanan.

Dato' Seri Agar di-Raja (Dato' Sagor) dengan orang-orangnya lari ke Pahang dan kemudian menyerah diri kepada Residen British di Pahang dan kemudian dihantar balik ke Perak. Dato' Sagor adalah orang kuat Sultan Abdullah dan Maharaja Lela, orang kuat Raja Ismail.

Sultan Abdullah telah ditawan dan diasingkan ke Pulau Seychelles bersama Orang Kaya Menteri, Orang Kaya-kaya Laksamana dan Shahbandar. Maharaja Lela dan Dato' Seri Agar di-Raja dan lain-lain dibicarakan di Matang. Keputusannya mereka dihukum gantung sampai mati di Taiping.

Tahun 1877, Raja Idris dibenarkan balik ke Negeri Perak kerana bukti-bukti kesalahan dalam perkara ini tidak jelas. Sultan Abdullah beristerikan Raja Tipah dan Putera Baginda adalah Raja Ngah Mansur dan Raja Chulan yang bersemayam di Kuala Kangsar. Sultan Abdullah berada dalam buangan di Pulau Seychelles kira-kira 17 tahun. Pada tahun 1894 Kerajaan British telah membenarkan Baginda balik ke Tanah Melayu dan bersemayam di Singapura bersama Orang-orang Besar Orang Kaya Menteri, Orang Kaya-kaya Laksamana dan Shahbandar. Kemudian Baginda sahaja pindah ke Pulau Pinang dan pada tahun 1922, Baginda telah dibenarkan balik ke Kuala Kangsar. Tidak berapa lama kemudian, Baginda mangkat dan dimakamkan di Makam di-Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan di gelar "Marhum Habibullah".

Makam Di-Raja, Bukit Chandan, Kuala Kangsar
27.Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah

DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN YUSUF SHARIFUDDIN MUDZAFFAR SHAH
(MARHUM GHARIRULLAH)
SULTAN PERAK YANG KEDUA PULUH TUJUH
(1886 - 1887)

Sultan Yusuf adalah putera Almarhum Sultan Abdullah Muhammad I, Sultan Perak yang ke 22. Semasa Sultan Jaafar, Sultan Perak yang ke-23 mangkat pada tahun 1865, dan juga semasa Sultan Ali, Sultan Perak yang ke-24 mangkat, Baginda telah tidak dipilih menjadi Raja Bendahara walaupun Baginda berhak. Ini disebabkan ramai Raja-raja dan Orang-orang Besar Perak tidak sukakan Baginda.

Pada tahun 1871, Raja Bendahara Ismail telah diangkat menjadi Sultan Perak yang ke-25 tetapi Raja Muda Abdullah yang bersemayam di Batak Rabit telah tidak berpuas hati dengan perlantikan itu. Untuk menguatkan kedudukannya, Raja Muda Perak yang bersemayam di Senggang dan Baginda sendiri mengaku diri Baginda sebagai Sultan Perak yang ke-26, bergelar Sultan Abdullah Muhammad Shah II, Marhum Habibullah.

Pada tahun 1877, Baginda telah berangkat ke Singapura kerana dipanggil oleh Kerajaan British berhubung dengan penyiasatan pembunuhan Birch di Pasir Salak. Raja Yusuf telah diangkat menjadi Pemangku Raja bagi Negeri Perak, dan Baginda telah berpindah ke Sayong, seberang pekan Kuala Kangsar.

Raja Idris Ibni Almarhum Raja Alang Iskandar dibenarkan balik ke Perak dari Singapura untuk membantu mertuanya Raja Yusuf untuk memerintah Negeri Perak. Raja Yusuf diiktiraf menjadi Pemangku raja daripada tahun 1877, manakala Raja Idris pula diangkat menjadi Raja Bendahara Perak.

Berikutan dengan itu, sebuah Majlis Mesyuarat negeri (State Council) yang ahli-ahlinya terdiri daripada Raja Yusuf sebagai yang di-Pertua, Hugh Low - Residen Inggeris, Raja Idris, Dato' Temenggong, Che Karim Selama, Kapitan Chung Keng Kwee - Ketua Kumpulan China Ho Kuan (Hai San), dan Kapitan Chin Ah Yam - (Ghi Hin) telah ditubuhkan.

Persidangan pertama Majlis itu telah diadakan di Kuala Kangsar pada 10hb. September, 1877 bagi merundingkan dasar-dasar Kerajaan Negeri Perak.

Setelah lebih kurang 9 tahun Raja Yusuf menjadi Raja Muda dan Pemangku Raja di Negeri Perak, Baginda pun dilantik menjadi Sultan Perak yang ke-27 bergelar Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah pada 7hb. Oktober, 1886 dan bersemayam di Sayong Tebing. Raja Idris pula diangkat menjadi Raja Muda Perak.

Sultan Yusuf memerintah Negeri Perak selama lebih kurang sepuluh bulan sahaja. Baginda mangkat pada bulan Julai, 1887 di Sayong dan digelar "Marhum Gharirullah".

Makam Almarhum Sultan Yusuf Shariffuddin Mudzaffar Shah asalnya terletak di Sayong Tebing tetapi telah dipindahkan ke kawasan Masjid Sayong Tengah, Mukim, Daerah Kuala Kangsar.

Makam Almarhum Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah
28.Sultan Idris Murshidul'azam Shah
DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN IDRIS MURSHIDUL'ADZAM SHAH
(MARHUM RAHMATULLAH)
SULTAN PERAK KEDUA PULUH LAPAN
(1887 - 1916)

Makam Almarhum terletak berhampiran dengan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dalam sebuah bangunan Makam di-Raja. Sultan-sultan lain yang dimakamkan di Permakaman di-Raja Bukit Chandan ialah Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (Sultan Perak yang ke-29) dan Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak Yang ke-30).

Almarhum Sultan Idris Murshidul 'adzam Shah ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar, G.C.M.G., G.C.V.O., ialah putera yang ketiga kepada Raja Bendahara Alang Iskandar (Marhum Teja) dan diputerakan di Kuala Keboi, Kampar (Perak) dalam tahun 1849.

Dalam tahun 1875, semasa Sultan Abdullah Muhammad Shah II menjadi Sultan Perak, Raja Idris berumur 26 tahun. Di masa perselisihan di antara Sultan Abdullah dengan Birch, Baginda menjadi ketua rombongan perwakilan yang membawa surat daripada Sultan Abdullah kepada Gabenor Sir Andrew Clarke. Pada tahun yang sama, Raja Idris telah dilantik oleh Sultan Abdullah menjadi Hakim dan kemudian menjadi Hakim Besar pula.

Pada bulan Mac, 1876 Raja Idris dilantik oleh Sultan Abdullah menjadi hakim dalam perbicaraan Seputum, Che Gondah dan Ngah Ahmad di Bandar Baharu yang telah didakwa oleh British. Setahun kemudian Baginda balik ke Negeri Perak dari Singapura membantu ayah mertua Baginda Raja Yusuf Raja Muda Perak yang menjadi Pemangku Raja. Raja Idris dilantik menjadi Raja Bendahara Perak dan di akhir tahun 1877, Baginda dilantik pula menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri itu.

Pada 7 Oktober 1886, apabila Raja Muda Yusuf dilantik menjadi Sultan Perak, Raja Idris diangkat pula menjadi Raja Muda Perak. Dalam bulan Julai, 1887 Sultan Yusuf mangkat dan Raja Muda Idris dilantik menjadi Sultan Perak yang ke-28 bergelar Sultan Idris Murshidul 'adzam Shah (Sultan Idris I). Baginda bersemayam di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Ketika itu Baginda berumur 38 tahun. Sir Hugh Low masih memegang jawatan Residen di Negeri Perak.

Ketika Baginda berjawatan Hakim dalam tahun 1884, Baginda berangkat ke London bersama-sama Sir hugh Low dan Yang Mulia Raja Mansur ibni Almarhum Sultan Abdullah kerana mengambil balik perkakas Kerajaan Negeri Perak yang dibawa oleh orang-orang Inggeris untuk disimpan selepas huru-hara Perang Perak dalam tahun 1875 hingga 1876.

Dalam tahun 1888 Baginda Sultan idris sekali lagi berangkat ke England bersama-sama Sir Hugh Low dan Raja Ngah Mansur kerana menunaikan jemputan Ratu Inggeris, Queen Victoria. Di England, Raja Ngah Mansur berusaha dengan persetujuan Sultan Idris mencipta lagu "Lagu Kebangsaan Negeri Perak Terang Bulan". Lagu ini mula diketengahkan pada 5 April, 1889 dalam Istiadat Pertabalan Baginda di Kuala Kangsar.

Pemerintahan Sultan Idris bertambah maju, pekan-pekan semakin banyak dibuka di negeri itu, hasil bijih timah dari daerah Kinta banyak dikeluarkan dan ladang-ladang getah semakin banyak dibuka di daerah-daerah Negeri Perak. Penduduk Negeri Perak menjadi bertambah ramai, berjumlah 214,254 orang.

