Beting Beras Basah

Beting Beras Basah terletak di Kuala Sungai Perak, Daerah Hilir Perak. Mengikut sejarah, di sinilah bermulanya Sultan Perak yang pertama berangkat masuk ke Negeri Perak.

Di zaman munculnya Kerajaan Beruas dan Manjung terdapat juga beberapa daerah di Perak yang memerintah secara persendirian. Di Temong misalnya terdapat seorang perempuan yang dikenali sebagai Tok Temong dan di Hulu Perak terdapat seorang lelaki bernama Tun Saban anak Bendahara Tun Perak Melaka. Begitulah keadaannya sebelum wujud kesultanan Perak.

Kesultanan Perak bermula pada kurun ke-16, apabila putera kedua Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang terakhir, setelah Negeri Melaka dikalahkan oleh Portugis pada T.M 1511 dilantik menjadi Sultan Perak yang pertama pada tahun 1528. Putera tersebut bernama Raja Mudzaffar Shah. Menurut cerita lisan yang diperolehi daripada Almarhum Sultan Idris Almutawakkil Alallah Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke-33. Orang-orang Perak telah menyuruh Tun Saban menjemput Raja Mudzaffar untuk dirajakan di Perak. Waktu bakal Sultan ini mudik Sungai Perak, bahtera kenaikan Baginda telah tersangkut di Beting Beras Basah yang terletak di Kuala Sungai Perak. Raja Mudzaffar telah berseru:

"Sekongkong Tanah Minangkabau
Selilit Pulau Perca
Di lengkong ular Saktimuna
Perpisahan Beta di selat Melaka
Jika Sah Beta Raja berdaulat
Lepaslah sekalian malapetaka"


Selepas seruan Baginda diucapkan. bahtera kenaikan Baginda itu bergerak, dan Orang-orang Besar dan beribu-ribu rakyat Negeri Perak yang menyambut Baginda menyebut "Daulat Tuanku" tiga kali berturut-turut. Kemudian Baginda diarak mudik Sungai Perak hingga ke tempat yang bernama Tanah Abang dan disitulah Baginda ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama.

 
 

Beting Beras Basah

Masjid Sultan Idris Shah II



Masjid Sultan Idris Shah II, telah dirasmikan penamaannya oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak pada 11hb Syawal,1398 bersamaan 15hb September,1978, sempena dengan Perayaan Menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Almarhum Sultan Idris Shah II(Marhum Affifullah) yang ke-54. Ianya terletak di atas sebidang tanah seluas kira-kira 2.6hk.

Cita-cita hendak mendirikan sebuah masjid yang begini besar bermula apabila ibu negeri Perak berpindah dari Taiping ke Ipoh dalam masa pemerintahan Jepun. Pada ketika itu Ipoh ada mempunyai tiga buah masjid yang besar iaitu Masjid Dato' Panglima Kinta,Masjid Syarifah dan Masjid India Muslim. Ketiga-tiga masjid ini tidak mencukupi untuk memuatkan semua jemaah di sekitar bandar Ipoh untuk menunaikan Ibadah pada suatu ketika seperti Hari Kebesaran Islam. Dengan sebab itu maka satu keputusan telah dibuat dalam Mesyuarat Pembangunan Negeri pada 4hb September 1964 untuk mendirikan sebuah masjid yang baru dan lebih besar.

Kerja-kerja pembinaan masjid ini telah dimulakan pada 16Mei 1966 dan batu asas telah diletakkan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak, ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri, pada 27 Oktober 1967. Pembinaan Masjid ini telah siap pada 26 Ogos 1968 dam dirasmikan oleh Sultan Idris Shah II (Marhum Affifullah) pada 15hb November, 1968.

Masjid Ridzuaniah Kuala Kangsar

Masjid Ridzuaniah Kuala Kangsar

Masjid Rizuaniah dibina dalam tahun 1915 di zaman Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris Murshidul'adzam Shah,(1887-1916) Sultan Perak yang ke-28. Pembinaannya didirikan di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh Al Mahrum Sultan Idris Shah I. Pada ketika itu semua urusan perbelanjaan pembinaan masjid adalah di bawah sumber daripada wang wakaf Sultan Idris Shah I sendiri. Manakala urusan menyelenggarakan masjid ini adalah dikelolakan oleh satu Badan yang dinamakan 'Sultan Idris Religious and Charitable Trust'.

Rekabentuk asal masjid ini mengandungi ruang sembahyang yang berbentuk lapan empat segi dan sebuah kubah di tengahnya. Semenjak ia dibina, Masjid Ridzuaniah telah mengalami beberapa pindaan dari segi struktur bangunannya. Semasa zaman Al Marhum Sultan Iskandar, hanya diperbesarkan bagi menampung bilangan jemaah yang bertambah. Ketika itu masjid ini dapat memuatkan kira-kira 600 orang jemaah sahaja. Manakala pada zaman pemerintahan Sultan Idris Shah II pembesaran masjid ini dilakukan lagi. Sehingga pada tahun 1968 masjid ini dapat menampung kira-kira 1,000 orang jemaah di sekitar Pekan Kuala Kangsar.

Pada tahun 1980-1981 Masjid Ridzuaniah telah bertukar daripada bangunan yang asal ke bangunan baru. Pembinaan masjid baru ini adalah semata-mata untuk memberi keselesaan kepada masyarakat Islam di daerah Kuala Kangsar menunaikan ibadah. Ini adalah kerana bangunan maasjid yang asal tidak dapat menampung bilangan penduduk yang kian meningkat.

