| English Version | Direktori | Peta-Peta | Hiperrangkai | Suntingan Akhbar | Buku Pelawat |
|
|
| SULTAN MAHMUD ISKANDAR SHAH | . |
(MARHUM BESAR AULIA ALLAH)
SULTAN PERAK YANG KESEBELAS
(1653-1720)

Setelah mangkat Sultan Mudzaffar Shah II
(Marhum Jalilullah) pada tahun 1653, putera sulung Almarhum
yang bernama Raja Mahmud dilantik menjadi Sultan Perak yang
ke-11, bergelar Sultan Mahmud atau Muhammad Iskandar Shah.
Baginda bersemayam di Geronggong. Oleh kerana Baginda tiada
berputera, adinda Baginda Raja Mansur dilantik menjadi Sultan
Muda atau yang di-pertuan Muda Mansur Shah yang bersemayam di
Pulau Tiga. Yang di-pertuan Muda Mansur Shah ini berputerakan Raja
Radin, Raja Inu, Raja Bisnu, Raja Abdul Hamid dan Raja Su
(Bongsu). Yang di-Pertuan Muda Mansur Shah ini telah mangkat
di Pulau Tiga lebih dahulu daripada kekandanya Sultan
Mahmud Iskandar Shah dan Marhum itulah yang disebut "Marhum
Mangkat Pulau Tiga". Sultan Mahmud Iskandar Shah mangkat dalam
tahun 1720 dan dimakamkan di Geronggong, dengan gelaran
"Marhum Besar Aulia Allah". Umur Baginda ialah kira-kira 120
tahun dan memerintah Perak selama kira-kira 67 tahun.
Dalam tahun 1653 Kompeni Belanda datang balik ke
Negeri Perak dan telah membuat semula Perjanjian yang telah
dibuat oleh John Truijtman dengan Almarhum Sultan Mudzaffar
Shah II (Marhum Jalilullah). Perjanjian itu telah memberi
sekeping tanah untuk kompeni Belanda mendirikan Loji bagi
gudang tempat Kompeni Belanda menjalankan perniagaan. Kerajaan
juga membayar ganti-rugi terhadap Loji Belanda yang telah
dibinasakan oleh orang-orang Perak dalam tahun 1651.
Perjanjian ketiga ini tidak berapa dipedulikan oleh Kerajaan Perak.
Timah-timah dari Negeri Perak lebih banyak dihantar ke Acheh
dan diseludup keluar untuk dijual kepada bangsa-bangsa lain. Akhirnya pada tahun 1663 Kompeni Belanda meninggalkan Loji
mereka di Negeri Perak. Namun dua tahun kemudian Kompeni
Belanda balik semula membuka logi perniagaannya dengan dikawal oleh
sebuah angkatan kapal perang yang berpengkalan di Kuala Sungai
Perak.
Pada tahun 1670 orang-orang Inggeris menduduki
Pulau Pangkor tetapi pihak Baginda di Betawi telah mengarahkan
Orang-orang Besarnya di Melaka supaya merampas pulau tersebut dan
membina sebuah gedong dan kota di sebuah Telok di bahagian
timur pulau itu. Di antara tahun 1676 dan 1677, beberapa kali
kapal-kapal Belanda belayar dekat pantai laut Negeri Perak dan
juga Kuala Sungai Perak tetapi mereka telah diserang oleh
orang-orang Melayu.
Semasa pemerintah Baginda seorang
pengembang agama Islam dari Arab bernama Syed Hussain
Al-Faridz telah datang ke Perak untuk mengembangkan agama
Islam.
Dalam tahun 1690 sekumpulan orang-orang melayu
yang diketuai oleh Panglima Kulub telah menyerang Kota Belanda
di Pulau Pangkor menyebabkan Kompeni Belanda meningalkan
tempat itu. Tiga tahun kemudian sekelian pegawai Kompeni telah
diperintah oleh pihak berkuasa Kompeni Belanda supaya jangan
menempatkan lagi askar Belanda di Pulau Pangkor.
Dalam
tahun 1700 Kerajaan Perak telah terlepas daripada kekuasaan
Acheh kerana Kerajaan Acheh yang diperintah oleh empat orang
Raja Perempuan sejak tahun 1641 tidak mempunyai kuasa lagi.
Yang tinggal di Negeri Perak ialah aturan-aturan Kerajaan cara
Acheh, di antaranya masih kekal sehingga kini.
"PANGKAT ORANG BESAR DELAPAN di Negeri Perak
kadang-kadang dipanggil juga "HULUBALANG DELAPAN". Masing-masing memerintah suatu daerah atau jajahan di dalam
negeri itu di bawah perintah Sultan Perak. Aturan memakai
gelaran Hulubalang sebagai pemerintah sesebuah daerah itu
mengikut aturan-aturan pemerintah di Negeri Acheh, pada hal di
tempat-tempat lain gelaran Hulubalang ialah gelaran bagi
perwira dalam pasukan perang. Di samping itu MUNDAM, nama
sejenis alat kebesaran Kerajaan Perak adalah berasal daripada
bahasa
Acheh, Bahasa LAN yang bererti kampung.
Baginda Sultan
Mahmud Iskandar mangkat di Geronggong (Kampung Jawa, Pulau
Tiga) dalam tahun 1720. Makam Baginda terletak di sebuah
Permakaman, bersama dengan makam Sultan Alauddin Mughayat
(Riayat) Shah, Sultan Perak yang ke-12.
![]()
PENAFIAN:
Jabatan ini tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan
yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
© Hakcipta 2005 Pejabat D.Y.M.M. Sultan Perak Darul Ridzuan.
Sebarang pertanyaan berkenaan laman ini, sila hubungi
pejsultan@sultan.perak.gov.my