Pada tahun 1895, dengan persetujuan Sultan-Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang di-Pertuan Negeri Sembilan, keempat-empat buah negeri itu dijadikan sebuah persekutuan negeri-negeri dinamakan "Negeri-Negeri Melayu Bersekutu". Persekutuan ini telah dirasmikan pertubuhannya pada 1 Julai 1896 dan Majlis Raja-Raja keempat-empat buah negeri ini disebut "DUKBAR". Pengerusinya ialah Sir Charles Mitchell, Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Gabenor Negeri-Negeri Selat. Majlis tersebut diadakan di Istana Sultan Idris Perak (Istana Negara) di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada bulan Julai 1897.

Permulaan jalan keretapi bagi penggunaan awam di Semenanjung Tanah Melayu ialah jalan keretapi dari Taiping ke Port Weld, sejauh 5 km yang dibuka pada zaman Sultan Yusuf, dalam tahun 1885.

Dalam tahun 1901 Baginda Sultan Idris telah dikurniakan Bintang Kebesaran G.C.M.G. oleh Raja Inggeris, King George V.

Baginda menggalakkan penubuhan beberapa buah Sekolah Melayu dan Sekolah Inggeris bagi tempat anak-anak Raja dan Orang-orang Besar seluruh Negeri Perak. Antaranya ialah Babul'd-Darjat (Kolej Melayu) Kuala Kangsar dan King Edward School (asalnya Central School).

Sewaktu pemerintahan Sultan Idris, bahagian Hulu perak yang luasnya seribu batu persegi diambil oleh Kerajaan Reman (Perintah Siam) dalam tahun 1909. Sebagai ganti, Kerajaan Reman menyerahkan balik kepada Kerajaan Perak Kelian Intan dan Keroh, Hulu Perak.

Dalam tahun 1911, Sultan Idris bersama isteri Baginda Tengku Permaisuri Uteh Mariah berangkat ke England menghadiri kemahkotaan Raja Inggeris King George V. Pengiring Baginda ialah Raja Sir Chulan (Raja Di Hilir) dan Dato' Setia Jeragan Abdul Shukur. Pada masa baginda memerintah, putera Baginda yang bernama Raja Abdul Jalil menjadi Raja bendahara dan yang bernama Alang Iskandar memegang jawatan Penolong Pesuruhjaya Polis di Kuala Lumpur.

Sebuah Maktab Perguruan Melayu di Melaka dan Matang dibuka dan ditutup dalam tahun 1922, kemudian digabungkan menjadi sebuah maktab perguruan Melayu yang besar di Tanjung Malim dinamakan Maktab Latihan Sultan Idris, sempena nama Baginda setelah mangkat 6 tahun lepas itu.

Baginda Sultan Idris meletak batu asas bangunan Masjid Ubudiah Bukit Chandan tidak jauh dari Istana Baginda kerana menyempurnakan nazar Baginda, tetapi masjid ini dibuka dengan rasmi oleh Raja Abdul Jalil dalam tahun 1917.

Dalam tahun 1914 semasa Perang Dunia pertama, Sultan Idris mengambil bahagian utama bersama-sama Raja-Raja pemerintah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu menghadiah sebuah kapal perang besar kepada Kerajaan british dan kapal itu dinamakan H.M.S Malaya dan telah ditenggelamkan dalam Perang Dunia yang kedua.

Baginda Sultan Idris juga telah melantik Jeragan Abdul Shukur bin Mohammad Ali kepada martabat Orang Kaya-Kaya Setia Bijaya di-Raja, menggantikan gelaran Orang Kaya-Kaya Seri Agar di-Raja yang telah dimansuhkan selepas pembunuhan J.W.W. Birch.

Pada 14 Januari 1916, Baginda Sultan Idris I mangkat di Istana Bukit Chandan dan dimakamkan di Permakaman di-Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar, bergelar "Marhum Rahmatullah".


Makam Almarhum Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I
29.Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah
DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN ABDUL JALIL
KARAMATULLAH SHAH
(MARHUM RADZIALLAH)
SULTAN PERAK KEDUA PULUH SEMBILAN
(1916 - 1918)

Baginda ditabal sebagai Sultan Perak yang ke-29 dalam bulan September 1916, menggantikan Almarhum Ayahanda Baginda dengan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah dan bersemayam di bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Walaupun pemerintahan Baginda sangat singkat tetapi Baginda sempat juga merasmikan pembukaan dua buah Masjid yang besar di Negeri perak iaitu Masjid Ubudiah di Bukit Chandan dan Masjid Ridzuaniah, di bandar Kuala Kangsar.

Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah hanya memerintah selama dua tahun sahaja dan Baginda telah mangkat dalam tahun 1918 dan dimakamkan di Permakaman di-Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Makam Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah terletak di sebelah Makam Almarhum Sultan Idris Murshidul 'adzam Shah. Almarhum diberi gelaran "Marhum Radziallah".


Makam Almarhum Sultan Abdul Jalili Karamatullah Shah
30.Sultan Iskandar Shah
DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN ISKANDAR SHAH
(MARHUM KADASALLAH)
SULTAN PERAK YANG KETIGA PULUH
(1918 - 1938)

Raja Alang Iskandar adalah putera Almarhum Sultan Idris Murshidul 'adzam Shah, Sultan Perak yang ke-30. Baginda dilantik menjadi Sultan Perak menggantikan kekanda Baginda, Almarhum Sultan Abdul Jalil dan bergelar Sultan Iskandar Shah serta bersemayam di Istana Kenangan, kemudian berpindah ke Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Baginda diputerakan di Kuala Keboi, Kampar, Perak pada tahun 1876. Baginda mula bersekolah di Central School, Taiping, kemudian melanjutkan pelajaran Baginda ke Belliol College, Oxford, England. Dalam tahun 1902 Baginda berangkat balik ke Negeri Perak bersama ayahanda Baginda Sultan Idris yang melawat England. Tiga tahun kemudian Baginda berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan di Bandar Taiping.

Tahun 1906 Baginda berkhidmat dalam pasukan Polis dan tidak berapa kemudian telah dilantik menjadi Penolong Pesuruhjaya Polis di Kuala Lumpur. Kegemaran Baginda ialah bermain bolasepak, hoki, kriket dan merupakan seorang ahli pasukan polo Negeri Selangor dan pasukan polo Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Sehingga menjadi Sultan Perak pun Baginda masih merupakan pemain polo yang handal dan menubuhkan satu pasukan polo Negeri Perak di Kuala Kangsar.

Dalam tahun 1916, ketika berkhidmat dalam Pasukan Polis di Kuala Lumpur, Baginda telah dipanggil balik ke Perak kerana telah dilantik menjadi Raja Bendahara Perak. Apabila Sultan Abdul Jalil mangkat dalam tahun 1918, Raja Bendahara Alang Iskandar ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-30. Enam tahun kemudian Baginda berangkat ke England kerana menyaksikan pertunjukan Wembly, sekaligus mengadap Baginda King George V.

Baginda ialah seorang "Amateur Jockey" dan mempunyai kira-kira tujuh puluh ekor kuda lumbanya sendiri. Dalam Pasukan Volunteer Infantry iaitu cawangan pasukan FMSVF, Baginda adalah seorang Kolonel, manakala dalam Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu, Baginda Honorary Inspector General.

Baginda menyokong kuat penubuhan Askar melayu di-raja, dan desakan Baginda, kuasa pentadbiran yang dipegang oleh Residen General bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah dirombak dan dibahagi-bahagi semula kepada Sultan-Sultan, Residen-Residen dan Majlis-Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri dalam Persekutuan itu.

Dengan rayuan Baginda kepada Kerajaan Inggeris, Jajahan Dinding dan Pulau Pangkor yang diberi kepada Kompeni Inggeris dalam tahun 1826 diserahkan balik kepada Kerajaan Negeri Perak dalam tahun 1935.

Baginda turut melantik seorang alim Islam di Teluk Intan (Teluk Anson), bernama Sheikh Muhammad Saleh (Asal dari Minangkabau) menjadi Shaikul-Islam bagi Negeri Perak. Baginda sendiri selalu melawat dan memberi titah ucapan mengenai ajaran Agama Islam kepada rakyat Baginda di bandar-bandar dan di kampung-kampung.

Baginda berangkat merasmikan Maktab Latihan Sultan Idris di Tanjung Malim pada tahun 1922. Baginda juga telah mendirikan sebuah istana yang besar dan indah di Bukit Chandan dan dinamakan Istana Iskandariah, sempena nama Baginda sendiri.

Pada masa pemerintahan Baginda, Baginda telah mengurniakan gelaran Orang kaya-Kaya Mahakurnia Indera di-Raja kepada Encik Alang Ahmad bin Muhammad Yunus, menggantikan gelaran Orang Kaya Maharaja Lela Tan Lela Putera yang telah dimansuhkan selepas pembunuhan J.W.W. Birch dahulu.

Setelah memerintah selama 20 tahun lamanya dengan jaya, maka dalam bulan Oktober 1938, Sultan Iskandar Shah pun mangkat dan dimakamkan di Permakaman di-Raja Bukit Chandan, bergelar "Marhum Kadasallah".

Makam Sultan Iskandar Shah
31.Sultan Abdul Aziz Al-Mustasim Billah Shah
DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN ABDUL AZIZ ALMUSTASIM BILLAH SHAH
(MARHUM NI'MATULLAH)
(1938 - 1948)
SULTAN PERAK KE-31

Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa, K.C.M.G., K.B.E. adalah putera tunggal Raja Muda Musa Ibni Almarhum Sultan Ja'afar Mua'azzam Shah. Baginda diputerakan di Kampung Bandar, Teluk Intan pada 14 November 1887, dan mendapat pelajaran di Sekolah Anglo-Chinese Teluk Intan dan Ipoh, Sekolah Inggeris Central Taiping dan kemudian Maktab Babuldarjat (Kolej Melayu) Kuala Kangsar.

