DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
SULTAN ABDULLAH MUHAMMAD SHAH II
(MARHUM HABIBULLAH)
SULTAN PERAK YANG KE 26
(1874 - 1876)
Sultan Abdullah Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ja'afar Mua'azzam Shah ditabal menjadi Sultan Perak yang ke-26 mengikut Perjanjian Pangkor pada 20 Januari, 1874 dan bergelar Sultan Abdullah Muhammad Shah II.
Dengan persetujuan Sultan Abdullah juga, Gabenor Sir Andrew Clarke berani bertindak menjalan dan menurunkan Sultan Ismail yang bersemayam di Tanjong Belanja, Parit dari pangkat Sultan dan membenarkan Sultan Ismail memakai gelaran "Sultan Muda" dengan memberi pencen seribu ringgit tiap-tiap bulan. Che Ngah Ibrahim tidak lagi diakui sebagai pemerintah Larut.
Walaupun Sultan Abdullah Muhammad Shah II dilantik menjadi Sultan Perak tetapi perselisihan di antara Raja-raja dan Orang-orang Besar Perak sesama sendiri sejak tahun 1871 dahulu, belum berhenti. Orang-orang Besar Perak yang menyebelahi bekas Sultan Ismail berpendapat bahawa melantik Raja Bendahara Ismail menjadi Sultan Perak adalah sah. Sultan Abdullah hanya dilantik oleh Inggeris.
Perjumpaan Mesyuarat Raja Muda Abdullah, Sir Andrew Clarke dan beberapa Orang-orang Besar Perak tanpa kehadiran Sultan Ismail dan Raja Yusuf di Pulau Pangkor pada 20hb Januari, 1874 telah menghasilkan "Perjanjian Pangkor" dan syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
"Raja Muda Ibrahim diangkat menjadi Sultan Perak, Bendahara Ismail bekas Sultan itu dibenarkan memakai gelaran Sultan Muda; Sultan Perak hendaklah menyediakan tempat Residen itu, nasihat British Residen hendaklah diikuti kecuali pada perkara-perkara yang mengenai agama dan adat orang-orang Melayu; fasal menjaga dan memungut segala cukai dan hasil negeri, demikian pula aturan pemerintahan Am hendaklah ditetapkan dengan nasihat British Residen."
Kerajaan Inggeris menghantar seorang pegawainya J.W.W Birch ke Perak untuk menjadi Residen British yang pertama. Untuk menguatkan kedudukan British di Perak, Birch dan Swettemham telah mengadakan perjumpaan dengan Raja Yusuf di Senggang; Sultan Ismail di Belanja dan Raja Muda Abdullah (Sultan Abdullah) di Batak Rabit. Daripada lawatan Birch dan Swettenham itulah Inggeris tahu bahawa Raja Yusuf dan Raja Ismail tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang dipersetujui oleh Sultan Abdullah dan lain Orang-orang Besar Perak dalam "Perjanjian Pangkor".
Tidak berapa lama kemudian berbangkitlah perselisihan di antara Residen British itu dengan Sultan Abdullah dan Orang-orang Besar Perak, terutama fasal memungut segala cukai dan hasil dalam negeri oleh pegawai-pegawai kerajaan yang melarang dan menghukum "pemungut cukai" yang menyalahi undang-undang dan menghapuskan adat hamba abdi kerana berhutang.
Pada 5 Januari 1875 Birch cuba membawa Sultan Abdullah ke Belanja, berjumpa dengan Raja Ismail, bekas sultan, dalam sebuah majlis khas yang dihadiri oleh Raja Yusuf, Raja Bendahara dan beberapa Orang-orang Besar tetapi Menteri Ngah Ibrahim, Temenggong dan Maharaja Lela tidak hadir sama walaupun mereka memang ada di Belanja, mendapatkan Raja Ismail untuk menyerahkan Alat Kebesaran Kerajaan Perak kepada Sultan Abdullah. Sultan Abdullah dan Raja Ismail serta Orang-orang Besar Perak telah bersatu menentang Birch.
Dua kali Birch meminta Sultan Abdullah menandatangani "Surat surat Perisytiharan" dalam bulan Februari 1875 tetapi permintaan tidak diluluskan oleh Baginda, kerana Baginda mesti berunding dahulu dengan Orang-orang Besar Perak dalam suatu majlis mesyuarat. Suatu perjumpaan di antara Orang-orang Besar Perak yang dihadiri oleh Birch, Sultan Abdullah dan Menteri Ngah Ibrahim fasal hendak memungut cukai-cukai di Negeri Perak telah berlangsung. Orang-orang Besar Perak yang hadir memang tidak suka terutama Maharaja Lela yang menjaga Kampong Pasir Salak.
Pada 26 April 1875 Sultan Abdullah mengirim sepucuk surat kepada Gabenor Andrew Clarke membantah perbuatan Birch, disokong oleh Orang-orang Besar Perak. Surat bantahan Sultan Abdullah dibawa ke Singapura oleh suatu perwakilan Baginda, terdiri daripada Raja Idris, Dato Laksamana Muhammad Amin dan Encik Muhammad Arshad. Perbuatan Sultan Abdullah mengecam kerja-kerja Birch di Negeri Perak tidak disetujui oleh Sir Andrew Clarke. Oleh sebab itu Birch dikatakan menjadi-jadi sehingga Dato' Shahbandar dibuang negeri. Beliau juga mengecam Sultan Abdullah jika perisytiharan-perisytiharan itu tidak ditandatangani hingga 21 Julai, 1875 Kerajaan Inggeris menurunkan Baginda dari takhta kerajaan.