Masjid Ridzuaniah hari ini merupakan masjid yang istimewa berbanding dengan masjid yang lain di daerah Kuala Kangsar. Ianya mempunyai beberapa kemudahan seperti mempunyai bilik mesyuarat, Pejabat dan juga kemudahan-kemudahan yang lain. Oleh kerana keistimewaan tersebut dan masjid ini merupakan masjid yang terbesar di daerah Kuala Kangsar, ianya telah dijadikan Masjid Daerah yang dikelolakan oleh Kerajaan Negeri.

Masjid Ubudiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar



Semasa berehat dalam rawatan di Port Dickson, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah (1887-1916) telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar sekiranya kesihatan Baginda pulih.

Setelah berangkat balik ke Kuala Kangsar, Baginda telah menitah Colonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur, untuk merekabentuk sebuah masjid yang hendak didirikan. Arkitek yang ditugaskan merekabentuk Masjid ini ialah Mr. Hubbeck, yang menggunakan senireka 'Moor' dan Mr Caulfield, Jurutera Negeri Perak, telah ditugaskan melaksanakan bangunan Masjid ini. Senireka yang diilhamkan oleh Mr. Hubbeck telah menjadikan Masjid Ubudiah salah satu masjid yang mempunyai nilai senireka yang bermutu tinggi sehingga ianya mendapat tempat dalam pelan pelancongan.

Pada hari Jumaat, 26hb. September 1913, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah, telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Walau bagaimanapun pembinaannya telah tergendala apabila batu-batu marmar yang dibeli dari Itali telah pecah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Baginda dan Raja (Sir) Chulan. Mengikut cerita, dengan tidak semena-mena seekor gajah Baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya bernama Kulup Sa'id telah berjuang dengan seekor gajah kepunyaanya Raja (Sir) Chulan ibni Sultan Abdullah, bernama Kulub Gangga dan gembalanya bernama Uda Debok.

Perjuangan gajah itu telah melarat ke tempat simpanan batu marmar tersebut dan akibatnya musnahlah batu marmar itu. Perjuangan itu berlanjutan hingga berjam-jam, sehingga Raja Chulan sendiri datang, menyeru nama gajahnya dan memerintahkannya berhenti, maka barulah gajah itu berhenti berjuang, walaupun telah ramai yang cuba meleraikan gajah itu tetapi tidak berhasil.

Oleh sebab batu marmar itu telah musnah, maka terpaksalah dipesan semula dari Itali. Tetapi malangnya, batu marmar yang dipesan itu telah lambat sampai oleh kerana cetusan Peperangan Dunia Pertama di Eropah. Batu Marmar itu telah dibawa melalui Afrika Selatan.

Walau bagaimanapun pada tahun 1917, Masjid ini telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918) yang menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada tahun 1916.

Sebelum Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh, dibina dan dijadikan Masjid Negeri, Masjid Ubudiah dan dipengerusikan oleh sesiapa yang dilantik oleh Sultan memegang jawatan Orang Kaya-Kaya Setia Bijaya di-Raja dan jawatan Setiausaha diuruskan oleh sesiapa yang memegang jawatan Kerani Besar Pejabat Duli Yang Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

Istana Kenangan Kuala Kangsar


Istana ini pada keseluruhannya diperbuat daripada kayu dan dikenali juga dengan nama Istana Lembah atau kadangkala disebut juga Istana Tepas. Letaknya Istana ini berhampiran dengan Istana Iskandariah, iaitu di sebelah tenggaranya. Istana yang berdinding kelarai dan berbumbung perabung pisang sesikat ini telah dirancangkan pembinaannya selepas berlaku banjir besar yang melanda Negeri Perak pada tahun 1926.

Tukang yang membuat Istana ini ialah Haji Suffian dan anak-anaknya yang berasal dari Seberang Perai. Melihat pada pelannya, konsep binaan Istana ini adalah berdasarkan pada bentuk sebilah pedang. Ragam hias dan seni pertukangannya memperlihatkan keindahan seni pertukangan Melayu Perak.

Apabila siap pembinaanya pada tahun 1931, Almarhum Sultan Iskandar Shah, Sulatn Perak yang ke-30 (1918-1938) telah berpindah bersemayam di istana tersebut kerana Istana Negara iaitu istana rasmi Sultan Perak yang terletak di Changkat Negara, Bukit Chandan akan dirobohkan untuk dibina sebuah istana yang baru (Istana Iskandariah sekarang).

Setelah sempurna pembinaan Istana Iskandariah pada tahun 1933, Sultan Iskandar Shah telah berangkat pindah pula ke istana tersebut. Istana Lembah atau Istana Tepas ini diduduki pula oleh keluarga di-Raja Perak. Nama Istana Kenangan ini hanya diberikan pada tahun 1960an setelah ianya diperbaiki semula dengan daya usaha Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang petama.

Sekarang istana ini dijadikan Muzium di-Raja, Perak.

Penafian

Pihak Pentadbiran Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Negeri Perak tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan menerusi maklumat yang diperolehi melalui laman web ini.

Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.

Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir :Khamis 07 November 2019, 03:15:00 / Jumlah Pelawat : 695836

Hubungi Kami

Pejabat D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Perak
33007 Kuala Kangsar,
Perak Darul Ridzuan.

Tel. No : 605 776 1141 / 1144
Fax No : 605 776 3724
Email : pejsultan[at]perak[dot]gov[dot]my