Pada hujung tahun 1908, Baginda telah tamat pelajaran di Kolej Melayu, Kuala Kangsar dan masuk berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan sebagai seorang Pelatih Pegawai Melayu di Taiping. Pada tahun 1909, Baginda bertukar menjadi Penolong Pegawai Jajahan Parit Buntar, kemudian Lenggong, diikuti dengan Hulu Perak, ke Larut dan Matang, Taiping hingga menjadi Pemeriksa Padi di Kerian dalam tahun 1974. Tahun itu juga Baginda bertukar ke Lenggong menjadi Penolong Pegawai Jajahan Hulu Perak.

Selepas Perang dunia Pertama pada tahun 1919, apabila Sultan Iskandar Shah menjadi Sultan perak, Raja Abdul Aziz diangkat menjadi Raja Muda Perak dan Baginda terus bersemayam di Teluk Intan. Dari tahun 1920 hingga ke tahun 1925 Baginda berkhidmat dalam Pasukan Malayan Volunteer Infantry (Perak) hingga mendapat pangkat Kapten. Di samping itu, Baginda juga merupakan pemain tenis yang cekap.

Pada tahun 1924 apabila Sultan Iskandar Shah berangkat ke England, Raja Muda Abdul Aziz telah diangkat menjadi Pemangku Raja bagi Negeri Perak. Pada masa Baginda menjadi Raja Muda Perak, Baginda telah berangkat ke England dan telah mengadap Raja Inggeris, King George V.

Baginda juga pernah memegang beberapa jawatan pentadbiran Negeri, iaitu sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, serta Ketua Majlis Mesyuarat Raja-raja dan Ulama-ulama. Pada tahun 1932 sehingga tahun 1935, Baginda telah dilantik menjadi wakil Melayu dalam Majlis Mesyuarat Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Selain daripada itu, Baginda pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Penasihat Askar Melayu dan Ahli Lembaga Penasihat dalam hal perusahaan Negeri pada tahun 1934.

Pada bulan Ogos 1938, Baginda telah dilantik menjadi Sultan Perak Yang ke-31 bergelar Sultan Abdul Aziz Mustasim Billah Shah menggantikan Almarhum Sultan Iskandar Shah. Baginda bersemayam di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan telah ditabalkan sebagai Sultan Perak pada 4 Mac 1939. Baginda telah dianugerahkan pangkat Honorary Colonel dalam Pasukan Volunteer Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Pada 8 Disember 1941, Perang Dunia Kedua meletus di sebelah Timur. Tentera Jepun mula mendarat di Patani, Senggora (Thailand) dan Kota Bharu (Kelantan) lalu menyerang negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Setelah itu tentera Jepun masuk menyerang bahagian Utara Perak dan berjaya mengalahkan pihak British di Negeri Perak.

Pada tahun 1942 hingga 1945 Negeri Perak diduduki oleh tentera Jepun dan pentadbirannya diperhatikan oleh seorang Gabenor Jepun yang berpengkalan di Ipoh. Sultan Abdul Aziz tetap teguh sebagai Sultan Perak.

Keadaan Negeri Perak serta penduduknya semasa pemerintahan tentera Jepun amat menyedihkan kerana kekurangan makanan dan pakaian. Baginda sendiri sentiasa diawasi oleh Pegawai Tentera Jepun kerana mereka mengesyaki Baginda ada perhubungan dengan pegawai-pegawai pasukan gerila Inggeris, Pasukan 136 yang terjun dengan payung-payung terjun di Ulu Perak dan yang mendarat di Kuala Perak melalui laut.

Pada pertengahan bulan Ogos 1945, Jepun menyerah kalah tetapi pihak Tentera British yang dijadualkan mengambil alih pentadbiran Melayu daripada tangan Tentera Jepun belum tiba. Lanjutan daripada itu Negeri Perak menjadi huru-hara. Pada masa itu, askar-askar gerila komunis terutama pasukan M.P.A.J.A atau askar Bintang Tiga yang bersembunyi dalam hutan Negeri Perak telah keluar dari hutan lengkap dengan senjata api. Askar China yang berbintang satu turut bermaharajalela di beberapa bandar dan kampung.

Pada bulan November 1945, Sir Harold MacMichael datang ke Negeri Perak menemui Sultan Abdul Aziz di Kuala Kangsar dan telah memaksa Baginda menandatangani surat perjanjian penyerahan kuasa pemerintahan Baginda kepada Kerajaan British. Negeri-negeri melayu akan digabungkan ke dalam sebuah pertubuhan yang dipanggil Malayan Union.

Surat perjanjian itu telah ditandatangani oleh Sir Harold MacMichael bagi pihak Kerajaan British dan Sultan Abdul Aziz bagi pihak Kerajaan Perak dengan disaksikan oleh Raja Yusuf, Raja Muda Perak dan Dato' Temenggong Haji Wan Hamaruddin, pada 22 November 1945. Perjanjian itu tidak diketahui oleh Orang-orang Besar dan rakyat Baginda.

Malayan Union ditubuhkan pada 1 April 1946. Sultan Perak serta sekalian Sultan Negeri-Negeri Melayu dan Yang di-Pertuan Besar telah memulaukan Istiadat Perlantikan Gabenor Malayan Union kerana tidak bersetuju Malayan Union ditubuhkan.

Setelah setahun sembilan bulan usia Malayan Union, Kerajaan British menjemput sekalian Raja-raja berkumpul di Kuala Lumpur pada 21 Januari 1948, lalu menandatangani satu surat perjanjian iaitu Perjanjian Persekutuan. Dengan itu Kerajaan British telah memansuhkan Malayan Union dan digantikan dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Pada 1 Februari 1948, rasmilah pertubuhan Kerajaan Persekutuan Tanah melayu dan sejak itu kuasa Raja-raja Melayu diberi balik seperti sediakala.

Baginda Sultan Abdul Aziz mangkat pada 29 Mac 1948 di Lumut dan jenazah Almarhum dibawa ka Kuala Kangsar, kemudian dimakamkan di Permakaman di-Raja, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan digelar "Marhum Ni'matullah".

Makam Almarhum Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah terletak di luar kawasan Permakaman di-Raja.

Makam Almarhum Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah
32.Sultan Yussuff Izzuddin Shah
DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN YUSSUFF IZZUDDIN SHAH
(MARHUM GHAFARULLAH)
SULTAN PERAK KETIGA PULUH DUA
(1948 - 1963)

Sultan Yussuf Izzudin Shah telah diputerakan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 15 Januari 1890 dan Baginda mendapat pelajaran mulai di Sekolah Melayu kemudian melanjutkan pelajarannya di Sekolah Inggeris Hogan (Sekolah Clifford) dan akhirnya di Maktab Babu'd-Darjat (Kolej Melayu).

Setelah tamat pelajarannya dalam tahun 1911, Baginda masuk berkhidmat sebagai Pelatih Pegawai Melayu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Taiping, kemudian bertukar menjadi Pemungut Cukai Tanah dan Hakim di Kuala Kangsar. Baginda juga pernah menjadi Pengawas Jajahan Kecil Parit dan Bruas, dan juga di Pejabat Perbendaharaan Negeri. Pada masa berkhidmat dalam jawatan-jawatan itulah Baginda telah beroleh pengetahuan dan kemahiran dalam hal pentadbiran negeri.

Pada tahun 1919, Baginda dilantik menjadi Raja Di Hilir Perak dan bersemayam di Ipoh dan kemudiannya pada tahun 1921 Baginda telah dilantik menjadi Raja Bendahara Perak dan bersemayam di Istana Bendahara Ipoh. Dalam tahun 1924 Baginda mula masuk berkhidmat dalam Pasukan M.V.I (Malayan Volunteer Infantry) Negeri Perak dan mencapai pangkat Lieutenant, hingga tahun 1933. Setelah berhenti dari pasukan M.V.I Baginda masuk F.M.S.V.F. (Federated Malay States Volunteer Forces) cawangan Negeri Perak sebagai Pegawai Simpanan.

Pada tahun 1934 Baginda berangkat ke England bersama-sama Tengku Laksamana Alam Shah Selangor mengiringkan Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor dan mengadap Raja Inggeris King George V.

Apabila Sultan Abdul Aziz ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-31 pada tahun 1938, Baginda pula dilantik menjadi Raja Muda Perak dan bersemayam di Teluk Intan (Teluk Anson). Sebagai Raja Muda Perak Baginda dijadikan ahli dalam Majlis Mesyuarat Negeri Perak dan juga menjadi Naib Yang di Pertua Majlis Mesyuarat Orang-orang Besar dan Ulama-Ulama di Negeri Perak.

Dalam tahun 1938, Baginda telah dikurniakan bintang O.B.E dan tahun 1949 dikurniakan K.C.M.G oleh Ratu Inggeris King George V. Di samping itu Baginda menerima kurniaan Bintang Kebesaran daripada Raja Siam.