Pada 21 Mei, 1875 pula suatu persidangan diadakan di Durian Sebatang dihadiri oleh Raja Idris, Laksamana Muhammad Amin, Dato' Seri Agar di Raja, Shahbandar, Maharaja Lela, Menteri Ngah Ibrahim, Temenggong dan lain-lain melainkan Raja Yusuf. Dalam perjumpaan itu Sultan Abdullah telah membacakan surat daripada Raja Ismail yang menyatakan bersetuju atas sebarang rancangan bagi menghalau orang-orang Inggeris. Semuanya yang hadir turut bersetuju menerima tawaran Maharaja Lela (Orang Besar Pasir Salak) untuk menikam Residen Birch.
Pada 24 September, 1875 Sultan Abdullah bersetuju dalam suratnya atas cadangan Gabenor yang menyatakan Negeri Perak hendaklah diserah kepada Kerajaan British. Lepas itu Sultan Abdullah memanggil Orang-orang Besar Baginda berkumpul di Pasir Panjang dan Baginda menyatakan kepada mereka Baginda akan menyerahkan Negeri Perak kepada Kerajaan British. Maharaja Lela menyatakan ia tidak peduli hal itu dan tidak akan menerima apa-apa perintah daripada Birch dan tidak membenarkan Birch berada di Kampong Pasir Salak dan Dato' Seri Agar di-Raja (Orang Besar Kampong Gajah) akan mengikut apa-apa yang dibuat oleh Maharaja Lela.
Pada 1 Oktober 1875, Birch meminta Sultan Abdullah menandatangani dua jenis surat perisytiharan Kerajaan British memerintah Negeri Perak, yang akan disiarkan kepada orang ramai. Tidak berapa lama selepas Swettenham bertolak ke Singapura, Sultan Abdullah di Batak Rabit telah memberi surat pengakuan membenarkan Maharaja Lela membunuh Birch dan Raja Ismail di Belanja untuk mengumpul Orang-orang Besarnya datang bermesyuarat untuk mendapat ketetapan surat daripada Laksamana Muhammad Amin, menyatakan Sultan Abdullah telah memberi kuasa kepada Maharaja Lela membunuh Birch. Perjumpaan bersetuju membantu Maharaja Lela menjalankan tugasnya, tetapi Menteri Ngah Ibrahim, Raja Bendahara dan Temenggong tidak hadir dalam mesyuarat itu. Sebagai akibat daripada perselisihan itu J.W.W Birch, Residen British pertama di Perak dibunuh di Kampung Pasir Salak pada 2 November, 1875.
Untuk membela kematian Birch itu Kerajaan Inggeris pun mengirimkan askar-askarnya ke Perak. Sepasukan askarnya mudik ke Sungai Perak lalu menyerang kubu pertahanan Maharaja Lela di Pasir Salak dan Kampung Gajah, sementara sepasukan yang lain pula mendarat di Matang lalu bergerak menuju Kuala Kangsar dan dari sini askar itu kemudian hilir ikut Sungai Perak.
Bekas Sultan Ismail yang bersemayam di Belanja telah bersatu dengan Maharaja Lela dan orangnya berundur membawa Perkakas Kerajaan Negeri Perak ke Kinta, Kemudian ke Ulu Perak. Mereka diburu masuk ke Kedah dan akhirnya bekas Sultan Ismail menyerah diri kepada Sultan Kedah lalu dibawa ke Pulau Pinang, kemudian diserahkan kepada Naib Gabenor Pulau Pinang. Baginda kemudian telah diasingkan ke Johor dan Perkakas Kerajaan Negeri Perak telah dihantar ke England untuk simpanan.
Dato' Seri Agar di-Raja (Dato' Sagor) dengan orang-orangnya lari ke Pahang dan kemudian menyerah diri kepada Residen British di Pahang dan kemudian dihantar balik ke Perak. Dato' Sagor adalah orang kuat Sultan Abdullah dan Maharaja Lela, orang kuat Raja Ismail.
Sultan Abdullah telah ditawan dan diasingkan ke Pulau Seychelles bersama Orang Kaya Menteri, Orang Kaya-kaya Laksamana dan Shahbandar. Maharaja Lela dan Dato' Seri Agar di-Raja dan lain-lain dibicarakan di Matang. Keputusannya mereka dihukum gantung sampai mati di Taiping.
Tahun 1877, Raja Idris dibenarkan balik ke Negeri Perak kerana bukti-bukti kesalahan dalam perkara ini tidak jelas. Sultan Abdullah beristerikan Raja Tipah dan Putera Baginda adalah Raja Ngah Mansur dan Raja Chulan yang bersemayam di Kuala Kangsar. Sultan Abdullah berada dalam buangan di Pulau Seychelles kira-kira 17 tahun. Pada tahun 1894 Kerajaan British telah membenarkan Baginda balik ke Tanah Melayu dan bersemayam di Singapura bersama Orang-orang Besar Orang Kaya Menteri, Orang Kaya-kaya Laksamana dan Shahbandar. Kemudian Baginda sahaja pindah ke Pulau Pinang dan pada tahun 1922, Baginda telah dibenarkan balik ke Kuala Kangsar. Tidak berapa lama kemudian, Baginda mangkat dan dimakamkan di Makam di-Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan di gelar "Marhum Habibullah".
Makam Di-Raja, Bukit Chandan, Kuala Kangsar