Mengikut buku sejarah 'Hulu Perak Dalam Sejarah' dan
'Sejarah Perak', tiada beberapa lama selepas Tun Saban meninggalkan Kampar
(Sumatra) untuk kembali ke Tanah Melayu, beliau telah berhijrah ke Beredong
Budi di Hulu Petani, kemudian berpindah pula ke Belum di Hulu Perak di mana
beliau telah membuka sebuah kampung bernama Relap Reli. Tun Saban menjadi
ketua di Belum dan seterusnya mangangkat seorang daripada adik perempuan
beliau yang bernama Tun Perabu menjadi Ketua di tempat bernama Temong dan
beliau dikenali dengan gelaran Tok Temong.
Ketika Tun Saban sampai di Perak, negeri ini belum beraja
lagi. Kebanyakan penduduk-penduduknya terdiri daripada pedagang-pedagang dari
Melaka, Selangor, Siak, Kampar dan Jambi. Di antara penduduk-penduduk ini ada
seorang perempuan bernama Tok Masuka yang berasal dari Daik yang memelihara
seorang bangsa Temusai bernama Nakhoda Kassim. Apabila Tok Masuka kembali ke
rahmatullah, beliau berwasiat dan meminta tempat beliau digantikan dengan
seorang Raja yang barasal dari anak cucu Sang Sapurba supaya zuriat Raja-raja
yang turun dari Bukit Si-Gantung tiada terputus di Tanah Melayu. Tun Saban dan
Nakhoda Kassim pun berangkat ke Kampar mengadap Sultan Mahmud Shah memohon
supaya seorang putera Baginda menjadi Sultan Perak.
Sultan Mahmud Shah telah meminta puteranya yang bernama
Raja Mudzaffar menjadi Sultan Perak dan pada tahun 1528. Baginda telah
ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama. Semasa pertabalan, Tok Temong
telah membawa persembahan sejenis tangkal azimat bernama MASTIKA EMBUN.
MASTIKA EMBUN ini telah dijadikan salah satu Alat Kebesaran di-Raja Perak dan
diguna dalam Istiadat Pertabalan di-Raja Perak.
Tok Temong telah datang menghadiri Istiadat Pertabalan
Sultan Mudzaffar Shah dengan Tun Saban. Sebagai membalas persembahan Tok
Temong, Sultan telah mengurniakan sebuah Puan bujur (bekas sireh) kepada Tok
Temong, tetapi telah dikembalikan oleh Tok Temong. Tok Temong hanya
berkehendakkan satu ikrar (janji) daripada Sultan, iaitu Baginda serta anak
cucu Baginda hendaklah memerintah di sebelah kanan mudik Sungai Perak dan Tok
Temong serta anak cucu beliau memerintah di sebelah kiri mundik Sungai Perak.
Dari itu didapati kota-kota Istana dan makam Sultan-sultan
Perak di zaman dahulu terletak di sebelah kanan mudik Sungai Perak sehingga
pemerintahan Almarhum Sultan Idris Murshidul 'adzam Shah yang mula-mula
membuat kota Istana dan makan di sebelah kiri mudik Sungai Perak.
Tok Temong telah meninggal dunia di Kampung Temong dan
dimakamkan di Temong. Makamnya digelar Keramat Tok Temong dan diziarahi oleh
tiap-tiap Sultan Perak selepas Baginda ditabalkan.
Makamnya terletak di kampung Temong Ulu, Mukim Chegar Galah
di daerah Kuala Kangsar, iaitu kira-kira 11 km ke utara, di antara Jalan Kota
Lama ke Kati, berhampiran Jambatan Iskandar.