Sultan Yussuf Izzuddin Shah telah dilantik menjadi Sultan Perak yang ke-32 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Aziz (Marhum Ni'matullah) bergelar Sultan Yussuf Izzuddin Shah dan bersemayam di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan Baginda telah ditabalkan pada 16 April 1949. Kelambatan dijalankan Istiadat Pertabalan Baginda adalah kerana dalam tahun 1948, di negeri-negeri Melayu sedang sibuk dengan kerja-kerja berhubung dengan tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu.

Dalam tahun 1953 Sultan Yussuf Izzuddin Shah berangkat ke England kerana menghadiri Istiadat Kemahkotaan Ratu Inggeris Queen Elizabeth Yang Kedua. Tiga tahun selepas itu, iaitu pada tahun 1956 Baginda berangkat sekali lagi ke England dan benua Eropah kerana beralih angin.

Pada 4 Januari 1963, Sultan Yussuf Izzuddin Shah mangkat di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, dalam usia lebih kurang 73 tahun. Jenazah Almarhum dimakamkan di Permakaman di-Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan digelar "Marhum Ghafarullah".

Almarhum mempunyai putera dan puteri dan Sultan Perak yang ke-34 adalah putera Baginda.

Makam Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah
33.Sultan Idris Iskandar Shah II
DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN IDRIS ISKANDAR SHAH II
(MARHUM AFFIFULLAH)
SULTAN PERAK KETIGA PULUH TIGA
(1963 - 1984)


Nama Baginda ialah Raja Idris, putera Almarhum sultan Iskandar Shah (Almarhum Kasallah) yang diputerakan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 17 Ogos, 1924. Baginda adalah putera yang kedua kepada Almarhum Sultan Iskandar dan Raja Teh Umi Kalsum binti Raja Muhammad Iskandar. Kekanda sulung baginda telah meninggal dunia semasa kecil lagi, berumur 40 hari sahaja.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, bukit Chandan mulai 3 Januari, 1931 dan setahun kemudian bertukar pula ke Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar.

Pada tahun 1934, semasa Baginda berumur 10 tahun, Baginda telah dilantik menjadi Raja Di Hilir dengan permintaan dan kehendak Orang-orang Besar Perak, menggantikan Raja Sir Chulan. Semasa Negeri Perak di bawah pemerintahan Sultan Abdul Aziz, Baginda dilantik pula sebagai Raja Bendahara Perak pada 17 Oktober, 1938.

Baginda telah melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu, Kuala Kangsar awal bulan Disember, 1938. Pada akhir tahun 1941, semasa Jepun datang menyerang dan mengalahkan Malaya, pelajaran Baginda dalam Senior Cambridge di Maktab Melayu itu telah terganggu.

Di zaman pendudukan Jepun, Baginda turut menceburkan diri dalam pasukan Giyutai, iaitu pasukan pertahanan yang ditaja oleh Jepun. Melalui pasukan inilah Baginda telah mengumpul dan menggerakkan pemuda-pemuda Melayu supaya pandai menggunakan senjata api dan mempelajari teknik peperangan gerila, dengan bertopengkan pasukan Giyutai. Baginda dan beberapa orang pemuda Melayu yang lain telah membuat hubungan sulit dengan pasukan gerila yang dikenali sebagai Force 136, di bawah pimpinan Kolonel Dobree untuk menentang Tentera Jepun.

Dalam suasana peperangan di zaman pemerintahan Jepun, Baginda telah menamatkan alam remaja apabila Baginda telah dipertemukan jodoh dengan Yang Mulia Raja Mazwin binti Raja Ariff Shah pada tahun 1944. Hasil daripada perkongsian hidup ini, Baginda telah dikurniakan Allah dengan dua orang putera dan tiga orang puteri. Putera Baginda yang sulung telah mangkat semasa berusia enam bulan.

Sebelum Baginda melanjutkan pelajarannya ke England pada tahun 1934-1945, Baginda bertugas di Pejabat Tanah, Kuala Kangsar, sebagai Penolong Pemungut Cukai Hasil Tanah. Pada tahun berikutnya Baginda ditempatkan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak untuk mengikut latihan di bidang pentadbiran.

Tahun 1948, apabila Sultan Abdul Aziz Al-Mutasim Billah Shah mangkat, Sultan Yussuff Izzuddin Shah ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-32 dan Baginda dilantik menjadi Raja Muda Perak yang bersemayam di Teluk Intan. Setahun selepas menjadi Raja Muda Perak, Baginda berlepas ke England untuk mengikuti kursus di University Of london, dalam bidang Local Government Social Welfare dan Agrarian Economic.

Sekembalinya dari England pada tahun 1951, Baginda telah menceburkan diri dalam Pasukan Federated Malay States Volunteer Force dan telah ditauliahkan sebagai Leftenan. Minat Baginda dalam ketenteraan begitu membara dan dengan semangat serta keazaman yng tinggi Baginda telah mengikuti latihan lasak ketenteraan di Port Dickson bersama-sama anggota Pasukan Askar Melayu. Kecemerlangan Baginda dalam perkhidmatan tentera ini begitu ketara dan dalam waktu yang singkat Baginda telah dinaikkan ke pangkat Mejar. Mengikut rekod tentera, Baginda merupakan Raja Muda yang pertama mengikut secara langsung latihan ketenteraan dalam Regular Unit.

Makam Almarhum Sultan Idris Iskandar Shah II
34.Sultan Azlan Muhibbuddin Shah
Almarhum DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah
Menaiki Takhta Kerajaan pada 3.2.1984
1984-2014
Telah mangkat pada 28 Mei 2014 bersamaan 28 Rejab 1435
(Dimakamkan di Makam DiRaja Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar)
 


Duli Yang Maha Mulia Sultan Paduka Seri Sultan Azlan Shah telah diputerakan pada 19hb April 1928 di Batu Gajah, Perak. Pada tahun 1955, D.Y.M.M. Tuanku telah mendirikan mahligai rumahtangga bersama D.Y.M.M. Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan kemudiannya telah dikurniakan lima orang cahayamata.

D.Y.M.M. Tuanku telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kerajaan (Inggeris), Batu Gajah yang kini dikenali sebagai Sekolah Sultan Yussuf Batu Gajah. Tuanku kemudiannya melanjutkan pelajaran menengahnya di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Setelah itu, Tuanku telah menyambung pendidikannya di dalam bidang Undang-Undang di University of Nottingham, United Kingdom di mana Tuanku telah dikurniakan dengan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada tahun 1953. Pada 23hb November, 1954 D.Y.M.M. Tuanku telah diterima sebagai ahli di dalam The English Bar oleh The Honorable Society of Lincoln's Inn.

Sekembalinya dari United Kingdom, D.Y.M.M. Tuanku telah memulakan perkhidmatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Kemudiannya, Tuanku telah memasuki Perkhidmatan Undang-Undang Dan Kehakiman Persekutuan Tanah Melayu sebagai Majistret Kelas Pertama dan Presiden Mahkamah Sesyen. D.Y.M.M. Tuanku kemudiannya telah dilantik ke dalam jawatan-jawatan berikut: sebagai Peguam Persekutuan dan Timbalan Pendakwa, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan Johor, Pendaftar Mahkamah Tinggi Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Pada tahun 1965, ketika hanya berusia tiga puluh tujuh tahun, D.Y.M.M. Tuanku telah dinaiktarafkan ke Kerusi Hakim Mahkamah Tinggi Malaya sebagai hakim termuda yang pernah dilantik di dalam sejarah kehakiman Komanwel. Pada tahun 1973, Tuanku telah dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan dan enam tahun kemudian, iaitu pada tahun 1979, Tuanku telah dilantik untuk memegang jawatan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, jawatan yang dipegang sehingga perlantikan Tuanku sebagai Ketua Hakim (dulu dikenali sebagai Lord President) Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 12hb November, 1982.

Tanggal 1 Julai, 1983, D.Y.M.M. Tuanku telah dimahkotakan sebagai Raja Muda Perak dan kemudiannya mewarisi takhta negeri Perak pada 3hb Februari, 1984 sebagai Sultan Perak yang ke-34. D.Y.M.M. Tuanku telah ditabalkan secara rasmi pada 9hb Disember, 1985.

Sumbangan dan kerja-kerja amal D.Y.M.M. Tuanku telah banyak memberi faedah khususnya kepada Institusi-Institusi Pengajian Tinggi. Di antara jawatan-jawatan yang pernah dijawat oleh Tuanku adalah sebagai Canselor Universiti Sains Malaysia (4hb Oktober, 1971 - Februari, 1984), Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (1hb November, 1974 - 31hb Oktober, 1976) dan sebagai Canselor Universiti Malaya sejak 8hb Februari, 1986.

D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Kesusasteraan oleh Universiti Malaya pada 30hb Jun, 1979 dan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia pada 28hb Jun, 1980. Kecemerlangan dan pencapaian Tuanku juga telah diiktiraf oleh pelbagai universiti luar negara, seperti University of Nottingham yang telah menganugerahkan Tuanku dengan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang pada 11hb Julai, 1986 diikuti oleh Lincoln's Inn, London yang menganugerahkan Tuanku dengan "Kerusi Kehormat" pada tahun 1988. Di samping itu, D.Y.M.M. Tuanku juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang oleh Universitas Gadja Mada, Jogjakarta, Indonesia pada 28hb September, 1990, oleh Universiti Brunei Darussalam pada 30hb Oktober, 1990 lantas diikuti oleh Universiti Chulalongkorn, Bangkok, Thailand pada 19hb Disember, 1990. Pada 2hb Oktober, 1991, D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan Keahlian Kehormat The Royal College of Physician of Ireland. Anugerah yang sama juga telah diberikan oleh Royal College of Surgeons of Ireland, The Royal College of Surgeons of Edinburgh dan The Royal College of Surgeons of England pada tahun 1999.

Berdasarkan pencapaian cemerlang di dalam perkhidmatannya, D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan pelbagai anugerah kehormat samada di peringkat Persekutuan mahupun dari luar negara. Di antaranya adalah D.K.;D.K.M.; D.M.N.; D.K.(Kelantan), D.K. (Terengganu); D.K. (Perlis); D.K. (Johor); D.K.(Selangor); D.K.(Kedah); D.K.M.B.(Brunei); D.K.(Negeri Sembilan); D.K.(Pahang); S.S.M.; P.M.N.; P.S.M.; S.P.C.M.; S.P.T.S.; S.P.M.P.; S.I.M.P.; The Most Auspicious of The Rajamitrabhorn (Thailand); Grand Order of Mugunghwa (Republik Korea); Collar of The Japanese Order of The Chrysanthemum dan Grand Cordon of The Supreme Order of the Chrysanthemum (Jepun); Civil Order; 1st Class (Oman) dan Orden Al-Merito De Chile (Republik Chile); Bintang ADI PURNA (Republik Indonesia); dan Hon. Knight Grand Cross (Civil Division) of The Order of The Bath (U.K.). D.Y.M.M. Tuanku juga telah dikurniakan The PAUL HARRIS FELLOWSHIP oleh Rotary International dan The Melvin Jones Fellow Award oleh Lions Clubs International.

Minat yang mendalam Tuanku di dalam bidang sukan khususnya bidang hoki telah bermula sejak zaman persekolahan lagi. D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah kini memegang jawatan sebagai Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (Malaysian Hockey Federation), Presiden Hoki Asia serta sebagai Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (International Hockey Federation). Selain hoki, Tuanku juga amat berminat di dalam permainan golf, dan kini kini merupakan Penaung DiRaja bagi Persatuan Undang-Undang Malaysia di Great Britain dan Eire, The British Graduates Association of Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, The Rotary Clubs, The Lions Clubs, Kelab Ipoh DiRaja, Kelab Golf DiRaja Perak, Kelab Polo Iskandar, Kelab Golf Kuala Kangsar, Persatuan Alam Sekitar Malaysia serta Persatuan Hoki Veteran Perak.

Pada tahun 1992, di Ekspo Pelancongan Domestik Perak, satu jenis spesis bunga orkid telah dinamakan bersempena dengan nama Tuanku dengan rasminya - "Doritinopsis Sultan Azlan Shah" selepas menerima anugerah tanaman terbaik di dalam kategorinya.

Menghargai komitmen D.Y.M.M. Tuanku sebagai Penaung Persatuan Alam Sekitar Malaysia (The Malaysia Nature Society), satu jenis spesis baru serangga yang ditemui ketika Ekspedisi Saintifik Belum (1993-1994) telah juga dinamakan bersempena nama Tuanku - Azlania Costatipennis (Jacoby), Azlania apicalis Mohamedsaid dan Azlania borneensis Mohamedsaid

Pada 25hb April, 1989, D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah diisytiharkan dengan rasminya sebagai Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong Malaysia Yang Se-Sembilan.

Makam Almarhum DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah

Bendahara Raja Alang Iskandar

Almarhum Raja Alang Iskandar adalah putera Raja Kecil Tengah Ahmad Ibni Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Waktu kekanda Baginda Raja Ngah Jaafar diangkat menjadi Sultan Ja'afar Muazzam Shah (1857 - 1865) yang makamnya di Pulau Juar, Kampung Gajah, Raja Alang Iskandar telah dilantik menjadi Bendahara Perak. Baginda bersemayam di Kuala Keboi, Kampar dan tidak berapa lama kemudian Baginda mangkat di Kuala Teja, Kota Baru, Gopeng. Baginda dilantik menjadi Bendahara Perak oleh Sultan Abdullah Muhammad Shah I, Sultan Perak ke-22 yang berkerajaan di Durian Sebatang, Teluk Intan. Bila Almarhum Raja Alang Iskandar mangkat, tempat baginda digantikan oleh Raja Ismail Bin Saiyed Syeikh Al-Khairat, Raja Siak. Baginda Raja Alang Iskandar bergelar "Almarhum Teja".

Mengikut sejarah Ibu Almarhum Raja Alang Iskandar bernama Raja Che'Busu telah berkahwin dengan Raja Kechil Tengku Ahmad yang kemudiannya menjadi Sultan Muda Ahmad. Almarhum Teja Raja Alang Iskandar berkahwin dengan Che' Kenuda dan mendapat seorang putera, Sultan Idris Murshidul-'adzam Shah, Sultan Perak ke-28.

Dimasa Almarhum menjadi Bendahara di Kuala Teja, Baginda mengutip hasil dan khazanah serta cukai di atas segala barang-barang yang masuk dan keluar di Kuala Sungai Kinta. Kutipan itu dilakukan setahun sekali, iaitu kutipan keluarga yang dinamakan "BENAN KELUAR". Baginda menghantar seorang suruhannya dari keturunan Orang Kelar yang berasal dari Lambor bernama Alang Laut Bin Tok Monen atau Tok Nara, pergi ke kampung - kampung mengutip cukai 50 sen sekeluarga dengan membawa "BAUR" iaitu Keris Kuasa Raja. Lanjutan daripada itu Alang Laut digelar Panglima Teja iaitu Orang Besar Enam Belas dan penolongnya Tok Muda Lahab (Tok Rusa).

Makam Almarhum Teja terletak di Kuala Teja, Mukim Gopeng dan Teja kira-kira 3km ke selatan Pekan Kecil Kota Baru.


Makam Almarhum Teja

Alat-Alat Kebesaran Negeri Perak

Pengenalan

Alat-alat Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan alat-alat yang paling unggul dan dihormati. Alat-alat ini digunakan di dalam Istiadat Pertabalan seseorang Sultan. Di dalam Istiadat atau Upacara Kebesaran di-Raja yang lain, hanya sebahagian sahaja digunakan dan dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak.

Alat-alat Kebesaran ini dibawa ke Negeri Perak Darul Ridzuan dari Kampar Sumatera) oleh Sultan Perak Yang Pertama, Sultan Mudzaffar Shah, dalam abad keenam belas. Pedang Cura Si Manja Kini, Keris Seri Gading dan Keris Taming Sari adalah di antara Alat-alat Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan yang paling unggul.

Pedang Cura Si Manja Kini bersama-sama dengan Rantai Bunga Nyiur, Pontoh Bernaga, Pontoh Ula Lidi dan Cap Halilintar adalah pakaian Sultan Perak Semasa pertabalan. Kesemua alat ini dibawa ke Perak dari Melaka oleh Sultan Perak Pertama, Sultan Mudzaffar Shah (1528-1549).

Alat-alat Kebesaran Negeri yang turut dibawa oleh Sultan Mudzaffar Shah dan mengiring Baginda Sultan dalam Istiadat Pertabalan termasuklah Puan Naga Taru dan Puan Bujur (tepak sirih emas) dan Keris Warisan yang bermata emas dan Keris Taming Sari. Walau bagaimanapun terdapat beberapa alat asal yang telah hilang dalam peredaran zaman.

Di antara Alat-alat Kebesaran di-Raja yang telah hilang semasa Sultan Ismail memindahnya dari Istana pada tahun 1874 termasuklah Mundam, iaitu mangkuk emas bertatah permata di sekeliling bikar dan beralaskan pinggan emas, dan tali pinggang yang diperbuat daripada enam belas keping cakra yang bercantum.

Selain daripada alat-alat tersebut ada beberapa alat lagi yang ditambah dari masa ke masa. Di antaranya termasuklah Lembing Kerajaan, Payung Kerajaan dan Payung Di-Raja.

Tanjak Di-Raja
Tanjak Di-Raja


Di antara pakaian-pakaian kebesaran Raja-raja Melayu ialah TANJAK. Semenjak beberapa kurun lamanya Raja-raja Melayu telah memakai kain yang ditenun dengan sutera yang diikat dengan berbagai-bagai solek di ulunya, sebagai pakaian kebesaran. Bentuk ikatan (solek) dan warnanya adalah berlainan dari sebuah ke sebuah negeri. Tanjak ini hampir sama dengan Tengkolok.

Aigrette Di-Raja
Aigrette Di-Raja


Aigrette Di-Raja ini telah direka khas oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Idris I, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I pada tahun 1911. Apabila Sultan Idris mangkat pada tahun 1916, Aigrette Di-Raja ini telah dijadikan sebagai salah satu alat kebesaran Negeri Perak dan pakaian Raja-Raja Pemerintah. Pada penghujung bulan Disember 1941, apabila tentera Jepun menghampiri Kuala Kangsar, Encik Jomaran, Pegawai Daerah ketika itu, telah membawa Aigrette Di-Raja ini ke Singapura untuk dijaga keselamatannya.

Aigrette Di-Raja ini telah dikembalikan kepada Almarhum Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Abdul Aziz di zaman pemerintahan Pentadbiran Tentera British (BMA).

Tiara
Tiara

Tiara ini yang bertatah dengan permata ialah Perkakas Kebesaran Kerajaan Negeri bagi pakaian Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak.
Pedang Cura Si Manja Kini
Pedang Cura Si Manja Kini


CURA SI MANJA KINI adalah berasal dari perkataan Sankrit Churiga (Si) Mandakini yang bererti Mata Pisau dari Tasik Mandakini (sebuah tasik berhampiran dengan Sungai Ganges, India).

Mengikut cerita, pedang ini pada asalnya adalah kepunyaan Sang Sapurba (juga digelar Nila Utama) yang tiba-tiba menjelma di Bukit Si Guntang Mahameru bersama-sama dengan dua orang adindanya. Mengikut Hikayat Ketinggian Salasilah Perak keturunan Sultan Perak adalah berasal dari keturunan Sang Sapurba, anakanda kepada Raja Suran dan Puteri Mahtab al-Bahari (puteri kepada Raja Aftab al-Ardzi). Adalah dipercayai Sang Sapurba telah memerintahkan Permasku Mambang untuk membunuh seekor naga yang diberi gelaran Saktimuna dengan Pedang CURA SI MANJA KINI. Pada waktu itu Saktimuna sedang mengancam penduduk-penduduk di Minangkabau. Pedang yang sama juga digunakan oleh Parameswara semasa beliau ditabalkan sebagai Maharaja Melaka yang pertama. Nama gelaran Maharaja ini ditukarkan kepada Sultan apabila Parameswara menganut Agama Islam.

Almarhum Sultan Mahmud, Sultan terakhir Negeri Melaka, mewarisi pedang ini dan disimpan oleh Baginda sehingga Baginda menjadi Sultan Kampar-Sumatera selepas Baginda berjaya melarikan diri dari serangan Portugis pada tahun 1511. Baginda mangkat di Kampar pada tahun 1530.

Sebelum mangkat, Baginda Sultan Mahmud telah menghantar anakandanya Raja Mudzaffar Shah untuk menjadi Sultan yang pertama bagi Negeri Perak. Di dalam keberangkatan Raja Mudzaffar Shah, Baginda dilengkapkan dengan pedang ini dan alat-alat kebesaran kesultanan. Dari tarikh itu PEDANG CURA SI MANJA KINI yang melambangkan keagungan dan kekuasaan Raja Pemerintah telah menjadi alat perkakas turun termurun bagi sultan yang memerintah Negeri Perak.

Keris Taming Sari
Keris Taming Sari


Keris ini adalah Keris Kerajaan bagi Jawatan Laksamana Melaka, yang akhir sekali dijawat oleh Hang Tuah.

Keseluruhan sarung keris ini diseliputi oleh dedaun emas. Keris ini dihargai sebagai berkeupayaan untuk berlegar di udara ke mana-mana haluan dalam mengejar musuh. Adalah dikatakan bahawa Hang Tuah memberi keris ini kepada Tun Mamat untuk dibawa balik mengadap Sultan pada masa itu kerana beliau terlalu malu untuk mengadap sendiri ke bawah Duli Sultan kerana gagal untuk mendapat Puteri Gunung Ledang untuk baginda. Tatkala Sultan Mahmud meninggalkan Melaka baginda membawa keris ini bersama-sama baginda ke Kampar-Sumatera. Kemudian baginda mengurniakan keris ini kepada anakanda baginda Raja Mudzaffar Shah, yang kemudiannya berangkat ke Perak.

Pontoh
Pontoh

PONTOH BERNAGA ialah sepasng gelang emas berkepala naga yang disarungkan ke lengan kanan dan kiri Paduka Seri Sultan dalam Istiadat Rasmi Kebesaran Negeri.

Pontoh
PONTOH ULAR LIDI ialah sepasang gelang emas berbentuk kepada ular lidi dan dipakai di kedua-dua belah lengan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri dalam Istiadat rasmi Kebesaran Negeri.
Keris Seri Gading
Keris Seri Gading


Sebilah Keris dalam Kumpulan Perkakas Kerajaan Negeri Perak. Keris ini berasal dari Bugis dan namanya diambil daripada nama Istana Raja Bugis ke Tiga, Daeng Upu Tanderi Burong. Dipunyai oleh Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah, iaitu pusaka peninggalan daripada nenda Baginda Almarhum Sultan Idris Murshidul'adzam Shah, Sultan Yang Kedua Puluh Lapan. Waris-waris Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah kemudian menghadiahkan keris pusaka ini untuk dijadikan sebagai salah satu Perkakas-perkakas Kerajaan.

Mestika (Geliga) Embun
Mestika (Geliga) Embun


ALAT kebesaran ini merupakan satu azimat yang dipersembahkan oleh Toh Seri Nara di-Raja kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak semasa Istiadat pertabalan. Semasa Almarhum Raja Mudzaffar Shah ditabalkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang pertama, di satu tempat yang bernama Tanah Abang pada tahun 1528, Tun Perabu atau dikenali sebagai Tok Puan Puteh (setelah meninggal dunia dipanggil Tok Temong), telah datang ke Istiadat Pertabalan tersebut dengan diiiringi oleh 77 ekor gajah dari Hulu Perak untuk mempersembahkan Mestika Embun ini kepada Sultan.

Sebagai balasan Sultan Mudzaffar Shah telah mengurniakan kepada beliau dengan Puan Bujur, tetapi beliau menolak. Sebaliknya beliau memohon agar Baginda Sultan memperkenankan beliau untuk terus memerintah di sebelah kiri mudik Sungai Perak dan meminta agar Sultan dan semua Sultan-sultan yang mewarisi takhta Kesultanan Perak menghadkan kawasannya di tebing sebelah kanan mudik Sungai Perak. Sultan Mudzaffar Shah telah berkenan dengan permintaan ini. Walau bagaimanapun adat tradisi ini telah dihentikan semenjak pemerintahan Almarhum Paduka Seri Sultan Idris Shah I, Sultan yang ke 28, apabila Baginda membina sebuah istana di tebing kiri mudik Sungai Perak.

Agok
Agok

AGOK - Sejenis kalong emas dipakai di leher Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri pada masa Istiadat Pertabalan,
Kancing Halkah
Kancing Halkah

Perhiasan leher baju bertekad benang emas zaman purbakala dipercayai dikurniakan oleh Maharaja China kepada Parameswara. Alat Kebesaran Kerajaan ini, hanya disimpan sahaja. Asas seniukir yang terdapat pada Kancing Halkah ialah dua pasang naga.
Dokoh (Kerongsang Besar)
Dokoh (Kerongsang Besar)


DOKOH - Sejenis perhiasan dari emas berpermata di tengahnya, berbentuk seakan-akan kerongsang yang besar yang dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri semasa Istiadat Pertabalan.

Kamar
Kamar

KAMAR - Tali pinggang emas berkancing yang diletak pada Pending dan dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri dan Puteri di-Raja di Istiadat Bersanding.
Rantai Bunga Nyiur
Rantai Bunga Nyiur

RANTAI BUNGA NYIUR - Rantai emas panjang berkerawang seperti bunga nyiur yang dipakai bersilang oleh Baginda Sultan bersama dengan pakaian kebangsaan rasmi dalam semua Istiadat Rasmi Negeri termasuk Istiadat Pertabalan.
Mohor Kecil Cap Halilintar
Mohor Kecil Cap Halilintar


MOHOR yang diperbuat daripada perak, terukir pada mukanya "Sultan Muhamad Shah Dzil Allah fil-Alam". Pada pemegangnya adalah sebatang kayu yang menggantikan yang asal, kayu Gempita (Guroh) mengambil sempena gelaran Vijaya Indra atau Simbol Guruh. Mohor ini berasal dari nama Cap Kayu Kempa kepunyaan Sang Sapurba. Nama Sultan MUhammad, Melaka (1400-1414) sebelum memeluk agama Islam ialah Parameswara.

Mohor Raja
Mohor Raja


MOHOR RAJA ini digunakan untuk mengecap segala perkara yang berkehendakkan ianya dicap dengan Mohor Raja Pemerintah itu sendiri. Mohor Raja ini mengandungi nama dan gelaran Raja Pemerintah dalam huruf jawi dan perkataan "Sultan Perak". Ia disimpan oleh Menteri Besar dan digunakan apabila menjunjung titah perintah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan.

Geluk
Geluk


GELUK - Adalah buyung kecil yang diperbuat daripada perak dan emas. Kesemua 16 biji iaitu 8 buyung perak dan 8 buyung emas. Perkakas ini digunakan di Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal di 7 buah kuala anak Sungai Perak. Paluan Nobat mengiring perkakas-perkakas ini di sepanjang jalan ke Sungai dan balik ke Istana. Geluk itu dihiaskan dengan daun nyiur jari lipan dan daun pinang muda dan akan diisikan dengan air daripada 7 kuala anak Sungai Perak itu.

Bilangan Geluk-geluk yang digunakan:-

(a) Bagi Baginda Sultan dan Raja Permaisuri serta Putera/Puteri
- 8 Geluk Emas
- 8 Geluk Perak

(b) Bagi Putera/Puteri Raja Muda - 11 biji
(c) Bagi Putera/Puteri Raja Di-Hilir - 9 biji
(d) Bagi anak-anak Raja Waris Negeri - 7 biji

Perkakas-perkakas lain yang diperlukan:-

3 cerpin (bekas beras kunyit, bekas beras basah, tepung tawar)
4 batil (air limau, air bunga panca, bekas kemenyan dan bekas sintuk)
1 bekas perasap.

Perkakas-perkakas ini digunakan dalam Istiadat Berlimau Besar dan Istiadat Bersiram Tabal.

Puan
Puan

PUAN - Bekas sirih dua biji bernama Puan Nagataru dan Puan Bujur. Kurniaan Almarhum Sultan Mudzaffar Shah kepada Tok Temong kemudian dipersembahkan kembali kepada Baginda dan menjadi Alat-alat Kebesaran Negeri.

Puan
Kedua-duanya dipakai dalam Istiadat Meminang dan Perkahwinan di-Raja dan juga Istiadat Meming Bidan.
Batil Emas
Batil Emas

Batil emas berasal dari Acheh dan ianya digunakan dalam Istiadat Berlimau Besar.
Jata Di-Raja
Jata Di-Raja
JATA DI-RAJA ini adalah untuk kegunaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan. Jata di-Raja Perak ini mengandungi enam lambang yang mempunyai maksud seperti berikut:-

  1. Aigrette di-Raja sebagai tanda kedaulatan Raja Pemerintah.
  2. Bulan Sabit - menandakan Agama Islam sebagai Agama rasmi.
  3. Bintang Pecah Sembilan - menunjukkan terdapat 9 daerah dalam Negeri perak.
  4. Pedang Kerajaan - bernama Cura Si Manja Kini (melambangkan kekuasaan).
  5. Cogan kata "Allah Peliharakan Sultan Perak" - doa rakyat kepada Sultan Pemerintah Negeri.
  6. Bunga Padi melambangkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.
Jata Di-Raja
JATA DI-RAJA ini direka khas untuk kegunaan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak. Jata ini mengandungi enam lambang yang mempunyai maksud seperti berikut:-

  1. Tiara di-Raja - tanda kedaulatan Raja Pemerintah.
  2. Pedang Kerajaan (Cura Si Manja Kini).
  3. Bulan - melambangkan Agama Islam yang menjadi Agama Rasmi.
  4. Bintang Pecah Sembilan - menunjukkan terdapatnya sembilan daerah dalam Negeri Perak.
  5. Cogan Kata " Allah Peliharakan Raja Permaisuri" - lafaz doa rakyat untuk Raja Permaisuri.
  6. Bunga Padi - menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.
Panji Di-Raja
Panji Di-Raja


PANJI DI-RAJA untuk Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan, berlatar belakang putih dan mempunyai Jata di-Raja di tengah-tengah. Warna putih ialah warna peribadi Paduka Seri Sultan.Panji di-Raja ini mempunyai tiga ukuran. Panji yang berukuran 2.7 m x 1.8 meter dikibarkan di Istana Duli Paduka Seri Sultan bersemayam.

Panji yang berukuran 1.8 m x 0.9 m biasanya dikibarkan di lain-lain tempat rasmi di mana Duli Paduka Seri Sultan berangkat mencemar Duli. Panji yang berukuran 26.7 sm x 19.0 sm dikibarkan di kenderaan Paduka Seri Sultan Perak.

Panji Di-Raja

Panji peribadi Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak berukuran 26.6 sm x 19.0 sm berlatar belakang putih dan di tengahnya terdapat Jata di-Raja. Panji peribadi ini dikibarkan hanya di kenderaan semasa Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Istiadat Rasmi. Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak tidak mempunyai panji peribadi untuk dikibarkan di tempat-tempat baginda bersemayam.

Lembing Kerajaan Negeri Perak
Lembing Kerajaan Negeri Perak


LEMBING-LEMBING KERAJAAN - Lembing sebanyak 16 semuanya diperbuat daripada perak yang berukir di batang dan di mata lembing pula berukir dengan lambang Kerajaan Negeri Perak. Ianya dibawa oleh Jejawat lelaki yang berbaju putih dan seluar putih dan bersamping kuning di bawah baju dan bertengkolok kain batik bercorak getam perkasam. Pakaian Jejawat Lembing dan Payung Kerajaan adalah sama.

Lembing ini digunakan berselang-seli dengan Payung Kerajaan dengan didahului oleh Payung Kerajaan. Biasanya Payung Kerajaan dan Lembing disusun 16 di sebelah kiri dan 16 di sebelah kanan yang diatur oleh Panglima Dalam. Bagi kegunaan Paduka Seri Sultan kesemua 32 (Lembing dan Payung) digunakan; Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda 16 sahaja; Duli Yang Amat Mulia Raja Di-Hilir 12 sahaja dan anak-anak Raja Waris Negeri 8 sahaja. Ini pun dengan perkenan dari Baginda Sultan.

Cara mengguna Lembing-lembing ini adalah sama seperti menggunakan Payung Kerajaan, tetapi bagi Istiadat Mengambil Air Limau di Sungai Perak hanya 16 buah Lembing sahaja digunakan sementara Payung Kerajaan tidak dibawa bersama dalam Istiadat Perarakan.

Payung Di-Raja
Payung Di-Raja

Payung-payung di-Raja yang digunakan oleh:-
  • Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar (Payung Kuning berenda emas).
  • Duli Yang Amat Mulia Raja Di-Hilir dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda (Payung Hitam berenda emas).
  • Yang Amat Mulia Raja-Raja bergelar Payung Biji Remunia.
Payung Kerajaan Negeri
Payung Kerajaan Negeri


PAYUNG KERAJAAN - Kesemuanya sebanyak 16 kaki. Payung ini berwarna putih dan kuning dan batangnya yang sepanjang 2.4 meter, berukir dengan perak dan di kepala payung berbentuk gasing Perak dari perak juga. Payung ini digunakan di semua Istiadat di Balai Rongseri dan Balai Panca Persada. Di anjung Istana sebanyak 3 kaki Payung Kerajaan digunakan untuk menyambut pembesar kehormat. Pembawa Payung Kerajaan ini ialah Jejawat namanya.

Di dalam istiadat rasmi di Balai Rongseri kesemua 16 Payung Kerajaan digunakan sementara bagi kegunaan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan dalam istiadat perkahwinan Putera/Puteri Raja hanya 8 sahaja digunakan, 6 Payung untuk Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir dan bagi anak-anak Raja Waris Negeri 4 sahaja iaitu sama dengan istiadat permakaman dan perkebumian. Walau bagaimanapun kegunaan Payung Kerajaan ini hendaklah diperkenankan oleh Paduka Seri Sultan atau menjunjung titah perintah.

Sundang Keris Panjang

SUNDANG KERIS PANJANG adalah kumpulan yang tertinggi dalam kumpulan keris. Ianya berasal dari Kepulauan Silawesi dan diperkenalkan ke Semenanjung Tanah Melayu dalam Abad Ketujuh Belas.

Mata Sundang mempunyai kesemua ciri-ciri keris bermata dua dan menjuru hulu.

Sundang digunakan untuk memotong dan mencincang dan bukan menikam. Dengan ini cengkamannya adalah berlainan daripada cengkaman keris dan ukuran puratanya ialah 56 sm panjang dan 20 sm lebar di hulunya.

Sundang yang digunakan dalam Istiadat Kebesaran Negeri ialah Curam, Si Raja Wali, Sundang dan Sada Maikah. Ianya didukung oleh empat orang Kundang pada bahu kanan masing-masing.

Sundang Keris Panjang
Keris Panjang Curam, Si Raja Wali, Sundang dan Sada Maikah
Baur-Baur Orang Besar Negeri

Terdapat kesemuanya 12 baur kepunyaan Orang Besar Negeri. Ianya melambangkan kuasa bagi Orang Besar Negeri dan dikurniakan oleh Baginda Sultan semasa Istiadat Menjunjung Duli bagi gelaran seseorang Orang Besar Negeri.

Baur Orang Kaya
Temenggong Paduka Raja
Baur Orang Kaya Seri Adika Raja Shabandar Muda Baur Orang Kaya-Kaya Panglima
Kinta Seri Amar Bangsa di-Raja
Baur Orang-Orang Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar di-Raja Baur Orang Kaya-Kaya Setia
Bijaya di-Raja
Keris Panjang Panglima Dalam Keris Panjang Panglima Besar
Pedang Panglima Perang Kanan Pedang Panglima Perang Kiri
Tengkolok

Di antara pakaian-pakaian kebesaran Raja-Raja Melayu ialah TENGLOKOK DI RAJA. Semenjak beberapa kurun lamanya raja-raja Melayu telah memakai kain yang ditenun dengan sutera yang diikat dengan berbagai-bagai solek di ulunya, sebagai pakaian kebesaran. Bentuk ikatan (solek) dan warnanya adalah berlainan dari sebuah ke sebuah negeri. Kain ulu itu dinamakan "Tengkolok".

Tengkolok
LANG MENYUSUN ANGIN

Tengkolok
ANAK GAJAH MENYUSU

Tengkolok
PUCUK PISANG PATAH


Tengkolok
GARAM SEBUKU
(GETAM PEKASAM)

Tengkolok
AYAM PATAH KEPAK
Nobat


Perkataan Nobat ini adalah berasal dari Negeri Parsi yang menggunakan perkataan "Naubat" bermakna sembilan jenis. Ianya ialah 'pancaragam' diraja yang telah dipakai dari zaman-berzaman di negeri-negeri Melayu untuk Istiadat Pertabalan Raja-raja. Negeri-negeri Melayu yang mempunyai Nobat ialah Perak, Kedah, Terengganu dan Selangor. Nobat yang digunakan dalam Istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah Nobat Negeri Perak.

Nobat Negeri Perak mengandungi:-

  • Gendang Nobat - Biasa dikenali sebagai Gendang Nyenyalu
  • Nafiri - Digunakan dalam memulakan sesuatu lagu
  • Gendang Nengkara - Gendang yang membawa lagu
  • Serunai - Alat yang mengiringi lagu-lagu yang dimainkan
  • Gendang Penengkah - Gendang yang memasuki irama ke dalam lagu

Di antara senarai yang tersebut di atas Gendang Nobat adalah alat yang paling dihormati. Ianya menduduki tempat yang tertinggi dan digunakan untuk kegunaan Diraja sahaja. Walau bagaimanapun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan boleh menitah Nobat ini digunakan untuk mengiringi sesuatu istiadat atau menghormati jenazah. Keperingkatan kehormatan yang diberi adalah bergantung kepada bilangan alat-alat yang digunakan. Untuk Nobat Diraja Perak hanya lima daripada sembilan alat digunakan pada setiap masa.

Pemain-pemain Alat Nobat adalah ahli daripada keluarga-keluarga tertentu sahaja iaitu Orang-orang Kalur. Pada zaman dahulu kawasan Bilik Nobat dipagarkan dengan bulu ayam dan sesiapa yang mencerobohi kawasan ini akan dihukum dan didenda. Ketua Nobat diberi gelaran Toh Setia Guna dan pembantunya Toh Setia Indera.

Mengikut adat Istiadat Negeri Perak tiada sultan yang boleh dianggap berdaulat sehingga ianya ditabal dengan bunyian Nobat. Mengikut adat Lembaga Negeri Perak menyatakan bahawa rangka yang digunakan di dalam membuat gendang gendang adalah berasal daripada Teras Kayu Jerun dan kulitnya adalah daripada kulit tumur. Walau bagaimanapun ini telah bertukar dan pembaharuan rangka itu sekarang diperbuat dripada kayu keras dan kulitnya adalah daripada kulit kambing.

Gendang Nobat
Gendang Nobat


Lagu-Lagu Nobat

  • Raja Berangkat (Gendang Berangkat)
  • Puteri Mandi Mayang
  • Rama-rama Terbang Tinggi
  • Kumbang Si Kumali (Kumbang Kembali)
  • Arak-arak Atandis (Enteals) (Arak-arak Untandai)
  • Aleh-aleh Panjang
  • Alek-alek Pandak
  • Dang Gendang
  • Lenggang Che Kobat
  • Jong Ber-aleh
  • Anak Raja Membasuh Kaki
  • Gendang Perang
  • Nobat Tabal
  • Nobat Raja
  • Nobat Khamis
  • Nobat Subuh

Nobat Subuh, Nobat Khamis dan Nobat Raja hanya boleh dimainkan di sebelah pagi dan petang dan lagu Puteri Mandi Mayang dimainkan semasa menyambut ketibaan bulan Ramadhan tiga petang berturut-turut, iaitu pada petang 28,29 dan 30 dalam bulan Syaaban tiap-tiap tahun.

Raja Berangkat (Gendang Berangkat) ialah lagu yang dimainkan semasa Kebawah Duli berangkat mencemar Duli di upacara rasmi.

Nobat di-Raja Perak dibunyikan untuk upacara atau Istiadat:-

  1. Sesuatu yang berkaitan dengan peribadi Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

  2. Masa Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri.

    2.1. Masa Tabal Pusaka
    2.2. Bersiram Tabal

  3. Hari Meletak (memulakan) kerja:

    3.1. Hari meletak kerja menyambut perayaan Ulangtahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

    3.2. Hari meletak kerja kerana perkahwinan atau berkhatan Putera dan Puteri Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan.

    3.3. Perarakan mengambil Air Bersiram Tabal dan Berlimau Besar (tertakluk kepada titah).

  4. Istiadat di Balairong Seri Menyambug Ulangtahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

  5. Istiadat Menjunjung Duli.

  6. Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak melawat ke luar negeri (tertakluk kepada titah).

  7. Mengiringi Jenazah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan Raja Permaisuri ke Makam di-Raja.

  8. Perkahwinan dan berkhatan Puteri dan Puteri Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

  9. Istiadat kebesaran negeri iaitu pada masa lawatan Raja-raja negeri lain ke Negeri Perak.

  10. Hendak memulakan puasa pad bulan Ramadhan - tiga petang berturut-turut iaitu pada petang 28, 29 dan 30 dalam bulan Syakab tiap-tiap tahun.

  11. Pada petang 24 Ramadhan menyambut malam 25 Ramadhan, dan petang 26 Ramadhan hingga sampai petang malam Hari Raya Aidil Fitri.

  12. Pada masa Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan bersiram pada Hari Raya Aidilfitri dan pagi Hari Raya Aidil Adha.

  13. Tiga petang berturut-turut hendak menyambut Hari Raya Aidil Adha, iaitu pada petang 7, 8 dan 9 Zulhijjah.

  14. Menyambug keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak ke Masjid kerana bersembahyang Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha dan berangkat meninggalkan masjid.

Tok Temong (Keramat Tok Temong)

Mengikut buku sejarah 'Hulu Perak Dalam Sejarah' dan 'Sejarah Perak', tiada beberapa lama selepas Tun Saban meninggalkan Kampar (Sumatra) untuk kembali ke Tanah Melayu, beliau telah berhijrah ke Beredong Budi di Hulu Petani, kemudian berpindah pula ke Belum di Hulu Perak di mana beliau telah membuka sebuah kampung bernama Relap Reli. Tun Saban menjadi ketua di Belum dan seterusnya mangangkat seorang daripada adik perempuan beliau yang bernama Tun Perabu menjadi Ketua di tempat bernama Temong dan beliau dikenali dengan gelaran Tok Temong.

Ketika Tun Saban sampai di Perak, negeri ini belum beraja lagi. Kebanyakan penduduk-penduduknya terdiri daripada pedagang-pedagang dari Melaka, Selangor, Siak, Kampar dan Jambi. Di antara penduduk-penduduk ini ada seorang perempuan bernama Tok Masuka yang berasal dari Daik yang memelihara seorang bangsa Temusai bernama Nakhoda Kassim. Apabila Tok Masuka kembali ke rahmatullah, beliau berwasiat dan meminta tempat beliau digantikan dengan seorang Raja yang barasal dari anak cucu Sang Sapurba supaya zuriat Raja-raja yang turun dari Bukit Si-Gantung tiada terputus di Tanah Melayu. Tun Saban dan Nakhoda Kassim pun berangkat ke Kampar mengadap Sultan Mahmud Shah memohon supaya seorang putera Baginda menjadi Sultan Perak.

Sultan Mahmud Shah telah meminta puteranya yang bernama Raja Mudzaffar menjadi Sultan Perak dan pada tahun 1528. Baginda telah ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama. Semasa pertabalan, Tok Temong telah membawa persembahan sejenis tangkal azimat bernama MASTIKA EMBUN. MASTIKA EMBUN ini telah dijadikan salah satu Alat Kebesaran di-Raja Perak dan diguna dalam Istiadat Pertabalan di-Raja Perak.

Tok Temong telah datang menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Mudzaffar Shah dengan Tun Saban. Sebagai membalas persembahan Tok Temong, Sultan telah mengurniakan sebuah Puan bujur (bekas sireh) kepada Tok Temong, tetapi telah dikembalikan oleh Tok Temong. Tok Temong hanya berkehendakkan satu ikrar (janji) daripada Sultan, iaitu Baginda serta anak cucu Baginda hendaklah memerintah di sebelah kanan mudik Sungai Perak dan Tok Temong serta anak cucu beliau memerintah di sebelah kiri mundik Sungai Perak.

Dari itu didapati kota-kota Istana dan makam Sultan-sultan Perak di zaman dahulu terletak di sebelah kanan mudik Sungai Perak sehingga pemerintahan Almarhum Sultan Idris Murshidul 'adzam Shah yang mula-mula membuat kota Istana dan makan di sebelah kiri mudik Sungai Perak.

Tok Temong telah meninggal dunia di Kampung Temong dan dimakamkan di Temong. Makamnya digelar Keramat Tok Temong dan diziarahi oleh tiap-tiap Sultan Perak selepas Baginda ditabalkan.

Makamnya terletak di kampung Temong Ulu, Mukim Chegar Galah di daerah Kuala Kangsar, iaitu kira-kira 11 km ke utara, di antara Jalan Kota Lama ke Kati, berhampiran Jambatan Iskandar.

   

 

fian

Penafian

Pihak Pentadbiran Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Negeri Perak tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan menerusi maklumat yang diperolehi melalui laman web ini.

Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.

Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir :Selasa 12 Mac 2024, 00:02:00 /

Jumlah Pelawat : 1075327

Hubungi Kami

Pejabat D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Perak
33007 Kuala Kangsar,
Perak Darul Ridzuan.

Tel. No : 605 776 1141 / 1144
Fax No : 605 776 3724
Email : pejsultan[at]perak[dot]gov[dot]my